Saturday, April 25, 2009

Bekerja sebagai Caterer




Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Allah atas nikmat kurnianya maka pada hari ini, saya dan beberapa rakan seelektif sempat menimba ilmu bekerja sebagai pekerja ‘caterer’ bagi menampung keperluan elektif biarpun upahnya tidak sebesar mana. Tapi perasaan ini begitu puas sekali kerana dapat meraih wang hasil kerja sendiri.


Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda, lalu Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan. Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan jelas. [Q17:22]


Terima kasih diucapkan kepada Pn Syidah kerana sudi memberikan kami kerja ini di saat kami memerlukan.


Ada juga sedikit perasaan malu yang tumbuh di dalam hati ini kerana terpaksa menyusun meja-meja dan juga mengutip pinggan-mangkuk yang kotor di hadapan pelajar-pelajar perubatan dan pergigian tahun dua dan empat yang diraikan dalam hari Ko-Kurikulum mereka.


Tapi, bagi saya perasaan malu ini merupakan satu nikmat berbanding perasaan malu kerana meminta-minta wang sumbangan.


Alhamdulillah, banyak juga yang dipelajari daripada Chef Abg Fendi tentang cara-cara menyusun atur hiasan meja, mangkuk-pinggan dan sebagainya. Sememangnya ia menambahkan lagi pengalaman saya dalam bidang pekerjaan.


Sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai pelayan restoran, tukang basuh pinggan, Cashier dan mengambil upah tender “memasak dan menghantar makanan lokap.”


Antara semua pekerjaan yang dilakukan, kerja memasak dan menghantar makanan ke lokaplah yang paling mencabar. Maklumlah, hanya ada dua orang pekerja iaitu saya dan seorang lagi pekerja. Kami terpaksa melakukan semua kerja bermula dari menyediakan bahan mentah, memasak, membungkus dan seterusnya membahagikan makanan kepada tahanan lokap yang berjumlah antara 50-120 orang setiap hari.


Ngeri sekali tatkala mula menjejakkan kaki ke dalam lokap. Jantung saya berdenyut kencang apatah lagi ada anggota polis yang tersilap faham bahawa saya adalah penjenayah. Maklumlah, ketika itu, cara pemakaian saya agak keterlaluan


“Ko masuk sini sebab apa. Ko rogol anak sape?”


“Sa.. saya, saya hantar makanan je cik, bukan buat apa-apa.”


Keseraman bertambah apabila melihat muka-muka tahanan yang begitu garang dengan badan dipenuhi tattoo. Kadang-kala ada juga adengan pergaduhan dalam lokap.


Sesekali, ada masanya kami dimaki-hamun oleh tahanan kerana ada masalah dengan makanan seperti tidak cukup, makanan kurang sedap, lambat dan sebagainya. Semua ini menjadi kenangan yang tersusun dalam memori saya.


Tapi pada masa yang sama, ada juga perasaan kasihan terhadap mereka. Saya masih teringat raungan dan tangisan seorang wanita yang di tahan disebabkan kesalahan suaminya menyimpan stok ganja di rumah mereka. Satu lokap bergema dengan suaranya yang begitu mengusik kalbu saya.


Saya juga sedih melihatkan anak-anak bangsa yang masih berusia belasan tahun yang ditahan kerana pelbagai kes juvana seperti rempit, pecah rumah dan juga aktiviti pelacuran.


Apabila melihatkan GRO muda yang ditahan, saya menjadi sebak. Maklumlah, ada di antara mereka yang jadi begitu disebabkan teman lelaki. Entah mengapa, ada juga lelaki yang begitu dayus yang sanggup mempermainkan serta mengambil kesempatan di atas cinta yang diberi oleh si gadis yang lemah. Dan entah mengapa si gadis begitu “bodoh” membiarkan diri mereka diperlakukan sedemikian rupa hanya kerana bujuk-rayu teman lelaki.


Kesemua benda ini kembali menerawang di dalam minda saya, apatah lagi setelah menyaksikan pelbagai ragam anak-anak muda di Jeram Linang semalam. Entah apa nasib remaja-remaja wanita yang hanyut dalam pelukan teman lelaki masing-masing? Dan pada masa yang sama, saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa.


Perkara sebegini perlu dipandang dengan serius kerana ia melibatkan masa depan Negara dan tambah sedih lagi apabila perkara sebegini berlaku di Negeri Kelantan yang dikenali sebagai bumi para ulamak, serambi mekkah, universiti agama terbuka dan pelbagai gelaran yang molek-molek.

Selamat hari lahir Fauzi

Malam ini, kami semua meraikan ulang tahun kelahiran Fauzi. Seperti biasa, kami import tukang masak dari Penang.


Ini sahaja yang termampu chef ujai masak. Maklumlah malam ni berlaku sedikit kecelakaan sewaktu Ujai sedang memasak.. Nak tahu ape? Tunggu sehingga habis Post ini.


Ni pula makhluk2 yang tak habis2 main game dan layan movie. sampaikan junior 2nd year pun terpengaruh. Adik2 cepat pegi study

Dan ini dia Fauzi@ poji@ ceti haram MESAT TEAM yang menyambut hari lahirnya yang ke --Tahun. semestinya hari lahir ini lebih bermakna kerana bakal melangkah ke tahun empat.


Dan, seterusnya adalah kejadian ngeri yang berlaku di malam hari lahir poji. Bersediakah anda melihatnya?

Macam pernah kenal motor ini. Milik siapakah motor ini? Tak sanggup ku melihatnya. Semestinya peminat Tuan Motor akan histeria melihat gambar seterusnya.


Sebuah motor wave yang tersadai di tiang lampu setelah kemalangan di sebuah cabang, jalan masuk ke rumah Fauzi

Welcome to the Club! Itulah kata-kata yang diungkapkan kepada Adam setelah beliau didapati tidak cedera parah selepas kemalangan ngeri di simpang Rumah Fauzi. Akhirnya Adam berjaya menempatkan diri ke dalam kumpulan Batch USMKK 0607 yang terlibat dalam kemalangan. Setakat ini, Asrul masih mendahului (3X) diikuti Naim (2X) seterusnya Fox (2X), We Bilal, Ruzaini, dan yang lain-lain

Pandangan hadapan motosikal KBV 2549 milik Adam yang tersadai lesu

Berkelah di Jeram Linang

Sedar tidak sedar, rupanya sudah lima hari kumpulan elektif kami berada di Kubang Kerian untuk mencari dana bagi menampung perbelanjaan ukhwah. Setelah lima hari bekerja, kami memutuskan untuk melepaskan penat dan lelah dengan berehat dan berkelah di Jeram Linang.


Perjalanan kali ini mengingatkan kembali satu perkara penting yang telah kami lupakan sebelum memulakan sesuatu pengembaraan. Mungkin kerana kesibukan menguruskan elektif baik mencari sponsor mahupun berniaga maka aspek ini dilupakan terus.


Adab mengembara perlu melantik seorang amir agar mampu mengawal selia ahli rombongan di samping memastikan adanya satu perancangan rapi agar perjalanan menjadi lebih bermakna.”


Malam dimulakan dengan operasi menyediakan bahan-bahan untuk berkhemah. Jejaka macho dari utara a.k.a Ujai menjadi chef utama dalam menyediakan juadah yang cukup istimewa iaitu nasi lemak. Kemeriahan memasak sesekali diselangi dengan usikan memandangkan teknik memasak orang utara yang agak bertentangan dengan cara masakan orang Kelantan. Manakan tidak, nasi lemak dimasak bersama kayu manis dan bunga rawang.


Ayam kena potong dulu. x leh tibai sekor terus...


Asrul pula menyediakan ramuan untuk memerap ayam. Kami tidak menggunakan perencah barbecue untuk perkelahan kali ini sebaliknya menggunakan resepi sendiri.


Dah siap potong kena basuh dulu baru boleh diperap. betul tak Asrul? kena jaga hygeine sikit. kan masing-masing student medic. tapi kalau terlampau nak bersih pun x leh gak takut jadi obcessive compulsive disorder.


Kami bertolak sebaik sahaja sang mentari mula keluar dari tempat persembunyiannya. Sayang kerana pagi ini tidak dihiasi dengan alunan merdu kicauan sang burung. Maklumlah rumah sewa Fauzi boleh dikatakan terletak dalam kawasan Bandar.


Alhamdulillah, masih ada lagi tempat yang indah. Airnya masih jernih dan pokoknya masih subur menghijau. seronok sangat-sangat tengok ikan berenang.

Hurm dah sampai pun


Seronok betul berkelah bersama kawan-kawan. Di samping dapat menikmati keindahan alam sambil menghirup udara segar, semestinya gurau senda sesama rakan mampu mengukuhkan lagi ukhwah yang dibina dan sudahpun berusia tiga tahun.


Kita mulakan operasi membakar ayam. kekebalan tangan teruji kerana terpaksa menggunakan tangan untuk membalik ayam sebab tak bawa penyepit. Siapa yang bersalah?


Sedapnya ayam! Betul Betul! Betul!


Apa-apa pun, posing dulu

satu lagi shot yang menarik

Kerana tiadanya orang yang bertanggungjawab untuk menguruskan pengembaraan kami, maka pelbagai masalah yang timbul. Pelbagai barang telah tertinggal dan akibatnya kami terpaksa menjadi kreatif dengan menggunakan pelbagai barangan untuk memastikan program berjalan lancar.


Tengok tu! Buka Laici guna pisau je


yang ni lagi sadis. Periuk yang digunakan untuk perap ayam dikitar semula untuk diisi dengan air laici. nasib badan la..

Ujai yang tak habis-habis dengan tugasan sebagai "anak dara". untung sape dapat member ni. Complete package. semua boleh!!


Macam mana boleh ada dugong sesat kat sini. Pelik.Seriously?


Namun, sayang sekali kerana perkelahan kami agak tercemar dengan gelagat anak-anak muda yang pada perkiraan saya baru berusia belasan tahun yang begitu ayik memadu asmara. Sedih rasanya tatkala mata ini melihat mereka berpeluk-pelukan di dalam air ataupun ada yang berpegangan tangan di bangku-bangku batu.


Keindahan yang tercemar dengan keasyikan muda-mudi berpesta nafsu.


Entah mengapa diri ini menjadi pengecut sekali. Setelah beberapa kali berkira-kira dalam hati untuk menegur perbuatan mereka, namun semangat itu bagaikan terpadam dari terus menyala dan membakar. Lemah sungguh diri ini kerana tidak mampu untuk mencegah kemungkaran. Malu rasanya kerana kata-kata yang berkobar-kobar tidak mampu direalisasikan dengan tindakan. Semuanya hanya tinggal retorik.


Diri ini ingin menjadi segagah Umar Al Khattab, tapi rupanya sifat pengecut masih menguasai diri. Mungkin diri ini patut berhenti menggelarkan diri sebagai Pejuang Islam. Benarlah kata-kata ulama’ dahulu.


“Tidak dibuktikan keberanian seseorang selagi mana dia masih belum berada di Medan Jihad”


Dan hari ini, rasanya diri ini telah pun tewas. Tewas pada segala-galanya.

Friday, April 24, 2009

72 Golongan Masuk Neraka, Hanya Satu Masuk Syurga


Assalamu’alaikum. Di sini saya ingin membicarakan satu hadis yang dibahaskan oleh Yusuf Qardawi berdasarkan petikan buku Fiqh Ikhtilaf tulisan Yusuf Qardawi dan diterjemahkan oleh saudara Hasnan Kasan (Pusat Pengajian Umum, UKM) ke bahasa melayu.


“Orang-orang yahudi berpecah belah menjadi 71 atau 72 golongan, orang-orang Nasrani berpecah belah menjadi 71 atau 72 golongan, sedangkan umatku berpecah belah menjadi 73 golongan. Semuanya masuk neraka kecuali satu golongan iaitu ahli Sunnah wal jamaah.”


Hadis ini begitu popular sekali terutamanya kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam agama dan juga orang yang fanatic beragama.


Orang yang berjinak dalam agama mengatakan jemaahnya la yang akan masuk syurga kerana kurang ilmu manakala orang fanatic akan mengatakan jemaahnya lah yang akan masuk syurga kerana sikap keras kepala mereka. Pada fikiran mereka, hanya merekalah yang betul walaupun mereka tidak terdedah kepada kepelbagaian ilmu dalam Islam.


Hadis di atas sangat-sangat penting untuk diteliti dan dikaji kerana ia membawa banyak perbuatan kafir-mengkafir sesama umat Islam walaupun telah ditegah oleh kekasih Allah melalui hadisnya yang berbunyi


“sesiapa menuduh kafir seseorang atau memanggil: “wahai musuh Allah”, padahal orang yang dipanggil tidak demikian maka tuduhan kafir itu kembali padanya.”


“Sesiapa menuduh kafir seorang mukmim, maka ia seperti membunuhnya.”


Berkenaan hadis yang saya sebutkan pada awal; Semuanya masuk neraka kecuali satu golongan, ia diriwayatkan dari sebahagian sahabat; Abdullah B. Amer, Muawiyyah, Auf B. Malik dan Anas r.a. Akan tetapi, semuanya mempunyai sanad yang lemah dan para perawi hadis menguatkannya dengan menghubungkan antara satu riwayat dengan riwayat yang lain.


Memandangkan hadis ini menimbulkan banyak kemusykilan, Al-Alamah Ibn Wazir menganggap hadis ini lemah secara keseluruhan (terutamanya Semuanya masuk neraka kecuali satu golongan)


Di dalam kitabnya Al-‘Awasyim, Ibn Wazir berkata; “Janganlah kamu tertipu oleh (hadis lemah yang mengatakan) Semuanya masuk neraka kecuali satu golongan . Itu adalah tambahan yang batil bahkan merupakan rekaan orang-orang mulhid.


Ibn Wazir juga memetik kata-kata Ibn Hazam:


“Ini adalah hadis palsu. Tidak mauquf (sampai pada sahabat) juga tidak marfu’ (sampai kepada Nabi S.A.W).”


Walaubagaimanapun, terdapat hadis yang dinyatakan hasan sahih oleh Tarmizi serta disahihkan oleh Ibn Hibban dan Al-Hakim iaitu hadis yang saya nyatakan diatas tanpa tambahan Semuanya masuk neraka kecuali satu golongan melalui riwayat dari jalan Muhammad B. Amer B. Al-Qamah B. Waqash Al-Laitsi.


Bagi saya, saya bersetuju dengan hadis asal yang diriwayatkan oleh Tarmizi, Ibn Hibban dan Al-Hakim tetapi menolak hadis yang mempunyai tambahan Semuanya masuk neraka kecuali satu golongan.


Saya bersetuju dengan pandangan Yusuf Qardawi bahawa perpecahan ummat itu satu reality dan bukannya mainan. Hal ini kerana kepelbagaian cara pemikiran, bentuk geografi muka bumi dan sebagainya. Umum mengetahui 124 ribu orang sahabat dan pengikut Nabi keluar bertebaran ke serata alam untuk berdakwah dan kerana itu tidak mustahil ada berlaku perbezaan tetapi tidak sampai ke tahap terkeluar dari akidah ummat Islam.

Dan perpecahan umat itu pasti berlaku sebagaimana Hadis yang diriwayatkan Muslim dari Saad dan berbunyi


“Aku meminta kepada Allah tiga perkara. Lalu dia memberiku dua perkara dan menolak yang satu lagi…………… dan aku memintaNYA agar tidak menimpakan kebinasaan sebahagian ummatku kepada sebahagian yang lain tetapi DIA menolak permintaanku ini.”


Bagi saya, perbezaan pendapat dalam islam itu Nikmat dan juga Laknat. Ianya merupakan nikmat sekiranya perbezaan pendapat atau perpecahan itu melibatkan hal-hal Fiqh dan Muammalat. Perbezaan pendapat juga boleh menjadi laknat sekiranya ia melibatkan perbezaan akidah. Saya ambil contoh yang cukup mudah berdasarkan perbahasan yang sebelum ini cukup panas di dalam yahoo group Voice of Islam milik Biro Kerohanian USMKK iaitu isu di mana Allah. Bagi saya, isu ini merupakan perbezaan Nikmat dan juga Laknat.


Pertamanya, ia laknat apabila berlaku perbahasan bahawa Allah itu berada di mana-mana hatta di dalam diri dan bersatu dengan manusia kerana ia jelas berlanggar dengan sifat Allah.


Akan tetapi, berlaku kekhilafan dalam mentafsirkan ayat “Istiwa a’la Arasy” dalam kalangan Salaf dan Khalaf. Salaf mengatakan Allah bersemayam di atas Arasy manakala Khalaf mengatakan bahawa Allah tidak bersemayam di atas arasy sebaliknya lebih tinggi. Manakala saya pula lebih selesa mengambil pendapat sebahagian ulama lain yang mengatakan Allah ini diluar ciptaannya dan tidak merangkumi jisim, masa dan ruang. Kesemua pendapat ini sebenarnya betul Cuma kita sahaja yang terlampau memperbesarkan isu ini. Dek kerana perbuatan kita yang melampaui batas, maka timbullah perbalahan yang saling mengkafirkan ummat islam dari aliran yang berlainan hingga menuduh satu-satu pihak itu kafir dan masuk neraka.


inshaALLAH, kita semua akan masuk Syurga dengan Belas dan Ihsan dari Allah S.W.T kerana Allah telah berfirman dalam surah Al Kahfi yang berbunyi seperti berikut


Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahwa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa." Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya."[18:110]


Dan ulamak juga sependapat bahawa sekiranya hadis dengan tambahan di atas itu benar, maka 72 golongan tersebut akan masuk neraka seperti mana orang Islam yang masuk neraka kerana melakukan maksiat. Tetapi, InshaALLAh dengan syafaat daripada orang yang berhak memberinya dan amal-ibadatnya maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.


Semoga selepas ini, kita sama-sama berusaha mencari redha Allah. Perpecahan itu pasti berlaku Cuma kita mesti sedaya upaya untuk menghalangnya dan terus untuk berada dalam satu jemaah yang bernama “Islam”

Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah