Thursday, January 15, 2015

ISLAM AGAMA KEGANASAN DAN CABARAN GLOBAL KE ATAS ISLAM DALAM MEMPERTAHANKAN MESEJ KEAMANAN (siri 1)



Oleh: Muhamad Na’im Bin Ab Razak (M.D USM)

Cabaran umat Islam pada hari ini adalah lebih besar dari hari-hari semalam. Umat islam pada hari ini umpama memegang bara api dalam mempertahankan kemurnian akidah. Hanya hati yang benar-benar kental sahaja mampu untuk membiarkan diri menanggung kesakitan yang amat sangat dan membiarkan tangan dimamah api demi untuk terus kekal dalam Islam. Kritikan terhadap Islam bukan sahaja dari golongan Anti Islam tetapi juga dalam kalangan umat Islam sendiri yang sudah mula meragui kesucian agama. Pelbagai istilah tercipta seperti golongan liberal dan juga anti hadis, tidak kurang juga yang mengamalkan ajaran sesat. Malah, serangan dari pelbagai penjuru juga datang dari kalangan atheist serta free thinker.

Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana serangan sebegini sudah pun sekian lama bermula pada dunia barat hingga masyarakat mula meninggalkan agama kristian. Ini diakui sendiri oleh Pope John Paul II dalam bukunya “Crossing the Treshold of Hope” lantas membawa kepada peralihan tumpuan evangelism ke Asia dan Afrika.

Saban hari, serangan ke atas Islam tidak pernah kendur malah semakin diperhebatkan. Umum mengetahui bahawa semangat jihad yang tinggi dalam kalangan Islam menyebabkan strategi perang ke atas islam ditukar dari penggunaan senjata moden kepada senjata pemikiran dan persepsi.
Musuh utama islam pada hari ini adalah Media yang berat sebelah, tidak adil dan dihiasi penipuan di atas nama kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara itu pada hakikatnya tidak pernah wujud. Lihat sahaja Amerika Syarikat yang melaungkan slogan demokrasi dan kebebasan bersuara tetapi ruang untuk menghentam Israel Zionis tetap dikekang. Begitu juga negara seperti Korea Utara dan China, sumber kebebasan bersuara juga disekat kerana mereka tahu kesemua ini hanya akan menjatuhkan bangsa mereka.

Persoalan pokoknya, adakah kebebasan media dan bersuara itu memberi erti bahawa seseorang itu bebas melakukan apa-apa sahaja dan menggunakan media untuk memberi tekanan pada pihak minoriti dan lemah. Sekiranya anda penyokong kebebasan media dan bersuara, adakah saya diberi hak dan kebebasan untuk menggelarkan ibu anda sebagai pelacur dan isteri anda sebagai sundal? Atau adakah saya berhak untuk melukis gambar bogel ibu atau isteri anda yang dikerjakan batin mereka oleh berpuluh orang lelaki. Akal yang waras pasti menolak idea nakal ini. Jika begitu, apa pula yang menghalalkan lukisan gambar yang menghina seorang Nabi dan juga mengejek rupa paras Allah selaku TUHAN sekalian alam?

Terbaru adalah kes serangan ke atas ibu pejabat Charlie Hebdo di Perancis pada 7 Januari 2015 yang mengorbankan seramai 12 orang mangsa dan mencederakan 11 yang lain. Ia dikaitkan dengan tindakan membalas dendam oleh militan islam selepas media tersebut secara berterusan mengeluarkan kartun yang menghina agama Islam dan tokoh-tokoh islam.

Ia bukanlah sesuatu yang baru memandangkan banyak tulisan dan kartun yang ditulis samada golongan barat ataupun Islam yang murtad itu sendiri. Antaranya adalah penulisan buku The Satanic Verses oleh Salman Rushdie, penerbitan kartun menghina Islam oleh akhbar Jyllands-Posten di Denmark, The Croation Daily Nacional malah juga penerbitan siri serangan oleh Ali Sina yang mempromosi umat Islam untuk murtad.

Kisah-kisah ini diagung-agungkan oleh media yang menjadikan ia sebagai tajuk utama di dada akhbar. Malah, sebarang kisah yang melibatkan umat islam melakukan keganasan akan terus mendapat liputan yang meluas. Dalam hal ini dapat saya simpulkan peranan media melalui beberapa kategori. Kategori pertama adalah dengan melakukan serangan langsung ke atas Islam melalui penerbitan bahan artikel atau kartun yang menaikkan sentimen kemarahan orang Islam. Kategori kedua adalah dengan membuat pemalsuan fakta ataupun membuat gambaran tidak tepat tentang islam hingga membawa keraguan terhadap umat islam tentang agama yang dianuti. Kategori ketiga adalah dengan memberi fokus terhadap sebarang isu yang dilakukan oleh golongan minoriti Islam dan mengatakan bahawa ia mewakili agama Islam. Dan terakhirnya, adalah dengan mempromosikan gerakan anti Islam secara total.

Sekiranya anda pernah melihat kartun yang menunjukkan kaca TV menunjukkan dua orang lelaki yang cuba untuk saling bertikaman tetapi gambaran sebenar menunjukkan seorang lelaki sedang melarikan diri sambil dikejar lelaki yang membawa pisau. Kasut lelaki yang melarikan diri kelihatan seperti pisau. Ini adalah gambaran tepat untuk menggambarkan ketidakjujuran pengamal media dalam membuat sesuatu liputan isu. Ini juga yang menjadi kaedah dan teknik media yang mengentam golongan Islam pada hari ini.

Sebagai contohnya, Isu seperti ISIS, Boko Haram dan juga Al Qaeda. Media melaporkan kepada dunia bahawa gerakan ini mewakili Islam. Jika anda ingin mengetahui apa itu Islam, maka anda lihat apa yang gerakan mereka lakukan. Mereka membunuh golongan bukan islam, menjalankan kegiatan pembersihan etnik dan juga menindas kaum wanita.

Seterusnya, mereka putarbelitkan lagi fakta hanya kerana terdapat persamaan dalam sesuatu isu. Contohnya ada ahli gerakan ISIS yang mengibarkan bendera hitam bertulisan arab bewarna putih yang tertera kalimah syahadah. Lantas mereka membuat konklusi bahawa semua umat Islam yang memegang bendera tersebut adalah berfahaman dan mendukung ISIS. Sedangkan bendera tersebut adalah sebenarnya merupakan panji (Ar Rayah)  yang dibawa oleh tentera Islam sejak di zaman Nabi Muhammad dan disertai pula dengan bendera  Al-Liwa yang mempunyai warna putih dan juga bertuliskan kalimah syahadah. Oleh yang demikian, tidak hairan sekiranya jemaah islam yang ada di dunia mengibarkan bendera yang sama. ISIS mungkin sahaja mengibarkan bendera tersebut tetapi tidak bererti mereka melakukan perkara yang sama seperti apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad.

Isu karikatur dan penyebaran berita menghina Islam bukanlah isu baru. Ia sebenarnya isu lama yang sering diputar dalam versi dan kaedah yang berbeza. Temanya adalah sama seperti umat islam diganjarkan 70 bidadari di syurga andai berjihad, islam membenarkan pembunuhan kaum bukan Islam, islam mengamalkan hukum hudud yang bersifat zalim, hukuman rejam sampai mati, potong tangan, islam menindas kaum wanita dan sebagainya. Setiap dari isu tersebut sudah pun mempunyai jawapannya dan akan dikupas sedikit demi sedikit melalui siri penulisan akan datang.

Saya tidak menafikan bahawa ia adalah propaganda yang sengaja dibuat-dibuat. Tujuannya adalah satu iaitu untuk membangkitkan sentimen umat Islam. Apabila umat Islam sudah semakin tidak sabar maka ia akan membawa keganasan. Dan inilah sebenarnya yang diimpikan oleh musuh islam iaitu saat umat islam bangkit melakukan keganasan dan mereka akan membenarkan teori mereka.


Bagi saya, ia adalah konsep yang cukup mudah untuk difahami dan anda tidak perlu menjelaskannya dalam konsep agama pun. Sebuah kerajaan yang menindas rakyatnya akan membawa kepada ketidakseimbangan dalam sudut ekonomi, keperluan diri dan sosial. Pada awalnya rakyat akan menelan segala ketidakadilan tersebut hinggalah pada akhirnya mereka akan memberontak dan menggulingkan kerajaan tersebut. Hal yang sama juga berlaku jika seorang anak dikongkong dengan kuatnya oleh ibu –bapa mereka menyebabkan mereka memendam keinginan yang tinggi. Akan tetapi keinginan tersebut gagal dilaksanakan hinggalah tiba satu masa di mana mereka akhirnya berjauhan dengan ibu bapa dan lantas melakukan segala yang terpendam. Bahkan mereka melakukannya secara melampau hingga menyalahi undang undang dunia dan agama.

Hal yang sama berlaku pada umat Islam. Ia benda yang sama berlaku di Denmark dan Paris. Persoalan utama disebalik semua ini adalah cukup mudah sekali. Ia tidak lain dan tidak bukan disebabkan pertambahan bilangan penduduk Islam. Sudah berabad lamanya mereka mempunyai fahaman anutan agama dan budaya tetapi kemudiannya mendapati satu demi satu rakan, ahli keluarga atau jiran mereka memeluk Islam. Jumlah mereka semakin lama semakin ramai hingga membentuk persatuan Islam sendiri. Mereka melihat ini sebagai ancaman kepada negara dan sistem pemerintahan sedia ada kerana warga beragama islam turut menanam cita-cita untuk ada pemerintahan dan sistem hidup Islam. Oleh itu, serangan ke atas Islam diperhebatkan melalui media dan juga dari segi perundangan. Larangan memakai hijab atau solat ditempat terbuka adalah untuk mengekang pengaruh Islam. Semakin lama, propaganda mereka semakin bertambah dan secara tidak langsung, orang islam ditindas dari segi fizikal dan juga mentalnya. Apabila mereka tidak tahan, maka ia membawa kepada tindak balas untuk meluahkan ketidakpuasan hati. Sebahagian dari mereka bertindak balas melalui penghujahan intelektual tetapi sebahagian dari mereka menggunakan keganasan. Masalah ini hanya akan dapat dibendung jika persoalan pokok dapat dibendung.

Percayalah ia bukan sahaja berlaku kepada Umat Islam. Anda tidak perlu pergi jauh untuk melihat keadaan yang berlaku. Di Malaysia sendiri, sentimen yang sama akan berlaku. Kita ambil contoh tindakan kerajaan yang cuba membendung pengaruh kristianiti. Larangan untuk menyebarkan risalah kristian secara terbuka dan menyebarkan agama kristian telah menimbulkan keresahan dalam kaum penganut kristian itu sendiri. Isu ini tidak sepatutnya diperdebatkan kerana ia sudah dipersetujui sejak zaman sebelum merdeka lagi iaitu agama selain Islam tidak dibenarkan menjalankan dakyah terbuka di Malaysia.

Akan tetapi, apabila agama Kristian semakin berkembang dan mempunyai ramai pengaruh, mereka juga mula merasa akan adanya keperluan untuk menyebarkan agama secara terbuka. Akan tetapi sekatan dari pihak kerajaan pastinya menimbulkan kemarahan mereka. Jika dulu, kita tidak mempunyai media sosial maka kemarahan tersebut sukar untuk difahami. Dengan perkembangan teknologi media pada hari ini maka anda akan melihat wujudnya serangan sebilangan kecil golongan ini melalui facebook, twitter, instagram, blog dan TV internet. Sekiranya mereka terus beranggapan bahawa mereka ditindas, maka adalah tidak mustahil yang kemarahan mereka akan diterjemahkan dalam manifestasi yang lebih ektrem.

Malaysia adalah sebuah negara yang pelik dan prejudis perkauman sentiasa membayangi setiap aksi dan bicara masyarakat. Ayat untuk melepaskan diri paling popular semestinya melayu racist. Adalah menjadi sesuatu yang pelik apabila bangsa melayu digelar racist atau ektremist apabila memperjuangkan hak dan kehidupan mereka.

Akan tetapi apabila bangsa lain mengutarakan perkara yang sama, ia tidak dilihat sebagai racist atau ektremist tetapi sebaliknya satu perjuangan mencapai nilai kemanusiaan,hak kebebasan bersuara dan hak menyuarakan pendapat.

Tulisan ini pasti akan membangkitkan sentimen emosi dalam banyak kalangan masyarakat tetapi saya meminta anda semua berfikir dengan mengenepikan emosi. Saya bukanlah pejuang bangsa melayu dan saya juga banyak bercampur dengan kaum bukan melayu. Percayalah, seperti mana wujud golongan racist dan ultra melayu maka mujud juga terlalu banyak golongan ektremis dan racist berbangsa selain melayu. Cuma mereka berselindung disebalik kebebasan bersuara dan media juga memainkan sentimen ini untuk menjatuh dan memburukkan bangsa melayu.

Persoalan yang patut dilontarkan disini, sekiranya mereka mampu bertepuk tangan saat kaum melayu menghentam Ibrahim Ali, Ridhwan Tee dan ISMA, maka adakah mereka bersedia sekiranya masyarakat cina dan india atau kadazan dusun yang racist juga dihentam dan ditentang? Saya memerlukan keikhlasan untuk anda menjawab soalan ini.

Dalam serangan ke atas Charlie Hebdo, sebagai seorang muslim saya juga mengutuk serangan tersebut yang mana pada pandangan saya ia boleh diselesaikan secara aman. Penerbitan tersebut boleh sahaja menarik balik pengeluaran karikatur dan meminta maaf. Sebelum serangan berlangsung, sebenarnya sudah banyak ketidak puasan hati yang dimanifestasi rakyat Perancis samada melaui demonstrasi ataupun penulisan. Akan tetapi, editor masih tetap angkuh dan berterusan untuk memainkan sentimen agama.

Apabila serangan berlaku, kita lihat banyak kartun-kartun moden yang tampil menjadi hero menentang keganasan. Antaranya adalah dengan kehadiran Netanyahu dalam perhimpunan solidarity rakyat perancis bersama pemimpin dunia lain termasuklah Francois Hollande, Abbas dan juga pimpinan utama dari german, Itali, Turki, Britain dan Palestine. Netanyahu sendiri terlibat dalam banyak siri keganasan ke atas rakyat Palestin dan membunuh ribuan kanak-kanak dan wanita. Kenapa dia tidak pernah digelar sebagai pengganas? Kerana media itu sentiasa berat sebelah dan akan terus menerus melabel islam sebagai pengganas.

Melalui siri penulisan seterusnya, saya akan mengupas isu tentang keganasan yang dilakukan puak pelampau bukan Islam, faktor yang membawa kepada keganasan orang islam, pendirian umat islam terhadap isu keganasan seperti pengebomam sekolah serta penindasan wanita dan pendidikan, isu evergreen seperti islam agama keganasan, zalimnya hukum hudud dan juga ancaman pemikiran moden ke atas Islam sebagai agama yang mengajar tentang keamanan.

Wednesday, January 14, 2015

PERTEMBUNGAN PERUBATAN MELAYU-ISLAM DAN BARAT (siri 3)



Saya ditanya, adakah saya menafikan perubatan alternatif setelah berkecimpung dalam bidang perubatan moden dan adakah saya berkelayakan untuk membuat komentar tentang isu perubatan alternatif. Saya terlibat dalam bidang perubatan selama hampir sembilan tahun, walaubagaimanapun bertugas sebagai doktor perubatan selama hampir empat tahun. Akan tetapi, sejak mula terlibat dalam kolej perubatan, saya sudah melibatkan diri secara langsung dengan bidang klinikal. Sebagai seorang Pegawai Perubatan yang berdaftar dibawah Majlis Perubatan Malaysia, saya rasakan diri ini bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu ini.

Sekali lagi saya katakan disini, saya bukan anti PERUBATAN ALTERNATIF tetapi saya anti perubatan MELAYU-ISLAM. Istilah ini saya kemukakan memandangkan timbul banyaknya golongan doktor mee segera yang wujud di Malaysia. Mereka menggunakan imej islamik serta ayat-ayat Al Quran untuk mengaburi mata masyarakat. Majoriti dari mereka adalah berbangsa MELAYU dan seagama dengan saya iaitu ISLAM. Mereka menggunakan gelaran yang mengelirukan sebagai Professor Emiritus Sir, Doktor, Professor dan sebagainya sedangkan Majlis Perubatan Alternatif dan juga Homeopathy MELARANG ahli perubatan Alternatif menggunakan gelaran ini.

Ramai yang berkata, pun ada golongan tabib cina yang berbuat benda sama dan begitu juga tabib India yang mengajar teknik Ayurveda palsu. Kenapa tidak menghentam mereka? Siri artikel saya bersifat UMUM dalam menentang Bogus Perubatan tetapi SPESIFIK kepada kumpulan MELAYU-ISLAM. Ini kerana, saya benar-benar pantang dengan perbuatan menggunakan agama untuk meraih keuntungan. Tindakan tersebut juga bersifat pembohongan dan penganiayaan terhadap masyarakat yang mempunyai sakit. Tidak ada perbuatan yang lebih keji dan hina selain dari mengambil kesempatan di atas kesusahan saudara disekeliling kita.

Terdapat blog yang memperkenalkan terapi attitude positif yang menyarankan kaedah rawatan yang berbahaya. Antaranya, jika anda pesakit thallasemia dan mempunyai kepekatan hemoglobin dalam darah sebanyak 2, anda tidak perlu ke hospital untuk ditambah darah sebaliknya anda hanya perlu membetulkan cara berfikir. Pesakit yang mempunyai Hb 2 akan bila-bila masa sahaja akan mendapat komplikasi. Mereka tidak akan sedarkan diri kerana otak kekurangan bekalan oksigen yang dibawa oleh darah. Jantung akan kekurangan bekalan oksigen hingga menyebabkan serangan jantung dan kematian.

Contoh kedua adalah pesakit yang memiliki tekanan darah melebihi 220/130 tidak perlu diberi rawatan ubat anti hipertensi. Pada saat ini, saluran otak di dalam darah pada bila-bila masa sahaja boleh pecah dan pesakit akan mengalami strok. Darah tinggi yang kronik dan tidak dirawat akan membawa kepada kegagalan buah pinggang dan juga serangan jantung. Siapa yang akan bertanggung jawab atas kehilangan nyawa pesakit tersebut?

Teknik keji lain yang digunakan mereka adalah menggunakan cakap-cakap kononnya pesakit itu dan ini sembuh ataupun ada doktor yang diberi rawatan dan sembuh. Sebagai contoh, saya dihampiri oleh rakan yang bekerja dalam bidang kejuruteraan dan mempromosi sejenis ubat. Kata beliau, ada doktor di HUSM yang mengalami serangan jantung kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Koronari dan diberikan oleh jururawat secara senyap sejenis ubat Alternatif. Pesakit tersebut seterusnya sembuh dan dibenar pulang. Sehingga hari ini, nama doktor tersebut tidak pernah didedahkan dan ia turut menimbulkan tanda tanya memandangkan saya pernah menghabiskan masa selama LIMA tahun di HUSM.

Terdapat juga golongan bogus kesihatan yang menawarkan teknik terapi minda dan juga kaedah rawatan elektrik untuk meningkatkan tahap kecerdikan murid. Mereka akan melekatkan elektrod pada kepala dan memberi terapi elektrik. Saya kira, rawatan mereka adalah diambil inspirasi dari rawatan Electroconvulsive Therapy (ECT) untuk memulihkan pesakit Scizophrenia ataupun masalah gangguan emosi yang terlalu teruk. Teknik rawatan ECT sendiri adalah bahaya dan hanya kes tertentu yang akan diberi rawatan tersebut. Pesakit akan berpuasa dan diberi ubatan bius. Sepanjang prosedur, para doktor akan bersedia dengan kelengkapan resusitasi dan alatan cardiac monitor dan SPO2 monitor digunakan untuk menilai keadaan pesakit dari semasa ke semasa. Akan tetapi, hal berlainan digunakan untuk teknik terapi minda oleh bogus kesihatan. Kita tidak tahu berapa banyak caj elektrik yang dikenakan, apa rangka keselamatan sekiranya berlaku kecemasan dan sejauh mana teknik ini berkesan? Oleh itu, tindakan ini adalah bercanggah dengan asas perubatan iaitu Do No HARM!. Ia adalah teknik yang tidak dibuktikan tahap keselamatannya dan tiada asas rawatan dan mengapa ia terus menerus dipopularkan? Adakah perbuatan ini diredhoi oleh Allah dan dibenarkan oleh Islam?

Terdapat juga doktor bogus yang menyarankan rawatan membetulkan DNA menggunakan mesin amplifier dan sebagainya. Ia adalah sesuatu yang mengarut dan tidak masuk akal. Setiap jenis sel dalam badan kita mempunyai nucleus ataupun pusat kepada sel di mana di dalamnya terkandung DNA. Rantaian DNA ini diperlukan untuk menghasilkan bahan yang membawa kepada penghasilan protein tertentu dalam badan. Terdapat penyakit genetik yang merosakkan keseluruhan fungsi DNA dan terdapat juga penyakit seperti virus tertentu yang merosakkan DNA pada masa tertentu sahaja. Penyakit genetik ini tidak dapat dirawat melalui kaedah penggunaan mesin. Walaubagaimanapun, untuk penyakit yang disebabkan jangkitan kuman, ia boleh dirawat dan akan menyebabkan sel yang rosak itu mati. Hanya dengan mengetahui asas kepada badan manusia maka kita akan tahu bahawa rawatan itu boleh dilakukan atau tidak.

Mungkin anda pernah lihat cerita lakonan Mr Os yang menunjukkan beliau menghasilkan ubatan ajaib bahkan membolehkan haiwan bercakap. Mungkin filem sebegitu yang menjadi sumber inspirasi bogus kesihatan untuk mencipta mesin perawatan.

Berdasarkan kupasan saya, perubatan yang ada sekarang BUKAN perubatan islam dan ia juga BUKAN perubatan alternatif dan tradisional. Sebaliknya, ia hanyalah rawatan yang diada-adakan dan dibina berlandaskan putar belit fakta sains dan mengambil kesempatan ke atas pesakit. Berbeza dengan perubatan alternatif, kerajaan sudah mula menyedari fungsinya dalam rawatan ke atas pesakit. Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari 2013 adalah bukti bahawa perubatan moden tidak meminggirkan perubatan alternatif.

Saya tidak nafikan bahawa penggunaan akupuntur, urutan tradisional, mampu untuk memulihkan masalah “Kesakitan Kronik”. Begitu juga penggunaan aromatherapy dan terapi minda untuk memulihkan kecelaruan minda. Bahkan, kajian sains terbaru juga menunjukkan mayarakat yang merawat spiritual mereka dengan ayat-ayat Quran dan berfikiran positif juga dapat sembuh lebih cepat berbanding orang biasa.

Semestinya, ia sudah cukup andai pesakit tersebut sendiri yang membaca Al Quran, melakukan solat hajat dan tidak bergantung kepada air yang dibaca ayat Quran oleh ustaz. Ataupun  air dari tujuh gunung yang dijampi dengan ayat Al Quran. Walaubagaimanapun, saya tidak melihat kemudharatan andai mereka tetap ingin membeli air ini. Itu adalah duit anda sendiri. Anda boleh berhubung secara terus dengan Allah atau anda boleh menghabiskan duit poket anda membeli air yang didakwa disucikan dengan ayat Al Quran.

Sewaktu saya bertugas di Hospital Tawau, terdapat pesakit yang mengalami cirit birit yang teruk. Rawatan untuk cirit birit adalah pemberian cecair melalui saluran darah dan juga ubat antibiotik untuk kes tertentu. Ibu pesakit pula bertegas bahawa dia jatuh sakit disebabkan kemarahan nenek moyang dan bertegas untuk membawa pesakit pulang bertemu dukun. Saya sedar, sekiranya pesakit dibenarkan pulang, dia akan mati kerana kehilangan air dan garam yang banyak. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk membenarkan ritual tradisional tersebut dilakukan di hospital. Saya tidak membangkang asalkan pesakit masih tetap menerima rawatan doktor dan dukun juga tidak menggunakan ubatan herba yang boleh membawa kepada kesan sampingan. Pesakit akhirnya sembuh dan dibenarkan pulang selepas beberapa hari. Mungkin ibunya beranggapan bahawa dia sembuh disebabkan oleh dukun. Dalam keadaan ini, doktor hanya berlapang dada kerana doktor lebih faham bahawa rawatannya adalah melalui pemberian cecair melalui salur darah. Itu yang membantu pesakit.

Setakat ini, saya rasa anda sudah boleh menilai tentang apa yang saya sampaikan. Secara ringkasnya, perubatan moden adalah selari dengan ajaran Islam maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa perubatan moden adalah perubatan Islam. Kedua, banyak dakwaan bahawa mereka mengamalkan perubatan Islam padahal ia adalah penipuan dan mereka adalah golongan doktor bogus yang patut dijauhi. Dan yang ketiga sekali, perubatan moden tidak pernah megenepikan rawatan alternatif dan komplementari sebaliknya tugas doktor adalah untuk membantu pesakit agar tidak membuat pilihan salah dengan memperjudikan nyawa mereka kepada bogus kesihatan.

PERTEMBUNGAN PERUBATAN MELAYU-ISLAM DAN BARAT (siri 2)



Muhamad Na’im Bin Ab Razak (M.D USM)

Apa yang masyarakat maksudkan tentang Perubatan Islam? Adakah ia bererti jampi serapah, penggunaan air penawar yang dibaca potongan ayat quran atau pemakanan berasaskan sunnah.

Perkembangan perubatan pada pendapat saya adalah bersikap progressif. Doktor yang ada pada hari ini tidak menolak perubatan Islam dengan mengamalkan teknik rawatan yang mana silibusnya adalah berdasarkan pendidikan barat.

Sebaliknya, apa yang diajar melalui silibus tersebut juga selari dengan agama Islam. Saya tidak ragu-ragu untuk berkata bahawa perubatan moden hari ini adalah selari dengan perubatan Islam.

Kita berbangga dengan tokoh islamik seperti Al Razi, Ibnu Sina, Ibn al Haitham, Ishaq Ibn Ali-Ruhawi, Ali Ibn Morin al Ridha dan sebagainya. Kita katakan mereka sebagai pengamal perubatan Islam. Kita sokong dan kita dokong mereka.

Akan tetapi, pernah kah kita susuri bagaimana mereka mengamalkan ilmu perubatan? Siapa ISLAM yang cuba dipotretkan oleh masyarakat. Adakah bangsa arab semata-mata? Jika itu fikiran anda, perubatan islam adalah yang berlandaskan peri bahasa arab dan lahir dari tengah gurun padang pasir. Maka anda silap.

Atau anda hanya cuba untuk mempamerkan perubatan MELAYU-ISLAM? Kenapa saya katakan MELAYU-ISLAM? Ini kerana kebanyakan perubatan yang ada sekarang hanyalah rekaan umat berbangsa melayu yang sebenarnya sedikit sahaja kebergantungannya pada Agama Islam.

Ibnu Sina sendiri bukan lah orang arab. Beliau bukan sahaja tokoh perubatan Islam tetapi juga tokoh falsafah yang muncul di saat dunia sedang keliru tentang keesaan Allah. Saat masyarakat dihentam hebat oleh golongan falsafah yunani dan membawa kepada kecelaruan Akidah. Ibnu Sina hadir untuk mengemukakan cara baru dalam berfikir dan pada masa sama tidak mengenepikan Allah. Kaedah perawatannya pula adalah berlandaskan kepada Hipoccratic Corpus dan turut dipengaruhi kaedah pemikiran dari Aristotle dan Galen. Kesemua mereka adalah tokoh Yunani. Bahkan Ibnu Sina juga dikaitkan sebagai Galen kedua ataupun anak murid kepada Galen. Adakah Ibnu Sina juga agen yahudi dan murtad dengan mengembangkan ilmu perubatan dari Yunani? Sedarkah anda bahawa Hipoccrates digelar sebagai Bapa Perubatan dan Ibnu Sina ataupun Avicenna pula dikenali sebagai Bapa Kepada Perubatan Moden.

Begitu juga Al Rhazi yang merupakan seorang pakar bedah. Dia juga berketurunan Parsi. Apa yang menariknya tentang Al Rhazi adalah beliau mengemukakan konsep bahawa manusia itu dibahagikan kepada aspek fizikal dan spiritual ataupun  minda. Sebelum sesuatu penyakit dapat di rawat, doktor harus memastikan kedua-dua aspek ini berjaya dirawat. Sakit fizikal dirawat melalui pembedahan mahupun ubat-ubatan manakala sudut spiritual dirawat dengan mendekatkan diri dengan Tuhan dan pentingnya sentiasa berfikiran positif.

Selain itu, ulamak islam seperti Ishaq Ibn Ali al Ruhawi juga telah menetapkan nilai-nilai etika dalam proses memberi rawatan kepada pesakit. Ini bererti, setiap orang doktor itu perlu beradab dan juga perlu jujur dalam memberi rawatan kepada pesakit. Nilai etika ini turut disentuh oleh Al-Syeikh Walid bin Rasyid Al-Su’aidan dimana beliau berpandangan seseorang perawat itu harus sentiasa membetulkan niat dalam merawat pesakit semata-mata kerana Allah.

Apa yang menariknya, pandangan tokoh-tokoh perubatan Islam ini diambil berat oleh sistem pendidikan  barat. Falsafah disebalik idea dan pemikiran mereka telah dijadikan batu loncatan untuk mereka jalankan lebih banyak kajian dalam bidang perubatan.

Kerana itu, sekiranya anda menilai nilai etika dalam perubatan barat sendiri, anda sebenarnya akan menemui banyak nilai islamik yang tertanam. Antaranya adalah kepentingan untuk memberikan ucapan salam ataupun ‘hi’ serta berjabat tangan dengan pesakit sebelum memulakan proses rawatan. Ia tidak lain dan tidak bukan adalah konsep ta’aruf yang diperkenalkan oleh Islam.

Apabila seseorang doktor memeriksa pesakit, mereka biasanya akan memeriksa dari bahagian kanan pesakit. Bukankah ini juga nilai memuliakan pesakit seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.

Malah, perubatan barat juga mengajar bahawa perlunya seorang saksi ataupun peneman (Cheparone) apabila seseorang perawat memeriksa pesakit yang berlainan jantina.

Akan tetapi, orang awam memepertikaikan lagi. Ia kelihatan islamik tetapi sebanarnya kafir. Lihat sahaja bahan ubat-ubatan yang dibuat dari sumber haram.

Masalah umat melayu yang ada pada hari ini adalah mereka MALAS mengkaji dan mereka TAKSUB kepada ustaz-ustaz tertentu yang berfikiran jumud. Malah, apabila anda membahaskan isu babi sekalipun, terdapat pelbagai pandangan mazhab  mengenainya. Jika kita teliti perkataan yang diguna dalam  quran sendiri pun, ulamak akan mentafsirkannya sebagai DAGING BABI. Kerana itu muncul pelbagai pandangan ulamak berhubung penggunaan gelatin babi, lemak babi mahupun tulang dan kulit babi itu sendiri.

Dari aspek kesihatan pula, ulamak sudah mengeluarkan pelbagai garis panduan dengan majoriti dari mereka bersetuju bahawa perkara darurat mengharuskan rawatan dari sumber haram. Soalannya di sini, adakah sumber babi itu HARAM? Maka di sini, saya buka kembali ruang pemikiran agar kita tidak bersifat jumud. Sumber babi itu iaitu gelatin adalah haram untuk sebilangan ulamak TETAPI ia juga sebenarnya tidak haram mengikut pandangan sebilangan ulamak yang lain.

Namun demikian, orang barat juga tidak bodoh. Mereka tahu bahawa ramai pengguna adalah beragama Islam. Anda jangan buat-buat tidak tahu tetap secara hakikatnya, banyak hospital di negara barat mengeluarkan garis panduan untuk membantu pesakit beragama Islam dalam memilih ubat-ubatan yang halal. Pengeluar ubat-ubatan juga banyak yang telah menukarkan penggunaan bahan berasaskan babi kepada lembu, kambing ataupun kuda.

Ironinya, merokok sudah difatwakan haram oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan tetapi golongan antik vaksinasi, golongan ustaz-ustaz perubatan Islam, golongan bogus perubatan dan juga golongan anti perubatan barat masih belum berhenti dari merokok. Walaupun terdapat ura-ura yang mengatakan rokok mengandungi gelatin babi, tetapi mereka tetap masih merokok. Bukankah ini merupakan satu bahan lawak jenaka yang amat kelakar?

Oleh yang demikian, saya sebenarnya tidak langsung mendapati bahawa perubatan moden pada hari ini tidak mengikut landasan agama islam. Oleh itu, saya kecewa dengan tuduhan masyarakat khususnya sebilangan kecil golongan agama yang melabelkan doktor moden sebagai ejen yahudi, pemusnah bangsa dan sebagainya.

Setidak-tidaknya, doktor moden masih mampu bersikap professional dan berpijak pada bumi realiti. Mereka sedar akan keterbatasan perubatan mereka dan kerana itu mereka tidak berani mengatakan bahawa mereka boleh merawat semua jenis penyakit. Bahkan, sebiji pil juga terhad penggunaannya untuk penyakit tertentu.

Lihat pula golongan bertudung labuh dan berjubah serta mereka yang berjanggut dan berserban dimana mereka mengemukakan pelan rawatan yang cukup canggih. Malah ada yang berani mengatakan bahawa mereka mampu merawat SEMUA jenis penyakit. Satu produk mereka seperti air yang dialirkan cas elektrik atau diambil dari lautan dalam boleh menyembuhkan ribuan jenis penyakit.

Sedarlah, mereka sedang menipu anda . Mereka meresap dalam sistem pendidikan dengan membuat skema yang melaungkan slogan meningkatkan pengembangan minda, menghasilkan generasi yang bijak dan sebagainya. Disebalik penipuan itu, mereka anjurkan juga kem kem kesihatan percuma menggunakan produk yang langsung tidak pernah diuji keberkesanannya secara saintifik dan menggunakan istilah canggih manggih demi untuk mengaburi mata anda.

Anda nilai sendiri, perubatan islam mana yang anda inginkan? Sanggupkah anda memperjudikan nyawa anda kepada bogus-bogus yang berlindung disebalik imej islamik ini? Wahai bangsaku, berhenti menjadi candu agama dan berhenti membiarkan diri diperbodohkan atas nama Agama. Islam menyuruh anda membuat kajian dan mencari kebenaran. Kenapa malas sangat untuk mengikut saranan Agama?

Dalam  siri ketiga penulisan, saya akan menerangkan tentang pemahaman serta pendirian saya berkenaan Perubatan Alternatif, Perubatan MELAYU-ISLAM dan adakah perubatan moden bercanggah dengan perubatan islam.

Tuesday, January 13, 2015

PERTEMBUNGAN PERUBATAN MELAYU-ISLAM DAN BARAT (siri 1)



Oleh: Muhamad Na’im Bin Ab Razak (M.D USM)

Doktor perubatan ni berpendidikan barat. Mereka dah biasa dengan ubat kimia yang mampu melemahkan badan manusia. Mereka sudah terpengaruh dengan agenda Yahudi laknatullah. Kerana itu, mereka sangat berlagak dan memperlekehkan perubatan Islam. Subhanallah, mereka sudah murtad. Kerana itu, mereka selalu hentam perubatan Islam.

Anda biasa dengan kenyataan tersebut? Ya, banyak sekali dan maaf sekiranya saya katakan bahawa bicara tersebut banyak diungkapkan oleh dua golongan. Golongan pertama adalah golongan cerdik pandai agama yang belajar bertahun-  tahun di negara Arab. Golongan kedua adalah paling kritikal kerana mereka berpakaian seperti ustaz, berbicara seperti ustaz, menggelarkan diri sebagai professor, doktor, Tabib, Sir tetapi mereka bukan ustaz dan mereka juga bukan golongan pakar perubatan. Sebaliknya mereka ialah golongan bogus yang tidak pernah mendapat latihan khusus dalam bidang perawatan. Mereka hanya menggunakan imej islamik untuk menipu pesakit yang kehilangan akar untuk bergantung harap.

Saya utarakan kembali. Apa itu Perubatan Islam? Ramai yang masih berfikiran tertutup dengan mengatakan bahawa perubatan Islam itu berasaskan bacaan potongan ayat Al Quran, penggunaan bahan seperti madu, Habbatussauda’, Kurma, Susu kambing, Air Zam Zam dan sebagainya.

Adakah saya menolak kaedah perawatan tersebut. Sebagai Islam, saya mestilah Islam dari segi amalan terlebih dahulu sebelum merangkak masuk ke bahagian lain. Ya, saya setuju bahawa AL Quran itu diturunkan sebagai penawar. Benar saya tidak menolak hadis yang mengatakan hendaklah kamu berubat dengan madu. Bahkan dalam Quran juga mengatakan bahawa madu itu adalah penawar.

Tapi setakat itu sahajakah MAKSUD PERUBATAN ISLAM? Sehingga ke hari ini, saya cuba meneliti konsep perubatan Islam yang diwar warkan tersebut. Maaf saya katakan, sehingga hari ini saya hanya lihat manusia bertopengkan agama yang cuba untuk mengaut keuntungan berbanding niat untuk merawat. Maafkan saya kerana saya rasakan, mereka semua hanya menampilkan watak islamik tetapi tidak menjadi perawat yang sebenar.

Agenda mereka cukup senang. Sebarang benda yang tidak selari dengan kehendak mereka, maka mereka akan kaitkan dengan barat dan Yahudi. Contoh paling evergreen adalah vaksinasi. Kata mereka, vaksinasi adalah agenda yahudi dan barat untuk membunuh umat islam atau menggelapkan hati dengan benda-benda haram. Ada yang berkata doktor itu dan ini juga tidak gunakan vaksin. Malah, apabila ditanya siapa doktor yang berkata itu dan ini bahawa vaksin itu haram, satu nama pun gagal dipetik. Jika vaksin agenda barat, kenapa anak-anak barat dan yahudi juga disuntik dengan vaksin? Bukankah itu akan membuatkan otak mereka biol dan tolol? Sebaliknya mereka menjadi semakin cerdik dan terus menguasai dunia. Umat melayu kita di mana? Sekadar terampai ditepi longkang menjadi penagih atau hanyut dibuai angan angan menjadi kaya di bawah skim cepat kaya.

Adakah anda sebagai pengguna sanggup menerima rawatan yang berasaskan cakap-cakap orang? Kembali kita kepada Al Quran bahawa Allah berfirman apabila seseorang fasik membawakan berita kepada kamu, maka hendaklah kamu siasat kesahihan cerita tersebut. Jadi, pernahkah anda cuba siasat siapa doktor atau pakar yang membuat testimoni yang konon-kononnya menyokong golongan anti vaksin? Bahkan anda hanya percaya sebulat-bulatnya. Bererti anda sendiri tidak mengikut saranan Quran. Jadi bagaimana pula anda katakan bahawa anda pengikut kepada perubatan islam? Asasnya sendiri sudah lari, maka adakah binaannya kukuh tanpa rebah?

Kedua, mereka memutarbelitkan kenyataan Al Quran bahawa Quran itu penawar segala penyakit. Akibatnya, keluarlah produk seperti air yang dibaca dengan 30 juzuz quran, piring ditulis dengan ayat Al Quran dan kemudiannya direndam dengan air hingga bertukar menjadi penawar, Air yang diambil dari telaga zam-zam dan dibacakan ayat oleh ustaz sekian sekian. Apabila ditanya umat Islam, berapa kali kamu baca Quran? Siapa diantara kamu yang faham maksud ayat-ayat dalam Quran? Nescaya masing-masing akan menjadi kura-kura yang menyorokkan kepala mereka dalam cengkerangnya.

Pernahkah kita selami apa kata-kata Quran dan hadis? Islam mengajar kita untuk berusaha setiap kali ada kemashalahan. Selain berusaha, Islam menyuruh kita berdoa kepada Allah. Dan paling penting, Islam juga mengajar kita bahawa akan ada suatu masa apabila ada golongan yang MENGGUNAKAN agama untuk meraih kepentingan dunia dan mendapat kekayaan. Pernah kah anda berfikir sejenak dan bertanya, kenapa ustaz itu dan ini jual air jampi yang dibaca Al Quran. Kenapa Ustaz itu jual produk yang merupakan makanan sunnah tapi harga berganda-ganda mahalnya. Katanya ia mujarab.

Ketiga, mereka membina rangkaian perniagaan multilevel marketing ataupun sistem jaringan yang tampak gah. Mereka tubuhkan persatuan-persatuan tertentu dan mengeluarkan istilah yang sangat canggih hingga mampu membuatkan penduduk kampung percaya pada mereka. Mereka gelarkan diri mereka sebagai professor dan doktor serta membuat poster-poster mengelirukan seperti “program doktor bersama masyarakat” sedangkan mereka langsung tiada kepakaran untuk merawat pesakit. Ada diantara mereka yang menghadiri bengkel perawatan selama sehari tetapi terus mendapat gelaran doktor. Ironinya, masyarakat lebih percaya kepada mereka. Walaupun mereka katakan terapi elektrik melalui wayar yang dipasang kepada kepala boleh menyebabkan mereka bijak. Ataupun mereka gunakan mesin untuk merawat DNA. Saya hairan, bagaimana kita boleh terus menerusan membiarkan diri kita diperbodohkan dan mempercayai dongengan sebegini.

Sungguh ironi anda sanggup mempertaruhkan nyawa kepada mereka yang belajar beberapa hari dan terus mendapat ilham untuk menjadi professor, doktor atau Tabib. Sedangkan seorang doktor perlu mengambil masa selama enam ke sepuluh tahun untuk menjadi pegawai perubatan biasa, seterusnya bekerja mencari pengalaman selama tiga atau empat tahun dan menyambung belajar selama empat tahun untuk menjadi pakar. Kemudian mereka belajar lagi dua ke tiga tahun untuk menjadi lebih mahir. Melalui pengalaman selama 20 tahun, barulah mereka bergelar konsultan yang arif dalam bidang perubatan.

Anda yang membuat pilihan. Bogus yang berimej islamik, konon-kononnya membawa perubatan Islam dan menjual terapi dongeng ataupun doktor yang mendalami disiplin ilmu tertentu yang menjadi pilihan anda?

Bersambung dalam siri dua dimana saya akan mengupas tentang perubatan Islam
Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah