Tuesday, April 29, 2008

Best ke ber ’couple’

dan bahwasanya Dialah yang menciptakan berpasang-pasangan pria dan wanita.”[53:45]

Kata orang, dari mata turun ke hati. Bermula dengan renungan manja, akhirnya rasa kasih pun menusuk kalbu. Ayat demi ayat disusun, kata demi kata diluah maka bermula lah saat-saat manis dalam diari hidup remaja zaman kini.

“Ayang sihat, tgh wat ape tu”, Mr XY

“Hehe ok je, ingatkan abang la”, Mrs XX

“Jom kuar dating”, Mr XY

“Erm ok, abg tunggu kat Cafe Nurani ek”, Mrs XX

Ragam manusia ni memang bermacam adegan aksi dan gayanya, sambil baring melihat handphone lalu senyuman terukir secara tiba-tiba. Tergelak dan tergolek. Kalau la Handset tu boleh bercakap, senang sahaja ia ketawa dengan gelagat yang ditonjolkan. Janji di atur dengan Sang Kekasih disambut dengan begitu pantas, disauknya baju dan bersolek lantas mara menuju ke destinasi cinta dunia. Dari bersapa terus berpegang berhayun-tangan dan melangkah dengan penuh riang. Tidak dipeduli lagi sahabat-handai yang mengerling dengan ekor mata yang tajam. Yang ada hanyalah keseronokan bersama dengan yang tersayang. Biar apa orang tabligh nasihat, pergi mampus dengan teguran budak usrah. Yang penting, kami enjoy, kau peduli apa.

Dan dia (tidak pula) termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih saying.” [90:17]

Seronok ya bila dah ada couple, pergi ke mana-mana mesti berdua. Nak makan ada orang tolong sendukkan nasi, belajar berdua, keluar outing berdua. Lagi best sebelum tidur, siap pesan lagi dekat pasangan masing-masing, “nanti tolong kejut bangun tahjud ye”. Hrmmm hebat betul, cinta islamik la kononnya. Tapi bolehke macam tu?

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk”[17:32]

Dalam Quran, Allah S.W.T tak sebut jangan berzina, sebaliknya jangan mendekati zina. Sebab zina ni banyak risk factor dia termasuk lah berdua-dua antara lelaki dengan perempuan. Maklumlah, yang ketiganya ialah syaitan. Kononnya ber’couple’ ni niat baik, nak suruh ada semangat belajar, senang nak bangun malam buat tahjud dan macam-macam lagi lah. Tapi adakah cara yang kita gunakan itu sesuai?

“Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [43:62]

Apabila berajakan syaitan di mata dan bertakhtakan pula nafsu di hati, maka dari bercouple, muncul lah pula wabak baru. Dari adegan ringan-ringan lantas membawa kepada kecekalan hati untuk bersama. Ketika itu, tak kiralah kat mana, Dewan Nurani, Belakang barrack tentera, DK6, Dewan Utama,Padang Golf bahkan tepi-tepi semak pun boleh jalan kerja-kerja maksiat ni. Yang kantoi tu, menangis lah pura-pura sedih. Yang belum kena pula makin besar kepala. Inikah ragam mahasiswa dan mahasiswi bermentaliti kelas pertama?

Silap-silap haribulan keluar surat khabar. Aku sedih juga melihatkan ragam muda-mudi sekarang. Perbuatan zina seolah-olah menjadi mainan biasa. Aku turut terkejut apabila seorang aktivis JIM memberitahuku bahawa pernah dalam program motivasi yang dianjurkan mereka di Johor, 4-5 orang remaja daripada 10 orang mengaku sudah terlanjur. Aku tak tahu siapa yang patut disalahkan, lelaki, perempuan, ibu-bapa, guru atau jiran. Last sekali, salahkan diri sendiri sebab tak mampu nak cegah, tak mampu nak nasihat. Tunggulah natijahnya apabila bertambahnya anak zina ni yang juga merupakan satu petanda berlakunya hari kiamat.

Aku pernah berbual dengan rakan-rakan mengenai perkara ni. Kata mereka, perempuan ni awal-awal nak pegang punyalah jual mahal. Masa mula-mula nak bersama beria-ia tak nak. Tapi bila dah kena sekali, ketagih jadinya. Kalau tak dilayan, keluar lah dalam paper aduan konon-kononnya mereka dirogol. Sedih memang sedih bila mendengar cerita ini. Anda semua bagaimana?

Kadang-kadang pelik juga dengan karenah lelaki, konon-kononnya bercouple ni suka-suka je. Bukan nak kahwin dengan awek. Maklumlah, dalam hati asyik terbayang nak kahwin dengan yang bertelekung labuh je. Hrmm macam-macam lah karenah manusia ni.

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia” [24:26]



Siapa yang patut disalahkan bila berlaku benda2 begini

Murid tahun enam dakwa dirogol teman lelaki (Utusan Malaysia/Jenayah 29 April 2008 / 22 Rabiul Akhir 1429)


Saturday, April 26, 2008

Betulkan Jemaah Dulu?

Aku mula mengenal Bible sewaktu di Kem Latihan PLKN. Di situ jugalah aku mendapat pendedahan awal mengenai christianity terutamanya aliran catholic melalui sahabatku yang merupakan seorang mubaligh. Pada awal aku membaca Bible, aku di tegur oleh seorang jurulatih kerana risau aku menjadi murtad. Semenjak daripada itu, aku terus tidak memegangnya sehinggalah sewaktu di 1St year medic melalui Kelas Peradaban Nabawi oleh Bro Lim dan Bro fitri. Bermula dari saat itu, minat terhadap Comparative Religion mula menebal dalam diri.

Berbekalkan ilmu yang cetek, aku mula terlibat dalam perbahasan islam-christian melalui friendster group ‘Christian In Friendster’ (CIF). Setelah setahun berjuang dalam group itu, aku mula mengenal beberapa muslim di sana dan belajar secara tidak langsung dengan mereka. Perkenalanku dengan Kak Aleeya, seorang ahli group CIF telah memperkenalkan aku dengan suaminya, Bro Masyuri yang akhirnya membawa kepada pertemuan kami di Kampus Induk USM. Di sana aku dengan bantuan Bro Masyuri dan Isterinya telah terlibat dalam satu dialog terbuka dengan dua orang pelajar christian. Lanjutan daripada itu, aku akhirnya meredah perjalanan memenatkan dari Kubang Kerian Ke KL berseorangan untuk menyertai Kursus Friendly Comparative Religion anjuran Saba’ Islamic Media di bawah tenaga pengajar Bro Lim Jooi Soon, Bro Shah Kirit dan Bro Engku Fauzi. Sedikit demi sedikit ilmu dapat dikumpul dan satu network bersama-sama alumni FCR berjaya diwujudkan.

Kesannya aku mula terlibat dengan sesi diskusi terbuka dengan beberapa pelajar christian yang akhirnya membawa kepada ‘Interfaith Dialogue’ di mana aku menjadi Timbalan Pengarah Projek. Namun nyata usahaku itu tidak mendapat restu daripada beberapa rakan sejemaah dakwah. Ramai yang menentang. Apa yang diperkatakan mereka ada benarnya seperti betulkan dulu jemaah islam dan diri sendiri. Tindakan seorang sahabatku yang memijak Bible kepunyaanku turut menunjukkan penentangan mereka terhadap usaha ini. Kata mereka lagi, kalau sembahyang jemaah lima waktu sehari pun gagal dilaksanakan, apa gunanya dakwah kepada non muslim. Namun sampai bila kita nak betulkan orang islam sahaja dan membiarkan non muslim begitu sahaja?

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” [3:104]

Dakwah dari segi bahasanya bermaksud untuk mengajak, menjemput. Bahkan orang-orang arab yang ingin mengajak sahabat handai mereka ke jamuan perkahwinan sekalipun akan menggunakan perkataan ini. Secara analoginya dakwah bolehlah disamakan dengan mengajak seseorang untuk masuk ke dalam rumah dari luar rumah. Maknanya mengajak seseorang dari tiada pegangan terhadap kalimah Toyyibah kepada Islam.

Bagiku, dakwah terhadap non muslim bukan semestinya kita berjaya menarik sesorang kafir menganut agama Islam tapi apa yang lebih penting ialah, kita mengurangkan fitnah terhadap agama kita sendiri yakni dengan menerangkan salah faham mereka terhadap islam.Sesungguhnya, hidayah hanyalah daripada Allah dan tugas kita tidak lebih daripada seorang penyampai.

"Dan taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul-Nya, jika kamu berpaling sesungguhnya kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.' [64:12]

Berbalik kepada dakwah, bagiku istilah ini lebih tepat digunakan untuk tujuan mengajak non muslim kepada islam manakala untuk sesama jemaah islam, ‘islah’ adalah istilah terbaik.

Kenapa perlu berdakwah kepada non muslim?

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” [4:48]

Seorang muslim mungkin ada melakukan kesilapan masing-masing terhadap Allah S.W.T namun siapakah yang lebih bersalah? Tidakkah kita kasihan terhadap sahabat kita yang nyata tidak menyembah tuhan yang satu, tuhan yang wajib disembah, tidak beranak dan tidak pula diberanakkan.

Kenapa Rasul diturunkan?
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi)rahmat bagi semesta alam.” [21:107]

Secara jelasnya Al-Quran telah menyatakan bahawa Allah telah mengutus nabi kesayangan kita Muhammad S.A.W untuk menjadi rahmat ke seluruh alam dan bukannya kepada orang islam semata-mata. Rahmat nabi Muhammad S.A.W ternyata untuk orang bukan islam sekali, bahkan termasuklah juga pokok-pokok, binatang dan gunung-ganang. Oleh yang demikian, wajarkah kita menafikan sahabat-sahabat non muslim kita dari menerima rahmat terbesar nabi kita iaitu ISLAM?

Kenapa Al- Quran diturunkan
“Maha suci Allah yang telah menurunkan Al Furqaan (Al Quran) kepada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi
peringatan kepada seluruh alam [25:1]

Jadi Apa sebenarnya yang ingin aku sampaikan?
“Dan janganlah kamu berdebat denganAhli Kitab, melainkan dengan
cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: "Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri." [29:46]

Disini aku ingin sampaikan kepada sahabat-sahabatku, bahawa dakwah kepada non muslim itu perlu. Fardu Kifayah bagi kita untuk berdakwah kepada semua non muslim dan wajib bagi kita untuk berdakwah kepada sekurang-kurangnya seorang non muslim. Sudahkah anda lakukannya hari ini? Seperti yang aku katakan tadi, dakwah kita tak semestinya kita membawa mereka memeluk islam terus. Apa yang penting pada peringkat awalnya adalah agar segala salah faham mereka terhadap islam dapat dihapuskan dan kita tunjukkan kepada mereka bahawa islam itu mudah. Oleh yang demikian, ilmu dakwah ini wajar diasah dan dikembangkan. Ini kerana, pendekatan yang digunakan dalam dakwah agak berbeza berbanding pendekatan Islah. Selain dilaksanakan dengan penuh kelembutan tetapi tegas, seruan Allah agar tidak memaki hamun tuhan-tuhan mereka harus di ambil kira.

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan” [6:108”

Oleh yang demikian adalah wajar bagi kita untuk menyertai kelas-kelas dakwah untuk memantapkan lagi ilmu kita. Suka kiranya aku tegaskan disini, dialog muslim-non muslim sebenarnya telah lama berlaku dan bukannya bermula di era Ahmad Deedat. Harapanku juga agar sahabat-sahabat perjuanganku tidak lagi memandang rendah akan usaha ini. Yang pentingnya, kita melakukan tugas masing-masing. Sekiranya anda ingin fokuskan kepada jemaah islam sahaja, maka laksanakanlah tugas anda itu.

Sekiranya kita ingin menunggu jemaah islam itu sempurna, barulah kita nak laksanakan dakwah terhadap non muslim, aku risau yang pada ketika itu usia alam dunia ini telahpun berlalu pergi…

Sekiranya kita kecoh dengan isu kristianisasi di mana mubaligh luar datang menyebarkan fliers, mengagihkan bible dalam bahasa melayu kepada pelajar islam di kolej kita. Alangkah indahnya jika kita belajar tentang agama mereka dan boleh berdebat dengan mereka di saat mereka berbuat demikian. Kesungguhan mereka manyampaikan dakyah harus kita teladani. Bagi mereka, tidak akan masuk syurga untuk menemui Jesus Christ selagi mana mereka gagal membawa seorang masuk masuk christian.

Thursday, April 24, 2008

Hentikan Pemikiran Perkauman

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi…” [2:30]

Arasyi langit bergegar apabila Allah S.W.T ingin menciptakan satu makhluk baru yang dinamakan manusia. Malaikat bertanya untuk apa diciptakan manusia yang akan melakukan kerosakan di muka bumi, yang akan menumpahkan darah. Sesungguhnya Allah berfirman bahawa hanya dialah yang mengetahui. Benarlah kata-kata Allah itu, hanya dia yang mengetahui setiap genap makhluk ciptaannya. Malaikat dengan sikap taatnya, Iblis dengan sikap memberontaknya, dan Adam sebagai manusia yang membiakkan kita semua hari ini. Sahabat-sahabatku, itulah sejarah tentang asal-usul kita semua, tidak kiralah apa keturunan dan agama kita samada Melayu, Cina mahupun India. Kita semua berasal dari susur galur yang sama yang mana permulaan kita melalui nabi Allah Adam alaihiwassalam.

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal…” [49:13]

Setelah 50 tahun kita merdeka, hasil integrasi diantara kaum-kaum yang ada di Malaysia masih belum menampakkan kesannya. Usah kita melihat situasi ini secara umum, lihat sahajalah di kampus kesayangan kita ini. Betapa kita masih kekal dalam puak-puak bangsa yang pada asalnya dijadikan Allah untuk kita saling kenal mengenali. Untuk kita kasih akan satu sama lain seterusnya bertasbih di atas keesaan Allah S.W.T tentang keagungannya menjadikan kita dengan variasi trait dan perwatakan.

Entah mengapa kita masih saling mencurigai antara satu sama lain. Melayu masih alpa dalam kebodohan sendiri, cina masih tegar dengan kesombongan dan India masih bersembunyi dicelah-celah majoriti. Jika diintai dari sudut yang lain, setiap daripada kita sebenarnya mempunyai banyak kelebihan yang dapat diterokai. Masih banyak perkara yang dapat kita pelajari antara satu sama lain dalam usaha untuk memajukan negara kita.

Sikap prejudis masih memaungi kita semua. Melayu masih terus memperjuangkan ketuanan melayu yang pada ku tidak sepatutnya isu itu ditimbulkan. Aku bersetuju dengan syarat-syarat keistimewaan orang melayu dan Islam kerana ia telahpun terpahat dalam perlembagaan sebelum merdeka lagi. Tapi pada masa yang sama, orang cina dan india sudah menjadi sebahagian daripada kita sejak lama dahulu lagi. Hebatnya kerajaan Melayu Melaka kerana dipayungi Maharaja Cina yang agung. Tersebarnya islam ke negara kita jua melalui negara ini dan juga India. Hubungan kita sudah pun berusia ribuan tahun tapi kenapa masih ada sengketa di antara kita.

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”[60:8]

Apakah kita bisa menafikan hak-hak kaum selain melayu untuk hidup bersama-sama kita? Aku serahkan persoalan ini kepada mahasiswa-mahasiswi sekalian untuk memikirkannya. Carilah satu masa barang seminit-dua untuk merenungi semua ini. Bukankah agama kita telah menyediakan satu garis yang jelas tentang hubungan sesama makhluk. Ayuhlah sahabat-sahabatku sekalian. Hentikanlah pemikiran bersifat perkauman ini. Berlaku adillah dalam setiap apa yang kita lakukan dan janganlah kita saling meminggirkan antara satu sama lain.

Bersatulah kita baik dari segi pemikiran mahupun perlakuan demi kebaikan kita bersama. Terokailah setiap kelebihan dan kekurangan antara kita dan pelajarinya bersama-sama. Belajar bersama-sama, makan bersama-sama, tidur bersama-sama dan berbaiklah sesama kita. Sekiranya ada krisis, kita selesaikannya dengan wajar. Memang krisis tak kan dapat dielakkan dan percakaran seringkali terjadi. Namun yang pentingnya, biarlah percaturan itu akhirnya membawa kebaikan bersama.

Ibarat pepohon dambakan cahaya mentari,
Terang bulan menyinari malam,
Namun masih ada yang merintih,
Tetap ada yang membenci,
Sedang kita dari yang satu,

Harapanku sama seperti si pokok,
Mendambakan sinar persahabatan,
Kerna itu aku butuh berdiri,
Saling menyinari kehidupan,
Bergerak seiring memacu jaya.

Disaat sahabatku menonton bola, aku memainkan bicara. (24 April, 4.00 AM)

Tuesday, April 22, 2008

Meniti Sebuah Revolusi

Dari sebuah masjid,
Kau bangkit membina ummah
Suara mahasiswamu mencetus revolusi
Biar darah menjadi mainan
Teguh mengusir sang petualang,
Kau terus melangkah gagah,
Menjulang panji menegak ummah
Kau al Azhar…….

Aku dambakan kasih ILAHI, memimpin ummah menjulang Islam. KAU matlmatku, Ar RasulMU ikutanku, Syahid di jalanMU impianku. Namun aku ragu, apakah ia satu perjuangan abadi atau sekadar melintasi hipokrasi.

Secebis islam bergerak
Seratus langkah musuhnya berjaga-jaga.

Aku menulis hanya menyampaikan rasa yang terpendam di lubuk hati. Ingin aku bebaskan suara Mahasiswa yang terperangkap di sanubari ini. Bukan penentangan yang aku lontarkan, sekadar bingkisan idea-idea untuk mengembalikan hak-hak dan suara mahasiswa. Aku bukannya ingin menjadi seperti mahasiswa Indonesia yang bisa menumbangkan sebuah kerajaan, Cuma mendambakan keberanian mahasiswa untuk menegur apa yang dirasakan kurang, memberi pendapat serta mengkritik sesuatu isu. Kita adalah pelapis bangsa, tidak boleh bersikap acuh tak acuh dengan peristiwa yang berlaku disekeliling kita baik dari segi politik ekonomi mahupun agama kita sendiri. Bukankah kita yang akan mewarisi tampuk pemerintahan yang akan dtinggalkan pemimpin pemimpin sedia ada. Yang tua bakal diganti dengan muda. Yang keparat diganti dengan yang telus.


Ku dambakan suara mahasiwa
Bangkit mencana pemikiran merdeka

Sampai bila kita ingin terus mendiamkan diri, hanya sekadar menjadi pemerhati yang jauh dan mengikut biarpun pahit untuk ditelan. Bukankah kita punya maruah dan harga diri? Sanggupkah kita gadaikannya demi sebuah nikmat yang tidak sedikitpun akan menemani kita tatkala dijemput Malikil Maut. Aku bukan menyuruh kalian bangkit menyertai PAS, UMNO,BN,DAP PKR, Pusat Islam, HEP, Kompleks Sukan ataupun lain-lain. Aku Cuma inginkan kita semua bangkit lalu berlari diatas hamparan kebenaran. Yang bisa berjuang menegakkan keadilan, bersuara demi kebenaran dan bertindak selari dengan tuntutan agama. Apa yang penting, kita bangkit memperbaiki diri. Bukan sekadar mengintai pos-pos parti pembangkang untuk menangkap mahasiswa yang dianggap durjana.

Catatan insan lemah, mengharap agar tak dilambung badai

Monday, April 21, 2008

Persatuan Buddha, Kristian, India…Persatuan Islam di mana?

Assalamua’laikum………

Aku terkedu apabila seorang sahabatku berbangsa tionghua bertanya kepadaku mengapa Persatuan Sains Perubatan seolah-olah pro islam. Aku terkejut kerana setahu ku pimpinan PSP agak idealistik dalam menjaga kebajikan semua kaum yang ada di Kampus Kesihatan. Cuma mungkin dari segi pembahagian kerusinya yang mempunyai lebih ramai mahasiswa muslim. Tambahan pula penarikan diri seorang exco PSP berbangsa tionghua turut menurunkan bilangan perwakilan non malay dalam PSP. Tambahan pula, NYDP PSP yang juga merupakan rakan se-PBL ku merupakan mahasiswa berbangsa Tionghua.

Sahabat non malayku turut mengulas tentang aktiviti-aktiviti keislaman yang diseliakan melalui pimpinan PSP. Aku berkata, PSP mungkin ada menganjurkan program bercorak islamik, itu adalah kerana penggerak projek mahu bernaung di bawah PSP. PSP tidak pernah memencilkan mahasiswa bukan melayu. Cuma mahasiswa bukan melayu yang tidak mahu menyertai aktiviti yang dianjurkan. Ambil sahaja ‘Orang Asli Humanitarian Mission’ yang dianjurkan di Pos Brooke, berapa ramai non muslim yag menyertainya.

Sebelum kami berpisah, dia bertanya kepadaku mengapa aktiviti bercorak islamik tidak dianjurkan sahaja di bawah persatuan mahasiswa islam seperti mana program-program keagamaan mahasiswa non muslim dianjurkan di bawah persatuan agama masing-masing. Aku diam seribu bahasa. Bingung mencari jawapan kerana aku baru sahaja menyedari yang kampus kesihatan tidak mempunyai persatuan yang mana mahasiswa islam boleh bernaung di bawahnya. Kalau di Kampus Induk ada ‘Persatuan Mahasiswa Islam’ kenapa di kampus cawangan tiada? Di kampus-kampus universiti lain juga ada persatuan mahasiswa islam…..

Mungkin disebabkan itulah ada mahasiswa yang merungut dalam chat box page aku yang mengatakan aktiviti bercorak keislaman kurang dianjurkan di USMKK terutamanya oleh Pusat Islam. Mungkin ya ataupun mungkin tidak.. Kalau dari segi program, rasanya dah cukup banyak kot. Cuma mungkin sahabat kita itu tidak menyedarinya.Mungkin terlalu sibuk study.Ini kerana, hampir setiap hari samada lepas asar atau maghrib ada diadakan ceramah-ceramah agama dan kelas tafsir. Bermacam-macam program lagi diadakan, bicara professional, bubur assyura, ihya’ ramadhan tapi rupa-rupanya ada mahasiswa kita yang belum menyedarinya. Pelajar pun banyak menganjurkan program di bawah pusat Islam tapi sekarang susah sikit kot sebab apa-apa aktiviti pelajar dalam kampus sudah tidak boleh dijalankan secara terus melalui pusat islam. Kena juga melalui HEP.

Itu pun bagus juga, tak kisah lah melalui mana aktiviti itu dianjurkan asalkan mahasiswa mendapat manfaatnya. Tapi aku turut terkilan apabila program keagamaan seolah-olah dipolitikkan. Apabila ‘ Bulan Penghayatan Solat’ terpaksa ditukar namanya kepada ‘Program Penghayatan Solat’ hanya kerana perkataan ‘Bulan’ itu sensitif. Aku tak tahulah sensitif macam mana. Mungkin selepas ini kita kena buang terus perkataan ‘bulan’ dari kamus dewan kot.

Berbalik pula kepada isu Persatuan Mahasiswa Islam, aku amat berharap persatuan itu dapat diwujudkan di kampus induk. Hujah ku berdasarkan perkara berikut

1) Menyelia program-program islam

2) Menjaga kebajikan mahasiswa islam

3) Sebagai payung mahasiswa islam.

4) Sebagai medan untuk mahasiswa mencanang pemikiran keagamaan

5) Membudayakan islam di kampus kesihatan.

6) Sebagai wacana untuk mahasiswa islam bersuara.

7) Sebagai usaha dakwah bagi menangani gerakan “dakyah” luar

Mungkin sudah tiba masanya persatuan islam ditubuhkan di Kampus Kesihatan, itu pendapat saya yang jahil ini lah. Macam mana pendapat mahasiswa sekalian yang bermentalitikan pemikiran kelas satu ??

Catatan mahasiswa lemah yang tengah kehilangan mood untuk study (21/4/08-6.15 PM)

‘Kebenaran itu pahit untuk diluahkan, Kejahilan itu manis untuk ditelan’

Sunday, April 20, 2008

Umpama anjing baru dan anjing kurap

Assalamua’laikum......................

Aku berfikir dua tiga juga sebelum postkan tajuk ni, maklumlah perkataan anjing ni agak sensitive. Tapi ia cukup unik sekali untuk menggambarkan perhubungan diantara manusia. Anjing sebenarnya tidaklah sehina mana, Cuma sesetengah perangai nya yang menonjol menyebabkan ia seringkali dijadikan perbandingan untuk mengambarkan niat buruk. Bahkan dalam Al-Quran juga digunakan perumpamaan ini.

“…………tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga)…..”[7:176]

Bahkan peribahasa melayu juga turut meng’kias’kan manusia dengan anjing iaitu dari segi sifatnya. Yang ini perlu diambil perhatian disebabkan sensitivity kelompok tertentu

“Seperti anjing dengan baying-bayang”

“seperti anjing tersepit”

“seperti anjing menyalak hantu”

Anjing baru ni kalau dibela lembut je dengan tuan dia. Tidak menyalak pun malahan menjerit manja lagi. Siap dijilat lagi kaki tuan dia. Tuannya pulak begitu bangga dapat anjing ni, tiap-tiap petang dibawa bersiar-siar di taman.

Berbalik pula kepada anjing kurap, usahkan nak dekat dengan tuan dia. Dari jauh lagi bila tuan dia nampak anjing ni, terus disediakan kayu untuk memukulnya. Dan bila anjing ni dipukul dan dihina maka meraung lah dia lalu memencilkan diri. Maklumlah, anjing kurap. Anjing-anjing lain pun dah tak sudi menemaninya.

Itu cerita tentang anjing. Aku pernah berbincang dengan sahabatku akhi alif. Ku Tanya padanya mengapa dia harus bersuara. Dia buat apa2 pun dah tak de guna sebab dia dah jadi macam anjing kurap. Tapi aku cukup terkedu dengan jawapannya yang mengatakan bahawa jawatannya adalah satu amanah daripada mahasiswa-mahasiswa yang inginkannya memegang tampuk pemerintahan. Maka menjadi tugasnya untuk bertindak walau terpaksa mengorbankan dirinya. Aku disini bukanlah ingin menyanjung tinggi Alif, bukannya ingin jadi pro alif atau meminta mahasiswa-mahasiswa menjulangnya, Cuma aku ingin kita berfikir adakah kita ingin turut memencilkannya ataupun berjuang denganya.

Bagi aku, aku akan terus berjuang bersamanya biarpun dia kurang matang dari segi kepimpinan, pada pendapatku lah. Walaupun dia sering membuat orang melenting tapi aku tahu dia mempunyai wadah dan pegangannya sendiri . Dia boleh menjadi pemimpin yang baik suatu masa nanti dan ini adalah satu latihan untuknya. Apa yang penting dia adalah saudaraku.

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat” [49:10]

"Qum Fa Anzir"

Terima Kasih Dr Noreen

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

“……..Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.” [5:2]

Di kesempatan ini, suka kiranya aku menukilkan rasa terima kasihku kepada Dr Noreen selaku Penolong Penggawa Desasiswa Murni Nurani kerana telah turun padang membantu sahabatku yang mengalami kemalangan pada malam jumaat. Beliau sanggup berkorban waktu tidurnya apabila meredah kedinginan malam sabtu, jam 2 pagi dari USM ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, HKB.

Aku agak terkilan dengan layanan staf kecemasan HKB (mungkin rakan-rakanku yang lain merasakan perkara yang sama) yang melambatkan rawatan. Tapi aku tak menyalahkan mereka, mungkin mereka agak sibuk tambahan pula sahabatku itu agak stabil walaupun Loss Of Counscious on arrival tetapi GCS nye full. Cuma kenapa perlu menunggu sekian lama hanya untuk mencuci lukanya.

Syukur kerana Allah telah menghantar Dr Noreen melalui idea yang dikemukakan oleh saudara Siam kerana kami pada ketika itu (YB Alif, rakan-rakan batch 2nd year medden, nursing dan PPSK) nyata terpana dengan apa yang berlaku dan agak kehilangan arah. Sebaik sahaja beliau tiba, X-ray diambil, diikuti dengan IV line setting dan IV transfusion. Selang beberapa ketika CT scan dibuat. Aku turut berkesempatan untuk bersama-sama Dr Noreen dan Technician di dalam bilik kawalan. Syukur kerana tiada visible cranial bleeding ataupun cervical fracture. Sambil ct scan dijalankan, sempat juga DR Noreen menerangkan kepada ku cara-cara membaca ct scan.

Setelah beberapa prosedur dijalan Ruzaini akhirnya dibawa pulang ke HUSM dengan ambulans. Sesampainya di A&E Department HUSM, Dr Noreen tetap setia menunggu perkembangan. Ku lihat dia mengantuk tetapi digagahi matanya demi amanah yang terpikul di atas bahunya, amanah sebagai penolong penggawa yang bertanggungjawab menjaga kebajikan penghuni asrama dan juga amanah sebagai insan yang diciptakan ALLAH .S.W.T. Syukurlah kerana masih ada yang tegar melaksanakan amanah.

Di bilik A&E HUSM, sempat juga aku berbicara dengan DR Noreen berkenaan isu penempatan pelajar untuk sesi depan. Katanya memang terpaksa ada yang terpaksa tinggal di luar. Apa boleh buat, kementerian pengajian tetap ingin menambah bilangan pelajar perubatan dan membuka course baru PPSK. Katanya lagi, bagitahu senior- senior final year agar gigih study supaya semua dapat graduate bagi mengurangkan kesesakan di asrama. Katanya lagi, sekiranya 30% final year student fails maka krisis tempat tinggal akan menjadi sangat teruk

Berkenaan penambahan bilangan pelajar, wawasan Kementerian Pengajian itu cukup bagus terutamanya dalam bidang kesihatan. Tapi aku kurang bersetuju dengan cadangan menambah bilangan pelajar perubatan memandangkan kapasiti yang terlalu besar untuk ditampung sumber yang sedia ada. Lihat sajalah batch first year tahun ini, padat seperti sardin yang disumbat di dalam tin. Keadaan di clinical year juga amat merimaskan dengan 16 orang pelajar untuk sesi klinikal dimana standard antarabangsa kurang daripada lapan orang untuk setiap doktor pengajar. Bukan ku ingin meminta lebih tetapi, suasana bilik yang sempit disumbat dengan empat orang pelajar sebilik di desasiswa cukup untuk menambahkan lagi tekanan yang sedia dihadapi oleh pelajar perubatan. Akibatnya prestasi pelajar akan menurun dan ini membahayakan masa depan doktor-doktor kita kerana mereka cenderung untuk melakukan medical negligance and error seperti yang digembur-gemburkan media. Apa-apapunmarilah kita berdoa agar diberikan solusi untuk masalah-masalah yang ada.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” [2:186]

Meludah Ke Langit Biru

Assalamua’laikum………..

Aku masih terpingga-pingga mengenangkan keadaan sekarang yang seolah-olah menyerupai PRU-12. Perang blog, orang bawahan meminta pemimpinnya turun dari tampuk pemerintahan, saling tuduh menuduh dan macam-macam lagi.

Aku kelakar memikirkan lagak seorang pimpinan MPP yang begitu hebat membodek serta menunjukkan taring seolah-olah dialah hero sebenar kampus. Mencabar orang bersemuka tetapi ibarat meludah ke langit. Lantas semburan ludah itu terpalit di pipinya sendiri. Masakan tidak, aku pernah mengajak si hero ini untuk bersemuka bagi membincangkan isu penggunaan bilik MPP yang mana aku pernah meminjamnya untuk membuat meeting dan satu sesi temuduga bagi pelajar perubatan. Dengan penuh ‘macho’ nya dia menghalang aku dari menggunakan bilik mpp dan mengemukakan bilik pantry hep sebagai alternative untukku mengadakan temuduga tersebut. Dengan sikap assabiahnya yb ini mengatakan bahawa budak medic suka membuat kepala, menggunakan bilik mpp sesuka hati. Katanya bilik MPP adalah tempat untuk sekreteriat MPP membuat kerja. Mungkin kerana aku hanyalah seorang pembantu sekreteriat, maka aku dinafikan hak untuk menggunanya.

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,”[33:72]

Aku begitu kagum dengan kepimpinan Persatuan Sains Perubatan yang melelong biliknya untuk kemudahan mahasiswa perubatan melakukan study group, meeting mahupun interview. Mungkin sesuai dengan slogannya ‘Kebajikan terjaga, akademik terpelihara’

Berbalik kepada cerita tadi, aku terpana dengan sikap yb ini, mengunci pintu bilik MPP, menyorok seliparnya di dalam bilik, menggunakan air-cond dan lampu secara percuma, dengan megah menyangkut sweater nya di kerusi sambil membaca nota-nota kuliah. Adakah membaca nota kuliah ini sebahagian daripada fungsi bilik MMP seperti yang dilaungkannya.

Walau bagaimanapun, aku tetap kagum dengan MPP ini. Aku merupakan seorang yang zalim sekiranya membangkangnya tetapi lupa kan jasanya. Dia sememangnya seorang pemimpin yang baik, sentiasa tersenyum setiap kali bertemu rakyat.Secara terbuka aku nyatakan, dia pernah menjadi idolaku suatu ketika dahulu. Dia mempunyai karisma yang tinggi. Cuma kadang-kadang terlampau inginkan jasanya dilihat. Secara terbuka mengiktiraf diri sebagai ketua sukarelawan untuk program ihya’ ramadhan yang sememangnya tidak wujud. Macam mana la perasaan sukarelawan-sukarelawan lain agak nya ye…Renung-renungkan lah.

“sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [33:73]

Saturday, April 19, 2008

Alahai Temuduga PPMS

Sebagaimana Tuhanmu menyuruhmu pergi dan rumahmu dengan kebenaran, padahal sesungguhnya sebagian dari orang-orang yang beriman itu tidak menyukainya,[8:5]



Di sini, aku ingin mencoretkan sedikit kenangan manis yang ingin dikongsikan bersama semua. Satu kenangan yang sentiasa terpahat dalam ingatan dan tak mungkin aku lupakan. Walaupun aku gagal untuk dipilih sebagai Pelajar Pembimbing Minggu Suaikenal (PPMS) tapi aku puas kerana dapat mengeluarkan suara mahasiswa yang terpendam di sanubari ini. Maka pengalaman ini ku iftiraf sebagai satu kenangan manis yang agung.

Masih ku ingat soalan yang di ajukan kepadaku… Pertamanya mengenai komen pilihan raya. Kenapa BN tewas. Aku terkedu dengan soalan political yang diajukan itu. Aku berada dipersimpangan di antara keinginanku untuk menjadi PPMS ataupun prinsip ku yang tidak akan tunduk melawan sesatu kejahilan. Aku bilang kepada mereka, Pilihanraya ini merupakan satu isyarat rakyat serta ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan. Pimpinan kerajaan yang lemah serta pendirian yang tidak tetap membuatkan rakyat hilang semangat untuk memangkah parti kegemaran mereka sejak sekelian lama dan memberikan undi kepada pembangkang. Sikap media yang berat sebelah dan melancarkan perang saraf terhadap pembangkang hampir 20 minit sekali menyebabkan masyarakat menjadi mual. Ku katakan kepada mereka, jika BN ingin menang pada pilihan raya akan datang, mereka harus berubah dan lebih bersikap terbuka kerana kekalahan mereka kali ini disebabkan ketidak puasan hati. Jika mereka tegar untuk berubah maka mereka akan menang majority kembali. Itu adalah hakikatnya…



Bagaimana ketuanan melayu sekarang setelah kerajaan kehilangan lima negeri. Pulau Pinang diperintah oleh cina(ketika ini aku berfikir, bukankah sebelum inipun Pulau Pinang diperintah oleh Parti cina yang dulunya adalah pembangkang), Perak dimenangi oleh parti yang rata ratanya non malay. Aku bertanya kepada mereka apakah itu ketuanan melayu? Mereka diam dan menyuruhku untuk memberikan komen. Ketika itu adik-adik first year yang ditemuduga bersamaku diam, mungkin mereka berhati-hati agaknya. Aku sendiri tertanya-tanya dalam diriku, apakah itu ketuanan melayu. Mungkin mereka cuba untuk merujuk kepada kekalahan pihak Kerajaan yang mana tunjang parti itu ialah parti Melayu..Kemudian aku menjawab, kita mempunyai perlembagaan, PErlembagaan Malaysia dan juga perlembagaan negeri. Alhamdulillah, perlembagaan itu masih lagi meletakkan kedudukan raja-raja melayu yang menjadi lambang penyatuan melayu di tempat yang tertinggi.

“Kesetiaan kepada Raja dan Negara”

Oleh sebab itu lah, walaupun parti yang menang di perak tidak mempunyai wakil melayu tetapi perlembagaan negeri itu telah menetapkan bahawa hanya Melayu boleh menjadi MB maka kita lihat pada hari ini, Menteri Besar Perak adalah seorang Melayu. Kulihat wajah penemuduga berkerut. Ketika ini aku sudah dapat membayangkan yang aku tak akan dipilih sebagai PPMS. Tetapi apakan daya, terlajak kata tidak boleh diundur lagi, maka aku memilih untuk berjuang hingga ke akhirnya.

Soalan ketiga : Apakah AUKU releven dan patutkah ia dihapuskan. Ketika ini aku sudah dapat membayangkan bahawa tujuan temuduga ini diadakan lebih kepada ingin mencari kroni kroni yang sanggup mengikut mereka dan bukannya Mahasiswa yang suka menentang. Maklumlah, mahasiswa yang suka menentang ni biasanya golongan yang rule-breaker dan hanya akan membazirkan masa mereka


Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar,[33:70]

Aku menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan-lahan lantas aku berbicara. AUKU merupakan sesuatu akta yang merangkumi banyak hal, dari segi disiplin pelajar, keselamatan bahkan pelajaran. Ia sesuatu yang bagus untuk Universiti yang menjalankan fungsi sebagai institusi ilmu. Bayangkanlah kalau pelajar tidak puas hati dengan sesuatu benda ataupun pihak atasan dan langsung mengadakan demonstrasi sini dan sana, maka proses pembelajaran tidak dapat dilaksanakan. Pengarah universiti, pihak HEP akan pening kepala untuk menyelesaikan benda ini lantas menyebabkan mereka tidak dapat menjalankan kerja-kerja mereka untuk menjaga kebajikan pelajar. Akan tetapi AUKU terlampau ketat sehingga menafikan hak mahasiswa untuk bercakap, memberikan komen mereka kepada kerajaan, menyatakan pendapat mengenai isu-isu politik semasa. Hal ini akan menyebabkan mahasiswa menjadi penakut dan berfikiran sempit. Universiti kita sudahpun bertaraf pertama dimana prasarananya cukup bagus tetapi mahasiswa yang dihasilkan dari segi kepimpinannya adalah bertaraf tahap ketiga. Bayangkan orang yang tidak berpeluang belajar di university dapat bercakap dengan bebas sehingga mampu menjadi pemimpin yang baik. Tetapi ilmu mereka cetek sehinggakan mampu membinasakan Negara kita. Adakah kita nak Negara kita ditadbir oleh un educated people?


Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik[2:195]

Friday, April 18, 2008

Hinakah makhluk bernama babi


Hrmmm.....beberapa tika kebelakangan ini cukup heboh sekali isu babi dimainkan di media-media cetak dan elektronik sehinggakan aku turut terasa mual. Nak makan teringat babi, nak minum teringat babi, nak tidur pun teringat babi..pening betul. tak terdaya lagi akal ini nak menanggungnya lagi. Akan tetapi aku sebagai insan yang agak jahil ini ingin mempersoalkan adakah babi ini cukup hina sehingga ia dihina sebegitu rupa.

Aku masih teringat satu jenaka yang pernah di utarakan oleh sahabatku. katanya, kenapa bila anak babi berjalan kepalanya tunduk kebawah. Bermacam jawapan yang ku teka.mungkin kerana tiada batang leher, mungkin lehernya patah atau mungkin ingin menghidu kewangian rumput. Jawapan yang diberikan oleh sahabatku ialah kerana anak babi itu malu kerana menjadi anak babi. malu kerana ibunya ibu babi. Di sini menunjukkan betapa mentaliti masyarakat kita iaitu melayu begitu sensiti sekali dengan babi sehinggakan ada orang yang sanggup menggunakan isu babi ini untuk mencetuskan keharmonian.

Betapa masyarakat kita begitu jahil berdemonstrasi mengangkat sepanduk kerana isu babi di negeri Selangor yang baru sahaja dimenangi pembangkang.. Aku teranya-tanya, sebelum ni, tak de babi ke kat selangor. Kat negeri-negeri lain x de babi ke. Negeri Sembilan tak de babi? Melaka x de babi?

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah; tetapi barangsiapa yang terpaksa memakannya dengan tidak menganiaya dan tidak pula melampaui batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [16:145]

Aku suka memerhatikan apa yang berlaku dan memberi komen berdasarkan hujah dan pandangan yang tidak fanatic kepada mana-mana belah pihak. Tetapi isu babi yang digembar-gemburkan baru-baru ini cukup untuk membuatkan ku ketawa. Ketawa berdekah-dekah seolah-olah menonton jenaka Mr Bean. Apabila hero melayu yang memperjuangkan isu babi mempunyai kepentingan dalam projek babi. Apabila bekas pemimpin negeri itu sendiri yang meluluskan projek babi. Tetapi apabila kepentingan mereka terhakis lantaran perubahan kepimpinan, maka mereka menjadi api di dalam sekam. Membakar sensitiiti masyarakat melayu di atas kesalahan yang sebenarnya dimulakan oleh mereka…Fikir-fikirkanlah.

Satu lagi persoalan yang bermain dibenak fikiranku..Hinakah binatang bernama babi itu… atau adakah lagi makhluk yang hina???

Sesungguhnya orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, mereka termasuk orang-orang yang sangat hina. [58:20]

Menyelusuri Jambatan Akhirat…….

Masih ku ingat lagi dalam satu majlis Bayan ( majlis yang membincangkan soal kekuasaan tuhan oleh jemaah tabligh) maghrib, aku pernah diingatkan bahawa dunia ini merupakan satu jambatan untuk menuju ke akhirat. Sekiranya kita bisa teguh berjalan maka kita akan dapat menyeberanginya lantas menikmati nikmat yang hakiki. Penuh syahdu dan indah.

Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta Syurga kenikmatan. [56:89]

Itu jika kita bisa menggapainya. Akan tetapi, layakkah kita menghajatinya. Betapa banyak amanah yang dicurah kepada kita namun berjayakah kita tunaikannya. Kita leka dengan dunia yang sementara, begitu lantang menggayang hukum Allah. Aku tidak mengatakan kepada sesiapa. Bahkan aku meletakkan diriku sendiri di tempat itu. Begitu banyak sekali amanah yang ku pikul namun ku gagal untuk menyempurnakannya. Aku begitu rakus memburu jawatan-jawatan duniawi tetapi gagal memenuhinya dengan pengisian yang bisa mendaulahkan jihad islamiyyah bahkan aku dibuai arus yang akhirnya menolakku jauh dari daratan.

Masih ku ingat lagi pesanan jemaah tabligh itu, sesungguhnya jawatan yang dikejar itu akan membawa kita jauh dari jambatan yang menghubungkan antara dunia dan akhirat. Tapi aku lantas mengejarnya sehingga aku terpaksa merangkak. Telah ku lupa akhirat yang bakal menempatkan mereka mereka yang engkar.

Maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak, Serta bakaran api neraka.[56:93-94]

Oh TUHAN, bisakah aku kembali bangun untuk menyemai rasa cinta ku ini terhadapmu. Bisakah ku bawa bersama belia-beliawanis pewaris bangsa untuk tegak menjulang agamamu. Oh TUHAN, kami semakin lemah, kami tersungkur akibat kemewahan sementara. Kami tersungkur akibat jawatan durjana, kesenangan hidup hinggakan kami melupakan hukum-hukummu. Ya ALLAH bimbinglah kami dan maafkanlah kami. Berikanlah kekuatan kepada kami untuk menggunakan segala amanah duniawi yang terpikul di bahu kami, kepimpinan kami serta jawatan-jawatan kami untuk mendaulahkan agama mu sehingga hukummu bisa ditegak dan dijulang.

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.[5:49]

Catatan si pejuang kecil, moga semangat terus membara…….

Monday, April 14, 2008

Isu Murtad

Segala puji bagi tuhan yang mentadbir sekalian alam, Dialah yang maha mengasihi dan dialah jua yang maha menyayangi hamba-hambanya. Sesungguhnya Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Al Ma’idah, 5:3 yang mana Allah mengatakan bahawa agama Islam ini telah disempurnakan sebagai satu agama yang diredhai dan paling benar disisinya. Ini menunjukkan betapa sebagai seorang Islam, mereka harus mempercayai bahawa Islamlah yang paling benar di sisi Allah

“…..Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu……”[5:3]

Islam sendiri bermaksud menyerahkan segala-gala yang ada pada diri dengan menyembah Allah yang maha esa. Akan tetapi, sungguhpun Islam adalah agama dan cara hidup yang benar disisi Allah S.W.T, seseorang tidak wajar dipaksa untuk menganut agama ini. Mengenai hal ini, Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Al- Baqarah, 2:256 yang bermaksud

“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)….” [2:256]

Berbalik pula pada soalan yang diutarakan berkenaan murtad. Adakah orang yang murtad itu dikenakan hukuman bunuh? Tidak semestinya. Allah telah menggariskan bahawa orang yang murtad dan kemudiannya menimbulkan fitnah terhadap islam, maka golongan sedemikian inilah yang harus diperangi sehingga mereka tidak lagi menyebarkan fitnah terhadap Islam.

Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu); kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim [2:192-193]

Di dalam Al- Quran tidak kurang daripada 20 ayat yang menerangkan tentang murtad. Dalam ayat-ayat tersebut, tidak ada satupun ayat yang mengatakan bahawa orang yang murtad itu patut dibunuh. Sesiapa yang ingin meninggalkan agama islam untuk mengamalkan agama lain, maka dia bebas berbuat demikian. Di sini saya nyatakan beberapa petikan surah daripada Al Quran tentang murtad.

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela..” [5:054]

“..Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu”[24:54]

Anda tentu tertanya, kalau benarlah dalam Al-Quran ada menyatakan tentang murtad dan mereka yang murtad boleh menganut agama baru dengan aman, kenapa keadaan di Malaysia jauh bezanya. Dalam konteks negara Malaysia, perlu diingat bahawa perlembagaan Malaysia yang telah dipersetujui pleh nenek moyang kita yang pelbagai agama telah bersetuju untuk memelihara kedaulatan agama Islam. Mereka juga telah bersetuju bahawa agama selain daripada agama islam tidak boleh menyebarkan dakwah kepada orang islam. Akan tetapi sekiranya masih ada yang ingin murtad, mereka dibenarkan berbuat demikian dibawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Sehingga ke hari ini, mahkamah syariah telah mengendalikan banyak kes murtad.

Cuma baru-baru ini kes Lina Joy telah dihangatkan. Dia yang ingin murtad telah bertindak untuk mengisytiharkan murtad di Mahkamah persekutuan sedanglkan bidang kuasa berkenaan Murtad adalah dibawah bidang kuasa Mahkamah syariah. Tetapi dari segi teknikalnya, dia sebenarnya telahpun murtad. Hal ini kerana murtad boleh berlaku melalui tiga cara iaitu melalui niat didalam hati ingin murtad, melalui ikrar lidah dan juga perbuatan yang menolak islam. Jadi, tidak semestinya apabila diisytiharkan murtad oleh mahkamah barulah seseorang itu dikatakan murtad.

Satu lgi hal berkenaan Lina Joy yang ingin membuang perkataan Islam di kad pengenalannya. Walaupun Lina Joy secara sahnya bukan lagi menganut agama Islam tetapi perkataan islam tidak dapat dibuang daripada kad pengenalannya adalah disebabkan perlembagaan yang telah bersetuju bahawa definisi bagi orang melayu ialah ISLAM. Oleh yang demikian majoriti 2/3 daripada ahli parlimen diperlukan untuk meminda akta ini. Jadi masalah Lina Joy adalah berkaitan dengan perlembagaan negara dan bukannya perlembagaan Islam.

Oleh Bro Jacknaim, friendly comparative religion. Sebarang komen atau maklumbalas bolehlah diemelkan ke jacknaim@gmail.com.

Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah