Tuesday, June 30, 2009

Ketika diri diuji


Aku lemah tiada bermaya,

Pandangan ku kabur,

Langkahku longlai menanti rebah,

Jiwaku terusik, hatiku menangis,

Segalanya kelihatan kelam.


Oh mengapa ku tertewas,

Tidak mampu menggapai cahaya,

Diri terasa begitu kotor,

Entah bagaimana dapat kusucikan,

Supaya berseri menghadap Ilahi,


Bimbinglah aku untuk terus berlari,

Pandulah aku di landasan keimanan,

Jangan dibiarkan aku tersesat,

Ku tak mahu tergelincir,

Kerana sayangnya aku padaMU


Pada siapa harus ku mengadu?

Bagaimana ku tahu KAU mendengarku,

Ku merintih padaMU mengharap balas,

Tapi kesunyian masih menamaniku

Oh TUHAN hadirlah bersamaku.




Monday, June 29, 2009

PDPSZA ke-9 dalam kenangan



sekadar gambar hiasan memandangkan tidak bawa kamera masa debat PDPSZA. inilah pencapaian terbaik saya di arena debat IPTA. hanya sekadar ke suku akhir selepas mengungguli carta liga Arau Open tahun lalu.


Pertandingan Debat Piala Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin (PDPSZA) telah pun berakhir semalam. Pelbagai memori suka dan duka tercatat dalam lipatan pengalaman hidup sepanjang menyertainya.


Semalam, saya hanya mampu menelan air liur menyaksikan Piala Pusingan dibawa balik oleh Institut Perguruan Sultan Mizan setelah menewaskan UIAM dengan keputusan hakim 4-3 dan margin tipis 1+ setelah usul “ Sistem Pendidikan Negara Maju : Model Terbaik Buat Malaysia”.


Dalam perlawanan ada menang dan ada kalahnya. Tetapi, sedikit sebanyak perasaan sebak turut menyentuh kalbu. Walaubagaimanapun, saya harus akur dengan kekalahan ini. Kami gagal diperingkat liga dan hanya mampu mendapat tempat yang ke 12.


Walaubagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pendebat pertama USM iaitu kak Husna yang mendapat tempat ketiga daripada 60 orang pendebat dalam senarai ranking pendebat PDPSZA kali ini. Saya pula terpaksa berputih mata kerana hanya memperoleh tempat ke 17.


Mengimbas kembali kenangan di sana, masih segar diingatan saya akan satu peristiwa yang cukup menyentuh hati sewaktu kami tersilap turun bas. Tempat yang kami turun itu begitu sukar untuk diceritakan kepada pemandu teksi kerana tidak tahu dimana lokasi sebenar kami.


Alhamdulillah, Iqbal telah menebalkan muka untuk bertanya penduduk kampong di sana dan seorang guru KAFA iaitu Kak Ros telah sudi untuk menghantar kami ke UiTM Dungun. Rupa-rupanya perjalanan masih berbaki empat kilometer dan syukur kerana beliau telah membantu kami walaupun hanya diikat dengan tali persaudaraan dalam Islam.


Sepanjang PDPSZA berlangsung, otak ini begitu stress sekali mencari bahan untuk pertandingan debat. Maklumlah, dalam banyak-banyak pertandingan debat, kali ini usul hanya diberi pada hari pendaftaran. Sebanyak 25 usul telah diberikan dan sememangnya masa sangatlah terhad untuk mencari kesemua usul tersebut.


Dalam pusingan liga, kami hanya mampu untuk menang tiga daripada enam perlawanan dan ia tidak cukup untuk membawa kami ke peringkat seterusnya. Namun, saya akur dengan kekalahan ini.


Perkara yang lebih penting ialah kepuasan berdebat. Saya sendiri tidak pasti apakah selepas ini masih ada lagi peluang sebegini atau ini adalah penutup kepada aktiviti ini memandangkan kaki ini akan melangkah ke fasa klinikal yang sememangnya sibuk.


Sebagai pelengkap bicara, ingin saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada team debat saya yang setia berjuang iaitu kak Husna, Iqbal, Abang Chik (ai) dan Asiah.


Seterusnya ialah kepada Kak Zi yang telah banyak membantu kami dalam menguruskan yuran dan sebagainya. Semoga, ia akan terus menyemarakkan kerjasama secara professional antara mahasiswa dan pihak HEP.


Akhir sekali, tahniah juga diucapkan kepada syazwan dan sal yang telah selamat diijabkabul dan kini sah bergelar suami isteri. Semoga terus bahagia hingga ke akhirnya. Maaf kerana terpaksa mungkir janji untuk menghadiri majlis walimah kalian.


Wassalam…….

Saturday, June 27, 2009

Tandas Awam Kotor Hadiah Buat Pelancong ke Malaysia


Saya masih teringat sewaktu menonton iklan berkenaan dengan tandas di kaca televisyen suatu ketika dahulu. Iklan yang turut disertai dengan nyanyian itu sedikit-sebanyak menggelikan hati saya memandangkan isu yang diketengahkan adalah TANDAS.


Terlampau banyak berhadapan dengan tandas awam kotor membuatkan saya sudah terlalu lali dengannya. Tak kisahlah di negeri mana yang saya pergi Kelantan, Kedah, Perlis, Kuala Lumpur dan sebagainya, semua tandas mempunyai cirri yang sama. Busuk, hancing, kotor, air bertakung dan dipenuhi asap rokok yang berkepul diudara.


Namun, ada satu peristiwa yang membuatkan saya tiba-tiba berfikirkan kembali hal mengenai kebersihan tandas awam ini


Sewaktu dalam perjalanan ke UiTM Dungun, bas yang kami naiki sempat berhenti di Stesyen Bas Kuala Terengganu. Saya gunakan masa yang ada untuk meng’qada’ hajat yang tertangguh sejak bas mula bertolak dari Bengkel Bas Kubang Kerian.


Alangkah terkejutnya melihatkan keadaan tandas yang begitu menjijikkan dengan lantai yang kotor dan air kencing bertakung di hampir kesemua lubang tandas. Kotornya membuatkan hajat ingin kencing pun seakan-akan hilang biarpun pundi kencing sudah penuh.


Itu masih tidak mengapa lagi. Namun, saat yang tidak dapat saya bayangkan ialah apabila ada pelancong yang pada hemat saya berasal dari korea (berdasarkan rupa fizikal dan cara percakapan) masuk ke dalam tandas dan menunjukkan muka jijik. Malah, mereka sempat lagi berbual dengan teman senegara menggunakan isyarat muka yang penuh dengan kerutan.


Keluar dari tandas, mereka siap mengambil lagi gambar papan tanda tandas awam. Saya sendiri tidak tahu apa tujuannya. Adakah ingin dicatat di dalam blog seperti apa yang saya lakukan ini atau sekadar simpanan peribadi. Bahkan mereka siap berbual dengan rakan-rakan yang lain sambil ketawa.


Perkara ini pada perkiraan saya sangat-sangat menjatuhkan imej Negara kita. Tambahan pula, setiap orang perlu membayar 20 sen kepada penjaga tandas sebelum menggunakan tandas. Walaupun nilainya kecil, namun tidakkah mereka berasa bertanggungjawab untuk membersihkannya.


Situasi ini sedikit sebanyak membuatkan saya kagum dengan Negara jiran kita Indonesia. Sewaktu ke Yogyakarta baru-baru ini saya dan teman misi pada awalnya terkejut kerana hampir setiap tempat memerlukan perbelanjaan duit. Tempat parking di restoran perlu dibayar, ke tempat perlancongan perlu dibayar, masuk ke pantai perlu dibayar dan sebagainya.


Namun yang menimbulkan kekaguman kami ialah kami tidak perlu untuk membayar wang untuk menggunakan tandas awam. Tandasnya walau tidak mempunyai guard yang mengawal pintunya sangat bersih.


Bahkan saya berani membuat kenyataan bahawa saya sanggup tidur di dalam tandas itu jika tiada bilik untuk bermalam.

Renung-renungkanlah


catatan pejuang yang terkandas di Medan Jihad,
Desasiswa Redang 4/110
UiTM Dungun Terengganu
Perlawanan Debat Piala Sultan Zainal Abidin

Thursday, June 25, 2009

Piala Debat Sultan Zainal Abidin kali ke-9


Bismillahirrahmanirrahim….


Alhamdulillah, segala puji dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T, Tuhan yang maha agung lagi bijaksana kerana memberikan satu lagi peluang untuk saya belajar di Medan Perdebatan.


Peluang yang hadir umpama intan berharga yang semestinya tidak sanggup untuk dibiarkan begitu sahaja tanpa dihayati kilauannya.


InshaALLAH, esok saya bersama pasukan debat USMKK akan ke Dungun Terengganu untuk menyertai Pertandingan Debat Piala Sultan Zainal Abidin yang disertai IPT Zon Pantai Timur.


Sememangnya, hati ini berdebar-debar sejak dari awal menerima jemputan lagi memandangkan saya memang kehausan kemenangan sejak dari tahun satu menyertai arena perdebatan sebagai pendebat amatur.


Namun, saya yakin bahawa kemenangan bukanlah segala-galanya. Apa yang penting ialah peluang untuk belajar berucap di hadapan ramai bagi membina keyakinan diri dan seterusnya mengasah kebolehan berkomunikasi bagi melengkapkan diri untuk menjadi Penyambung Kepimpinan Negara.


Ya! Sememangnya, masih banyak lompang dalam teknik saya berdebat. Ada kalanya, saya sendiri ketawa sendirian sewaktu menyaksikan rakaman video perlawanan yang pernah saya sertai. Masakan tidak, walaupun berkeyakinan tinggi di luar sidang, tapi hakikatnya saya masih lagi tergagap-gagap sewaktu berhujah dan susunan ayat juga masih berterabur.


Dan pertandingan debat ini juga merupakan medan untuk saya menyahut cabaran adik saya yang baru sahaja memenangi Pertandingan Debat Sekolah Menengah Peringkat Negeri Kelantan minggu lepas dan akan mewakili Negeri tercinta ke pertandingan debat peringkat kebangsaan.


Bangga juga kerana memiliki adik yang turut aktif dalam seni perdebatan ini. Dan saya juga tidak malu untuk mengakui bahawa saya acap kali tewas kepada beliau dalam banyak bidang. Dalam debat ini sendiri, beliau telah meraih gelaran sebagai pendebat terbaik sedangkan saya masih terkial-kial sebagai pendebat amatur.


Walaubagaimanapun, saya yakin bahawa peluang saya masih cerah dan harapan masih ada sekiranya saya belajar dari kesilapan lalu dan memberikan persembahan terbaik.


Kepada sahabat sekalian, entah ini kali keberapa saya memohon doa dari kalian. Namun, saya benar-benar mengharapkan doa kalian sebagai bahan bakar yang akan menyemarakkan perjuangan pasukan debat dan seterusnya mendapat pencapaian setinggi mungkin.


Wallahu’allam.

Wednesday, June 24, 2009

Misi Kemanusiaan Yogyakarta pt 7 [Integrasi Antara Kaum]

Perlawanan persahabatan antara pelajar USM dan pelajar Malaysia di UGM yang diadakan pada 12 Jun 2009 pada jam 11-12 malam waktu indonesia.

Isu integrasi antara kaum sememangnya merupakan isu yang sering dibangkitkan sejak dari zaman kemuncaknya pada tahun 1969. Sehingga ke hari ini, kita masih mencari ramuan yang sesuai untuk menghasilkan sebuah resepi perpaduan.


Akan tetapi, kemunculan pelbagai media alternative yang kurang pengawasannya telah mengakibatkan isu ini semakin parah.


Selama tiga tahun berada di USMKK sendiri, banyak saya perhatikan setiap kaum masih senang berada dalam kelompok kaum sendiri.


Bukti paling senang ialah sekiranya ditujukan soalan.


“Adakah anda sudi tinggal sebilik dengan student bukan melayu?”


Pelbagai olahan jawapan akan diberikan dengan maksud yang sama iaitu


“tidak sudi”


Bahkan, saya sendiri secara jujurnya juga sukar untuk menjawab soalan begini. Sedangkan, Islam bukanlah jenis yang mengajar umatnya untuk berpuak-puak. Tapi realitinya, kita lebih senang berada dalam kelompok masing-masing.


Akan tetapi, apabila berada di Negara asing, jurang antara kaum ini seolah-olah hilang terus. Inilah yang saya perhatikan pada pelajar-pelajar Malaysia di sini. Menjadi bangsa minority membuat mereka menjadi lebih rapat. Masing-masing memerlukan di antara satu sama lain. Tapi saya yakin, asas persahabatan yang dibina bukan hanya untuk menempuh kesukaran di Negara orang, bahkan ia akan terus berkekalan.


Menghabiskan masa bersama mereka memberikan satu dimensi yang baru buat saya iaitu integrasi antara kaum bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Persoalannya adakah kita sanggup untuk merintis jalannya?


Sememangnya jalan ke arah perpaduan antara kaum penuh dengan batu-batu serta duri yang merintanginya. Namun, sekiranya kena konsep dalam usaha untuk meraihnya, maka segala halangan akan dapat di atasi.


Walaupun demikian, konsep integrasi bagi saya haruslah masih mengekalkan kepelbagaian ciri istimewa sesebuah kaum. Oleh yang demikian, saya tidak bersetuju dengan konsep “Bangsa Indonesia” yang diguna pakai di sini. Ia seolah-olah telah menghapuskan terus identiti asal masyarakat.


Mungkin sukan wacana terbaik untuk mengukuhkan integrasi antara kaum. namun, bagaimana caranya untuk memastikan rakyat tidak hanya bersukan bersama kaum masing-masing?


Maknanya, sekiranya mahu dilaksanakan di Malaysia; Integrasi itu haruslah menggambarkan kerjasama, persahabatan, toleransi, keadilan di antara kaum tanpa perlu menghapuskan identity bangsa baik melayu, cina, india, kadazan, bidayuh, iban dan sebagainya.

Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah