Friday, October 31, 2008

Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat.

Sudah lama rasanya blog ini dibiarkan tanpa sebarang entry yang boleh dikongsi bersama, Maklumlah kerana agak sibuk sedikit dengan projek Kelas Peradaban Nabawi: Train the Trainers I yang baru 5 hari selesai. Itupun, post mortem dan report projek masih belum diselesaikan. Walaubagaimanaupun, jutaan terima kasih diucapkan kepada pelawat blog ini terutamanya Indie, Trulyiltizam kerana masih sudi bertandang.


Belum pun sampai sebulan berhenti menulis, tetapi jari-jemari ini nyata kaku. Otak pun masih belum betul-betul berputar dengan baik bagi mengeluarkan rangkaian kata-kata indah.

Minggu lepas, sehari sebelum projek KPN bermula aku mendapat panggilan telefon dari ayah mengatakan bahawa datuk ku yang baru-baru ini dimasukkan ke ward telah pun pergi menemui Ilahi. Pada mulanya, aku agak terkejut. Tapi entah mengapa, tiada air mata yang menitis. Adakah kerana aku tidak berapa rapat dengan atuk ataupun aku sudah terbiasa dengan kematian? Tapi, aku sememangnya sudah menjangkakan saat itu akan datang berdasarkan laporan perubatan dan keadaannya semasa di ward. Prognosis nya memang tidak secerah cahaya mentari dan menanti masa untuk padam mengikut ketentuan Ilahi.

Paginya, aku bertolak ke kampung di Pasir Puteh untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ahli keluarga dan sekaligus memberikan penghormatan terakhir. Ku hadiahkan kepadanya beberapa surah pilihanku antaranya ialah Ar Rahman, Al Waqiah dan Ya’asin. Ketiga-tiga surah itu bagiku amat istimewa sekali. Membaca surah Ar Rahman adalah seolah-olah berbicara dengan Tuhan. Surah al Waqiah mengingatkan tentang kematian dan hari Akhirat. Dan Ya’asin, aku tidak tahu kenapa aku membacanya. Adakah kerana fadhilat atau adat?

Sebelum Asar bergema, jenazah akhirnya disempurnakan. Ini adalah kali kedua aku menguruskan jenazah tapi masih belum mahir-mahir lagi. Mungkin aku memerlukan lebih kursus lagi. Aku banyak belajar dari adikku(pelajar SMKA Wataniah) sepanjang pengurusan jenazah. Dari memandi, mengafan, menyembahyang hinggalah memasukkan jenazah ke liang lahad. Ada juga saat sepanjang mengurus jenazah dimana aku berasa malu. Malu kerana sebagai abang, aku tidak mampu menguasai benda-benda asas begini. Sepatutnya, abanglah yang memberi contoh dan mengajar adik-adik tentang benda sebegini. Tapi, Ilmu bukan begini. Kita belajar ilmu dengan sesiapa sahaja biarpun dengan orang yang lebih muda dari kita.

Hajat di hati ingin bermalam di sana, tapi keadaan di kampus tidak mengizinkan. Akhirnya aku terpaksa pulang ke USM. Tak mengapalah terlepas tahlil. Bukan benda wajibpun! Yang wajib telahpun dilaksanakan. Itu fikirku!

Tapi pemikiran saudara maraku yang lain memang kompleks. Tahlil seolah-olah menjadi adat sehinggakan benda wajib sanggup ditinggalkan. Inilah masalahnya sekiranya ilmu agama tidak disampaikan secara menyeluruh. Berlaku sedikit pergaduhan mulut mengenai urusan tahlil. Bapaku, tidak mahu mengutamakan tahlil. Duit yang ada, baginya lagi afdhal digunakan untuk membayar hutang arwah. Tapi adik-beradiknya inginkan Tahlil dan ingin mengajak ramai orang. Satu kerja yang menyusahkan dan menggunakan wang yang banyak. Akhirya, ayah hanya mengalah. Biarlah mereka dengan keputusan itu.

Dan semalam, aku menghadiri tahlil, untuk Qada’ tahlil minggu lepas yang tak dapat datang. Kesian pula aku melihatkan beberapa individu yang mana namanya tidak perlu disebutkan bertungkus lumus menyediakan laksa untuk majlis dan membasuh pinggan mangkuk dan periuk belanga setelah selesai majlis. Dan minggu depan, majlis yang sama akan berulang lagi sehinggalah ke kemuncaknya iaitu malam ke-40. Hurm….. Entahlah. Adat punya pasal, kewajiban ditinggalkan.

Bapaku ada memberitahu bahawa penduduk kampungnya sangat berpegang dengan adat terutamanya yang melibatkan kematian. Cuma nasib baiklah untuk arwah ni, adat yang pelik tidak dilaksanakan. Nak tahu adat apa tu? Iaitu bertahlil di atas kubur dari malam sampai ke subuh. Argh! Pelik betul masyarakat ni.

Sebelum pulang ke rumah, bapa saudaraku sempat berpesan.

“Pergilah jumpa atuk sebelum balik. Baca Fatihah.”

Aku menjelaskan beberapa keadaan kepadanya. Tapi kerana nak jaga hati, aku pun pergilah ke kubur. Malas nak cakap banyak-banyak dengan orang yang tak faham.

Apabila melihatkan anak-anak saudaraku,tiba-tiba pula aku berasa sayu. Maklumlah mereka dari keluarga susah. Makan pun berjimat cermat apatah lagi pakaian. Sepatutnya anak-anak arwah ada hak pusaka yang boleh digunakan untuk menampung keluarga mereka apabila bapa meninggal dunia. Untuk membeli makanan dan pakaian, tapi sayang wang tersebut digunakan untuk membuat benda-benda yang tidak sepatutnya di atas nama ‘ADAT’

Tidakkah semua ini akan membuatkan Islam itu kelihatan susah?

Wednesday, October 22, 2008

Akidah pun tak kukuh lagi, sibuk nak belajar agama orang.


‘Eh! Kau ni agama pun tak betul lagi, tapi sibuk nak belajar agama orang lain’

‘Quran pun tak habis semua tafsir lagi, sibuk nak belajar bible’

‘Kukuhkan Islam dulu, kita bagi nampak cantik. Lepastu barulah dakwah dekat non muslim”

‘ Kau jangan, nanti tak fasal-fasal murtad nanti’

Dialog di atas adalah antara puluhan lagi hujjah yang timbul dalam kalangan jemaah berhubung isu pembelajaran perbandingan agama. Ada juga yang mengatakan bahawa ia tidak islamik, menyalahi seruan agama dan sebagainya. Dalam Islam, masing-masing berhak menyuarakan pendapat dan pandangan. Akan tetapi, setiap pendapat dan pandangan mestilah disertai dengan hujjah dan dalil bagi membuktikan kebenaran.

Katakanlah: "Unjukkanlah bukti kebenaranmu, jika kamu memang orang-orang yang benar."[27:64]

Setuju dengan ungkapan pertama pada tajuk tadi, ‘akidah pun tak kukuh lagi.’ Persoalannya kenapa? Aku percaya, ramai yang setuju bahawa kebanyakan Muslim yang ada bergelar Islam kerana ibu-bapanya islam. Ada yang sekadar mengikut anutan keluarga dan ada juga yang berusaha untuk menuntut ilmu.

Walaubagaimanapun, kebanyakan muslim memperolehi pengetahuan tentang Islam melalui kelas-kelas fardhu Ain atau lebih sinonim sebagai kelas petang. Sistem yang digunakan lebih kepada pendedahan setiap hari yang mebawa kepada penghafalan berbanding dengan pemahaman terhadap sesuatu topik.

Silibus yang digunakan pula sempit dan hanya berkisar kepada kepercayaan asas seorang muslim seperti solat, puasa, berwudhuk, Rukun Islam, Rukun Iman dan membaca al Quran (Tanpa mengetahui maksudnya- Khususnya di negara bukan arab). Para ustaz biasanya mengamalkan pengajaran yang bercorak authoritative yang mana setiap apa yang diajar tidak boleh dipersoalkan. Jika ada soalan lanjut daripada pelajar, Ustaz akan terus menolaknya dan mengatakan bahawa ia akan membawa kepada syirik, kufur dan sebagainya.

Maka, ia menyebabkan ramai anak remaja kita pada hari ini terutamanya yang mendapat pendidikan sekular merasakan bahawa Islam ini hanya berdasarkan taklid yang membabi buta, tidak menyumbang kepada perkembangan intelektual dan tidak ada jawapan kepada persoalan dan keraguan yang bermain di minda mereka disebabkan mereka dididik untuk tidak memikiran persoalan tersebut.

Apabila meniti kehidupan universiti atau di alam pekerjaan mereka mungkin dapat menjawab persoalan asas mengenai Islam. Akan tetapi, sekiranya non muslim bertanya mereka soalan seperti “kenapa kena berwudhuk?” “Adakah Islam menindas wanita?” “Kenapa hukuman bunuh dikenakan pada orang murtad sedangkan Quran mengatakan bahawa tidak ada paksaan dalam beragama?” dan segala macam soalan lain lagi, maka mereka gagal untuk menjawabnya. Maka, bagi mengelak daripada dimalukan jadi mereka akan menjauhi dari perbincangan tersebut. Sekiranya dia tidak bertuah, makan imannya sendiri akan goyah.

Oleh yang demikian, silibus perbandingan agama bukan bermaknanya kita belajar tentang agama selain Islam semata-mata. Ia merupakan perbandingan dalam pelbagai aspek dan intipati agama Islam dan yang lain. Oleh yang demikian, sepanjang proses pembelajaran, kita turut belajar tentang agama Islam itu sendiri.

Seorang yang membaca sebuah novel sahaja mungkin akan beranggapan bahawa novel itulah yang terbaik. Akan tetapi, apabila dia membaca lebih dari satu novel maka dia terpaksa menilai novel yang mana satu sebenarnya yang terbaik. Begitu jugalah halnya dengan agama. Kalau kita disuapkan dengan satu agama dan dituruti dengan iktikad membabi buta maka kita beriman bukan kerana yakin. Sedangkan Allah berfirman supaya kita menganut Islam kerana keyakinan.

Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: "Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati." Allah berfirman: "Belum yakinkah kamu ?" Ibrahim menjawab: "Aku telah meyakinkannya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)…… [2:260]

Oleh yang demikian, sekiranya kita benar-benar yakin bahawa Islamlah agama yang benar dan diiktiraf oleh Allah, maka kenapa kita harus takut untuk melihat kedalamnya.

Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam…..[3:19]

Dalam proses berdakwah, kita menyeru manusia ke jalan Allah. Persoalannya ialah bagaimana cara untuk melakukan dakwah. Kata Allah, ‘serulah manusia kejalannya dengan penuh hikmah. Dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik’ [16:125]. Tapi, baik itu bagaimana? Maka Allah telah memberikan lagi caranya kepada kita iaitu dengan tidak mencerca sembahan orang kafir dan mencari titik persamaan terlebih dahulu dan barulah melihat kepada perbezaan. Tapi, cara yang kita gunakan untuk berdakwah kepada mereka selama ini kurang bijaksana. Kita cenderung untuk terus menunjukkan ayat-ayat Al-Quran. Maklumlah, ramai daripada kita merupakan golongan yang hafiz. Tapi, bukan semua non Muslim akan terus menerima ayat-ayat dari Quran. Kadang-kadang kita juga menghina patung-patung sembahan mereka. Memanglah bagi agama kita, patung itu tidak dibolehkan. Akan tetapi, tindakan itu sebenarnya akan membuatkan mereka lebih jauh daripada kita.

Oleh yang demikian, kita kena tunjukkan konsep Akidah Islamiyyah melalui apa yang diajar oleh agama mereka melalui kitab-kitab mereka. Maka, disinilah peranan perbandingan agama yang menyediakan guide line. Dalam konteks negara kita yang berbilang kaum juga, tidak ada salahnya kita mengetahui tentang kepercayaan seseorang agar kita dapat hidup dengan harmoni.Hal ini kerana, sebelum ini. Kita saling prejudis antara satu sama lain. Selain daripada itu, tujuan perbandingan agama juga sebenarnya untuk kita orang Islam sendiri. Islam sering disalah ertikan oleh mana pihak. Banyak salah faham yang timbul dari kalangan bukan islam terhadap agama kita. Kadang-kadang, kita ada idea untuk menjawabnya tetapi tidak tahu cara untuk menyampaikannya. Maka, itulah gunanya kita belajar tentangnya.

Selain daripada itu, ada juga gerakan agama yang memanipulasikan ayat-ayat al Quran untuk memutarkan akidah orang Islam. Sekali imbas, hujah mereka seolah-olah benar dan ramai dari golongan yang berpendidikan agama islam yang rendah kecundang di tangan mereka. Oleh itu, kita kena ada golongan yang bertanggungkawab untuk memperbetulkan masalah ini.

Perbandingan agama bukannya isu yang baru timbul. Ia bukan dicipta di Malaysia. Ahmad Deedat, tokoh terkenal perbandingan agama pun bukanlah orang yang hebat pada asalnya. Tetapi kerana terpengaruh dengan buku Izhar-ul-Haq yang ditulis oleh Syeik Khairanawi iaitu ulamak masa lampau. Sejarah perbandingan agama telah lama bermula. Secebis darinya adalah seperti berikut

Amr Muaz(Gabenor Sham) vs pastor John

Saidina Umar Ab Aziz(Umayyah) vs Pastor Timothy

Mawlana al-Syeikh Rahmatullah kairanawi al-Uthmani rahimahullah (Izhar al-Haq)

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahullah (al-Radd al Jamil)

Syeikh al-Islam Imam Ibn Taymiyyah rahimahullah( al-jawab al sahih Li man Baddala Din Al-masih)

Al Imamal-Qurthubi rahimahullah (I’iam Bima Fiddin al-Nasara Min al-Fasad wa al-Awham)

Melalui perbandingan agama, seseorang sebenarnya akan menjadi lebih dekat lagi dengan Islam. Bahkan, melalui kelas ini juga kita akan didedahkan dengan teknik untuk menangani golongan revert dan murtad mengikut apa yang digariskan oleh Islam.

Sebagai kesimpulannya, saya ingin membawa dua kisah kepada anda. Keduanya merupakan kisah benar yang diceritakan oleh golongan revert yang kini menjadi tokoh agama terkenal. Salah seorang daripada mereka memberitahu bagaimana geramnya beliau terhadap islam suatu masa dahulu kerana pendekatan orang Islam yang menghina patung-latung sembahannya ketika itu serta tidak langsung menghiraukan sensitiviti agamanya. Seorang lagi memberitahu, susah untuk menemui orang Islam yang ingin berkongsi tentang Silam dan menjawab persoalannya. Jadi kita cuba letak diri kita. Sekiranya dua golongan yang belum memeluk islam itu wujud di depan mata kita pada waktu sekarang. Apa agaknya reaksi kita? Bagaimana kita ingin berurusan dengan mereka?

Monday, October 20, 2008

Jemputan ke Program Kelas Peradaban Nabawi : Train the Trainer Phase I

Pengenalan :

Kelas Peradaban Nabawi merupakan program yang diilhamkan oleh Pusat Islam dan telah pun meneruskan tradisi penganjurannya sehingga kini dan berusia lebih tujuh tahun. Kebanyakan programnya dianjurkan oleh Pusat Islam dan dibantu oleh mahasiswa USMKK. Ia bertujuan untuk meningkatkan kecintaan mahasiswa terhadap Islam menerusi perbandingan agama. Ia biasanya dijalankan secara tajuk demi tajuk dan jarang dianjurkan secara kursus intensif.

Untuk kali ini, Kelas Peradaban Nabawi akan dibuat secara kursus intensif dua hari yang dianjurkan oleh MPP, Pusat Islam, Islamic Information and Services Foundation dan Friendly Comparative Religion Alumni serta dibuat melalui Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEP). Sijil akan diberikan kepada peserta dan mereka boleh menjalankan fasa dua dan tiga kursus samada di USM kelak ataupun di Pejabat IIS di Setiawangsa. InshaAllah setiap penyertaan akan diberikan mata merit.

Rasional penganjuran kelas Comparative Religion dan tujuan

Malaysia merupakan sebuah negara multiracial dengan penduduknya menganuti pelbagai kepercayaan. Bagi Muslim, kita sudah sedia maklum bahawa Islam adalah agama universal dan dipilih oleh Allah. Oleh itu, sudah menjadi kewajiban bagi kita untuk menyebarkan mesej islam kepada semua manusia baik muslim mahupun non muslim. Walaubagaimanapun, hanya sedikit usaha yang dilakukan ke arah dakwah kepada non Muslim. Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk menyebarkan dakwah Islam secara aman dan penuh berhikmah selaras dengan seruan Quran 16:125. Dalam kursus ini, peserta akan diajar tentang agama lain untuk memahami sensitiviti mereka agar kita tidak melakukannya semasa melakukan dakwah agar tidak menyakiti hati mereka.

Melalui Kelas Intensif ini peserta akan didedahkan dengan pelbagai isu yang melibatkan kaitan dengan agama major di Malaysia. Ia bagaimanapun dianjurkan dengan gaya tersendiri dan bukannya secara kasar atau menentang. Pendekatan yang digunakan lebih kepada mencari persamaan dan kemudiannya mencari penyelesaian terhadap perbezaan. Kelas ini juga akan mendedahkan pelajar tentang cara-cara untuk berdakwah, menjawab salah faham terhadap Islam dan menangani revert (muallaf)

Pada fasa terakhir, peserta akan dibawa melawat ke rumah-rumah ibadat di Malaysia agar kita dapat melihat sendiri ritual keagamaan mereka dan seterusnya menganjurkan dialog dengan mereka stelah ritual mereka selesai.. selain itu, di USM, peserta turut berpeluang untuk mengikut program-program dakwah ke perkampungan orang asli, pusat membeli belah dan menganjurkan pameran tentang Islam serta berpeluang untuk mengikuti kelas enrichment yang diadakan secara mingguan.

MAKLUMAT PROGRAM

All Muslims are invited to


Kelas Peradaban Nabawi:

"Train the Trainers phase I'

Date: 24-25 Oktober 2008

8.40 AM- 4.00 PM

Venue:

Murni Hall, USMKK

Payment: RM 30

(Refreshment, lunch, notes and files)


Speakers

Bro Shah Kirit Kalkulai Govidji, IIS Setiawangsa

FCR Alumni, Saba Islamic Media

Limited to 150 persons only

For registration and information, contact:

Nurhamizah Mohamad Rafiuddin (MR1), 0139483478

Mohd Solehin B. Bakri, (M2),0139886379

For financial assistance contact: Mohd Nur Naim (M2): 017-4044521

Saturday, October 11, 2008

Tok Guru ku Sayang

“Ni la rumah Tok Guru?”
“Mana?”
“Tu”
“Eh, keciknye!”

Hurm, petang tadi setelah pulang dari menziarah seorang sahabat Halaqah, aku membawa seorang sahabatku melihat Rumah Tok Guru di Pulau Melaka. Kebetulan pula, masa tu aku tak sembahyang asar lagi. Kawan au dah jamakkan dengan zohor.

“Anta nak tengok rumah dia dari dekat tak?” Tanyaku selepas solat
“A ah boleh jugak.”

Masa kami duk usha rumah dia, nampak sekumpulan remaja dan dicelah-celah kumpulan remaja tu ternampak kalaibat Tok Guru. Apa lagi, kami pun pergilah bersalaman dan bertanya khabar. Kumpulan pelajar dari maktab perguruan begitu gembira sekali dapat bertemu mereka. Tok Guru begitu ramah sekali melayan mereka. Ada juga non Muslim dikalangan mereka. Nyata mereka begitu selesa sekali berbual dengan Tok Guru.

Walaupun hanya lebih kurang 10 minit dapat jumpa Tok Guru, tapi best sangat-sangat. Tok Guru memang ulamak yang hebat sehinggakan musuh pun menghormatinya. Iyelah, bapak UMNO pun hormat kat Tok Guru. Itulah keistemewaan ulamak.

Bangganya dapat Menteri Besar dan ulamak macam Tok Guru. Ya Allah! Kurniakanlah kesejahteraan kepada beliau dan jadikanlah penggantinya kelak sezuhud beliau. Ameen.

Pengkrtitik yang dikritik

Pagi ni aku ada berbual dengan seorang sahabat setelah pulang dari melakukan satu aktiviti bersama-sama. Perbualan yang berlaku di parking motor Nurani akhirnya menjurus kepada kritikan terhadap beberapa perilakuku sebelum ini yang dia perasan. Katanya aku seolah-olah tidak mesra dengan orang dan mencipta kelas tersendiri serta tidak tahu untuk bersosial. Maklmumlah, sebelum ini kami singgah makan di sebuah restoran terapung untuk makan.

Aku, seperti biasa, memanggil tuan kedai dan order dan kemudia order lagi. Tapi baginya, ia patut diiringi dengan sesuatu. Baginya, dia perlu melayan tuan restoran itu. Katanya, segalanya bermula dengan budi bahasa yang mencorakkan kemelayuan kita. Betul katanya, tapi bagiku, aku ke kedai untuk makan dan sewajarnya aku mendapat layanan yang sepatutnya dari Tuan kedai. Aku tidak menyalahkannya sekiranya dia ingin berbual denga tuan kedai itu sepanjang masa. Memang dia petah berkata-kata. Tapi bagiku, sukar untuk berbicara apatah lagi dengan orang asing. Katanya lagi, aku duk ‘ushar’ anak tuan kedai tu je. Macam berkenan, tapi kenapa tak nak layan orang tuanya? Nampak berkenan tapi tak tegur tuannya.

Huhu tergelak juga mendengarnya. Betul ke tu?? Entahlah, sememangnya aku suka memerhatikan keadaan di sekililing. Sudah semestinya bukan perhatikan orang sahaja. Tapi segala-galanya baik alam, susun atur perabot dan sebagainya. Hanya sekadar memerhati dan akhirnya biarkan ia berlalu. Pada penghujungnya, tetap teruskan kehidupan sendiri. Dan hari ini, akhirnya aku dikritik kerana tindakan ini.

Semestinya, apabila kita dikritik maka kita akan sedaya-upaya mempertahankan diri sendiri. Begitulah juga dengan diriku. Aku sedaya upaya menafikan kritikan yang dilontarkan. Tapi apabila aku pulang dari bilik, akhirnya aku sedar bahawa ada juga kebenaran kritikannya. Memang aku ada masalah! Masalah untuk bersosial terutamanya dengan orang yang baru bertemu atau kenal. Sehingga ke hari ini, aku tidak kenal semua rakan sekuliahku. Teruk bukan? Macam mana nak kenal kalau tak pernah tegur. Aku menjadi begini setelah berkali-kali dikhianati orang yang aku percaya. Dikhianati sahabat baik yang sepatutnya menjaga segala amanah yang kita berikan. Akibatnya, aku sentiasa berwaspada dengan orang hinggakan sering menimbulkan sangka buruk. Segala kebaikan yang dicurah akan ditapis dan diteliti kerana bimbang ada niat tersembunyi. Aku hidup dalam bayang-bayang sendiri.

Tapi adakah aku yang patut dipersalahkan kerana tidak mahu kejadian yang sama berulang kembali? Aku tidak mahu dikhianati lagi oleh teman seperjuangan. Dikhianati oleh orang yang kita sentiasa bela tapi akhirnya diri dipermainkan dan diambil kesempatan.

Temanku tadi juga berkata. Aku tidak salah kerana percayakan orang. Sahabatku itu yang salah kerana mengkhianatiku. Dan aku juga tidak wajar menghukum orang lain yang tidak bersalah kerana kesalahan yang dilakukan sahabatku itu. Betul! Tiada salahnya kata-katanya itu. Dia sememangnya betul. Tapi apa yang bisa kulakukan?

Aku begitu takut sekali untuk meletakkan kembali kepercayaan terhadap orang lain selain dari diriku sendiri. Aku teramat takut untuk menegur orang lain kerana bimbang bahawa ia akan membawa kepada persahabatan yang rapat kerana mungkin aku akan menderita lagi. Juga takut untuk membiarkan diri terlibat dengan emosi kerana risau akan jatuh terhumban. Entahlah. Hidup ini memang complicated walaupun kita sedaya upaya menjadikannya se’simple’ mungkin.

Apa-apapun, terima kasih kepada se pengritik kerana mengkritik diriku yang sebelim ini banyak mengkritik... Ada kebenarannya kritikan anda itu. Tiada salahnya mengkritik kerana kritikan akan menyedarkan seseorang yang dibuai lena panjang..

Sape yang kritik aku tu? Hurm…. Orang tu ialah Dayat. Chait Dayat! Hang kritik aku ek. Berani tol hang…. Hahaha, apa-apa pun terima kasih atas segalanya, ko memang betui.

Friday, October 10, 2008

Masa untuk Revolusi dan Reformasi

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Revolusi dan Reformasi? Semua orang sibuk untuk membincangkan tentang benda ni dari sebawah-bawah level pemikiran dan ideologi sehinggalah ke peringkat ahli politik.

Revolusi secara definisinya membawa maksud perubahan dari peringkat akar umbi dalam sesuatu organisasi atau kuasa yang mengambil masa yang singkat. Maknanya ia lebih cenderung dengan politik yang mana tokoh revolusi termasuklah George Washington, Vladimir Lenin, Ayatollah Ruhulloh Khomeini, Sun Yat Sen. Ia biasanya melibatkan revolusi menggulingkan pemerintahan beraja seperti yang berlaku di Iran dan Perancis. Akan tetapi revolusi turut berlaku dalam hal yang lain contohnya revolusi industri di Eropah.

Reformasi pula merupakan gerakan perubahan untuk mengubah sistem sedia ada kepada sistem yang baru dan juga mengubah kepimpinan dan struktur.

Jadi, revolusi akan membawa kepada reformasi apabila sistem sedia ada tidak dapat diterima pakai dan memerlukan sistem baru. Reformasi juga boleh membawa kepada revolusi apabila ada orang bawahan yang tidak inginkan sistem sedia ada, membuat kabinet bayangan mereka untuk melancarkan revolusi bagi memansuhkan sistem sedia ada.

Tanpa kita sedar, Tokoh reformasi dan revolusi paling penting bagi Umat Islam ialah Rasulullah S.A.W sendiri. Sebelum ini, barat sering menyalahtafsirkan Muhammad sebagai ‘founder’ ataupun pengasas agama islam sedangkan kita percaya bahawa Muhammad itu orang yang menyempurnakan Islam seperti mana Q5:3.

Mengapa Rasulullah seorang revolutionist dan reformist? Ini kerana Rasulullah telah membawa dimensi baru kepada Islam dengan perintah dari Allah. Banyak sistem sedia ada yang diperbaiki seperti isu perkahwinan, solat dan ibadah lain. Rasulullah turut mengubah struktur masyarakat jahiliyyah dari sikap assobiah dan sistem kasta kepada penyatuan ummat tanpa mengira ras, kaum atau pangkat berlandaskan Islam. Kesannya, Islam tertegak hingga ke hari ini.

Oleh yang demikian, sekarang sudah sampai masanya untuk revolusi dan reformasi digerakkan. Akan tetapi, aku tidak ingin menyentuh mengenai aspek politik kerana apa yang aku maksudkan ialah revolusi dalam organisasi Islam.

Hal ini kerana, organisasi Islam kita sudah menjadi seperti perpecahan ummat di zaman sebelum kedatangan Islam. Banyak sekali pertubuhan yang muncul tapi mengekalkan prinsip dan martabat masing-masing walaupun semuanya ingin memperjuangkan Islam antaranya PAS, JIM&Karisma, ABIM&PKPIM, Tabligh dan sebagainya. Akibatnya, lebih banyak salah faham yang timbul terhadap kesucian agama Islam.

Oleh yang demikian, aku merasakan sudah tiba masanya kita menggerakkan satu revolusi ke arah penyatuan umat Islam. Sekiranya ia dilihat mustahil pada peringkat atasan, maka apa kata kita lakasanakannya di peringkat bawahan terutamanya di universiti ini. Semoga kita semua mampu unutk mengenepikan kepentingan diri dan jemaah masing-masing untuk maju ke arah yang lebih baik demi mendaulatkan dakwah islamiyyah agar kita dapat bertapak seteguh tamadun Islam yang dulu.

Ayuh, bangkitlah semua!! Ketepikan segala kepentingan kita. Bersatulah untuk mendaulatkan Islam.

There are no such impossible things
Towards revolution and reformation.

Tuesday, October 7, 2008

Letupan Battle of The Band bakal Menggegar lagi.

Setelah beberapa bulan ‘Battle Of The Band’ diadakan di USM, MPDMN telah mengambil langkah untuk mengadakan kembali program ini yang bakal berlangsung pada 21@ 23 Oktober ini.

Selaku mahasiswa yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, suka kiranya aku melontarkan sedikit pandangan berkenaan dengan program ini.

Pertamanya, aku nyatakan bahawa aku tidak ada masalah dengan penganjuran program ini. Maknanya, aku bukanlah kata nak membangkang. Cuma, rasanya ia patut dipertimbangkan kembali kerana kesan penganjuran yang lepas masih hangat lagi. Abu yang tertinggal masih panas lagi dan tidak perlu dinyalakan api yang baru.

Sememangnya Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berhibur, akan tetapi rasanya perlu ada batasan terhadapnya. Maknanya, hidup ini bukannya untuk berhibur sepanjang masa. Jadi, tidak perlulah dibuat secara kerap. Aku tidak mengatakan bahawa ‘Battle of The Band’ itu salah. Akan tetapi, aku mengharapkan agar program sebegini dapat dikurangkan.

Namun, aku sememangnya faham bahawa bukan semua mahasiswa mempunyai naluri yang sama. Begitu juga dengan keinginan dalam berhibur. Sesetengah dari kita mungkin berjiwa ‘rock’ termasuklah aku sekali. Oleh yang demikian, aku mencadangkan kepada pihak penganjur agar beberapa garis panduan perlu ditetapkan sekiranya ingin meneruskan juga program ini.

Antaranya ialah untuk memikirkan mekanisme bagi mengawal pergaulan antara mahasiswa dan mahasiswi. Aku benar-benar berharap kejadian mahasiswa-mahasiswi yang bercampur dan bermesra dalam dewan yang gelap tidak berulang lagi. Apa yang sudah, kita biarkan ia berlalu. Yang sudah itu sudah! Yang penting ialah program yang mendatang. Kita telah melihat lubang-lubang kerosakan pada binaan sahsiah mahasiswa, maka apa salahnya kita menampal kembali lubang tersebut agar institusi ini kukuh kembali. Adalah diharapkan supaya pengasingan pelajar lelaki dan perempuan dapat dilaksanakan ataupun buka lampu dewan. Jangan gelapkan. Pihak penganjur perlu mengawal setia pergaulan mahasiswa agar tidak melampau.

Islam itu cukup indah. Ia boleh tersebar melalui apa sahaja. Tengok sahaja Cat Steven dengan irama ‘pop’ dan sedikit ‘rock’. Soldier of Allah dan Demiscus dengan ‘Rap-nya’ dan juga Kopratasa dengan Puisinya. Maka apa salahnya, kita ambil kesempatan ini untuk menghasilkan tema persembahan berbentuk nilai keagamaan, keamanan ataupun semangat yang dapat membina bangsa.

Ataupun, rasanya tidak salah juga sekiranya kita selitkan juga barang 10-20 minit untuk diberikan ruang pada pengisian rohani seperti tazkirah yang mana untuk memperingatkan kita sebagai Muslim agar tidak leka dengan duniawi semata-mata.


Kritikan melestarikan sahsiah

Saturday, October 4, 2008

Cardiac arrest in young athletes.

Well, just to share this stuff with other med student.

HOPI

Patient was playing baseball when his friend accidently elbowing him on his chest. He suddenly collapse and on Cardiac arrest. His coach immediately doing CPR and the EMD arrived 5 minutes later. The patient is found to be in V-fib. One 200 j countershock was given and the sinus went back to normal. He eventually regained consciousness and was sent to ED.

On ED, following investigaton was done.

BP: 130/71 mmHg
HR: 106bpm
Resp rate: 28-30 breathe per minute
GCS: 15
O2 sat: 83%. Corrected to 93% via non-rebreather mask. To 99% via 2L nasal canulla.
Skin Ex shows ecchymosis on anterior chest wall (anterior to sternum)
Lungs are clear to auscultation.
Cardiac Ex reveals a regular rate, with normal S1 and S2 heart sounds and no clicks, gallops, rubs, or murmurs.
The abdominal and neurologic examinations are unremarkable.
The musculoskeletal exam shows the patient's wingspan to be 95-100% of his height.


On questioning
substernal chest pain0, SOB0, palpitations0, weakness0, confusion0
He denied of smoking, alcohol consumption,use of medication and substance abuse
No family history of arrhythmias, unexplained sudden deaths, or cardiac structural diseases.


Management
The 12 leads ECG were put on patient and reveal sinus tachycardia at rate of 110bpm with mild right-axis deviation. The QRS complex, QT interval, ST/T waves, and P waves are all noted to be normal

Upright chest radiograph shows somewhat underaerated lungs but no signs of fractures, widening of the mediastinum, cardiomegaly, or hemopneumothorax

Other examination and cardiac enzymes are within normal ranges.


So what is Diagnosis?

Commotio cordis. (Commotio means swelling resulting to blunt trauma.)


Def: instantaneous cardiac arrest produced by a witnessed, nonpenetrating blow to the chest, in the absence of preexisting heart disease or identifiable morphologic injury to the sternum, ribs, chest wall, or heart.

This case is taken from online CME question provided by medscape. To know more: Take the CME provided by medscape. To know more about this disease, visit website emedicine.

Thursday, October 2, 2008

Syawal dan manifestasi kemenangan Mahasiswa


Allah Akbar, Allah Akbar, Allah Akbar, Walillah il ham. Syukur ke hadrat ILAHI kerana dengan kurnianya kita sama-sama dapat menyambut bulan kemenangan setelah sebulan bertempur di medan tarbiyyah yang mana satu perjuangan untuk melawan nafsu. Aku sendiri tidak pasti, adakah aku memenangi pertempuran ini dengan baik atau sekadar lulus cukup makan untuk menerima ijazah hakiki dari Allah S.W.T.


Sememangnya, masih banyak kekurangan pada diri ini yang tak bisa diteguhkan dengan konkrit-konkrit keimanan. Masih banyak juga titik-titik hitam yang tak mampu disinari dengan Taqwa. Apakah aku berpeluang untuk turut serta dalam perjuangan sebegini lagi di tahun hadapan?

Sahabatku sekalian, sedar tidak sedar, ini adalah Idulfitri ketiga buatku dengan title 'Mahasiswa'. Sememangnya telah banyak perubahan yang sempat aku perhatikan dalam meniti kehidupan di USMKK ini.Masih aku ingat, saat pertama menjejakkan kaki ke USMKK, pelbagai persepsi tentang Universiti berputar ligat dalam kepalaku. KEbebasan, Tiada kawalan, independent dan study. Itu semua yang bermain di fikiran. NAmun tanpa ku sedar, Universiti juga adalah merupakan elemen pentarbiyyahan diri yang amat penting serta medan untuk melatih sifat kepimpinan. perkara ini hanya disedari setelah langkahan sampai dipertengahan jalan.

Semasa di tahu pertama, aku masih tidak mengerti apa itu semangat serta hak 'mahasiswa'. KAmi ketika lebih banyak menurut dan patuh berbanding menyelongkar apa sebenarnya yang mampu dilakukan. Maaf sekiranya aku katakan bahawa kami ketika itu masih jumud, berada dalam kealpaan serta tidak berani untuk mengekspresi diri. AUKU, HEP serta ugutan-ugutan membuat mahasiswa tidak berani untuk mengeluarkan idea-idea bernas serta memberi pandangan yang dilihat bertentangan dengan dasar universiti.

Tapi, apabila naik ke tahun dua dan seterusnya sekarang di tahun ketiga, aku melihat landskap di USMKK sudah berubah. Mahasiswa tidak lagi dicucuk hidung oleh pihak-pihak tertentu. MAsing-masing sudah mampu bangkit dari segala kekalutan untuk mengeluarkan solusi bagi memartabatkan lapangan mahasiswa. Inilah suasana yang aku inginkan. Mahasiswa sudah boleh keluar dari kepompong kejumudan dan menapak selangkah ke hadapan. Walaupun apa yang berlaku jauh ketinggalan berbanding Universiti lain, tapi ini adalah kejayaan kita.

Penyerahan memorandum, tandatangan petisyen, kelantangan bersuara, perjuangan menuntut hak mahasiswa bagiku adalah satu kejayaan buat mahasiswa walaupun banyak pihak memandangnya sebagai satu ancaman terhadap sistem pembelajaran serta mampu mengganggu gugat kelancaran pentadbiran. Akan tetapi, ia sepatutnya dipandang secara positif serta dijadikan inisiatif oleh pihak yang dikritik untuk membaiki kelemahan sistem sedia ada. Inilah sebenarnya elemen yang perlu ada dalam menjayakan hasrat menjadikan USM sebagai Universiti APEX. Di mana mahasiswanya aktif dalam berpersatuan serta mampu untuk menjana idea-idea bernas, mempertahankan hak serta bebas untuk memberikan pandangan tanpa sekatan.

Semoga banyak lagi pemimpin berkaliber dapat dilahirkan khususnya melalui Pilihan Raya Kampus yang bakal berlangsung pada bila-bila masa sahaja nanti. Semoga pemimpin yang berjaya menduduki kerusi MPP nanti merupakan mahasiswa yang ulung serta mampu menjayakan misi mahasiswa. Semoga mahasiswa ini tidak dicucuk hidungnya oleh pihak tertentu bahkan membuat perhitungan berdasarkan kehendak MAHASISWA DAN SYARAK.


Aku juga menyeru diri sendiri dan sahabat sekalian agar kita tidak hanyut dalam politik semata-mata sehingga melupakan nilai yang sepatutnya kita garap iaitu nilai kasih sayang sesama islam. Ayuhlah sahabatku, khususnya gagasan Pro-Mahasiswa. Sama-samalah kita pandang rakan-rakan di barisan Aspirasi dengan penuh kasih-sayang. JAngan biarkan perbezaan pendapat dan hujjah membawa kepada kehancuran. Renungilah kisah pertempuran diantara tentera Saidatina Aisyah dan Saidina Ali. Walupun berbeza pegangan dan matlamat dan dalam peperangan, mereka masih boleh sembahyang berjemaah bersama-sama dalam satu masjid serta mengebumikan mayat musuh dengan penuh ketertiban Islam. Sesungguhnya Islam tidak melarang perbezaan pendapat asalkan untuk kebaikan ummat dan tidak mebawa kepada kehancuran.

Semoga kemenangan mahasiswa ini dapat dipertahankan hingga ke akhirnya. Selamat menyambut hari raya yang penuh dengan keberkatan ini. Dikesempatan ini, aku ingin memohon jutaan kemaafan buat semua insan yang terasa dengan diri ini ataupun terguris hatinya dengan setiap ucapan yang keluar dari diri ini.

Ke arah Mahasiswa Merdeka
-Revolusi yang bukan fantasi-
Muhamad Na'im B Ab RAzak (Jack)
"Medical Student Facilitator Team"
Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah