Saturday, October 31, 2009

Balasan yang lebih baik


Assalamu’alaikum wb.t


Sudah dua hari saya menderita otitis externa di telinga sebelah kanan. Berdenyut-denyut telinga sehingga kepala pun sakit dan badan rasa tidak sihat. Sakitnya tidak hilang-hilang walaupun saya sudah memakan beberapa biji pain killer (diclofenac 50 mg dan kemudian tukar ke mefenemic acid 500 mg)


Saya bersangka baik dengan Allah kerana kesakitan ini mungkin sebagai kifarah untuk dosa-dosa yang telah saya lakukan bagi mengurangkan azab siksa di akhirat kelak.


Walau kesakitan, saya gagahi juga diri untuk ke ward memandangkan sudah berjanji dengan adik-adik junior bagi sama-sama mengulangkaji physical examination untuk blok Gastrointestinal (GIT). Selesai sesi ulang kaji saya turun ke A&E untuk melihat kalau-kalau ada kes menarik.


Benarlah kata-kata ALLAH. Sekiranya kita melakukan sesuatu kebaikan, nescaya dia akan membalas sesuatu yang lebih baik lagi untuk kita.


Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu [Q42:23]


Ada beberapa kes menarik yang sempat saya turut membantu doctor untuk manage pesakit. Kes pertama merupakan kes multiple Gun Shot Wound (GSW), kes kedua ialah superficial burn 80% of body surface complicated with pneumothorax secondary to petrol burn. Kes ketiga ialah brain trauma dan kes keempat ialah kes congenital heart disease.


Sayangnya saya tidak dapat menceritakan kesemua kes ini dengan detail demi menjaga confidentiality pesakit. Mungkin beberapa hari nanti saya akan kongsikannya di dalam blog “My Medical Notes” saya untuk tujuan pembelajaran bagi rakan-rakan pelajar perubatan.


Beberapa hari yang lepas, saya sempat berbual dengan seorang pemuda UMNO. Alhamdulillah, banyak sekali input-input yang saya perolehi daripada beliau. Perbicangan melalui chatting itu semakin meyakinkan saya untuk tidak lagi fanatic kepada mana-mana pertubuhan politik kerana tugas seorang doctor itu sangat-sangat mulia.


Seorang doctor tidak boleh ‘bias’ kepada mana-mana pihak dalam menyediakan rawatan dan sentiasa ingat bahawa akses kesihatan itu tidak mengira warna kulit, agama, bangsa dan politik.


“i do pray for u bro naim..from ur writing,..i can see u r a material of a successful person..coz u have real good heart...open minded..it b great if someday u become some specialist in our country...great to have doctors with people heart....u r a strong charactor person..fr what i saw in the writting...u know where..hehe....slm kejayaan to bro naim..ameen...”


Esok saya akan menjalani posting neurosurgery. Semoga saya dan rakan-rakan dapat belajar sebanyak mungkin dalam menyediakan kami untuk menjadi doctor yang terbaik.

Gud Luck exam rakan2 PPSK

good luck buat semua adik2 dan rakan2 ppsk yang akan exam esok terutama sekali penggerak2 dan ahli kelas peradaban nabawi. semoga usaha anda membantu jalan ALLAH akan diberi ganjaran yang setimpal olehNYA.


tidak lupa juga ucapan selamat berjaya buat adikku yang mengambil jurusan pendidikan kimia di UPM


moga semua dilapangkan dada dan dikurniakan kemudahan menjawab exam. Ameen!

Thursday, October 29, 2009

Catatan akhir posting psychiatry


kata-kata semangat dari seorang pesakit



Assalamu’alaikum wbt….


Hari ini merupakan hari terakhir posting di Jabatan Psychiatry. Terlampau banyak kenangan yang diperolehi. Alhamdulillah! Segala-galanya menjadi pengajaran yang terbaik buat diri ini.


Benarlah kata-kata doctor-doktor lama


“The best teacher is your patient”


Perlu diingat juga bahawa kesihatan bukan hanya diukur pada kesihatan jasmani. Akan tetapi ia juga melibatkan kesihatan rohani dan mental. Sekiranya salah satu komponen ini gagal berfungsi dengan baik, maka kita sebenarnya sedang sakit.


Orang yang sakit mentalnya tidak semestinya sakit dari aspek fizikalnya. Akan tetapi orang yang sakit fizikalnya semestinya mempunyai sedikit kecelaruan pada mentalnya. Maka pengalaman yang diperolehi dalam posting ini semestinya berguna untuk merawat pesakit-pesakit lain.


When you treat a disease, first treat the mind. [Chen Jen]


Alhamdulillah, saya mencuba sedaya upaya saya untuk menintegrasikan aspek spirituality dalam mana-mana pesakit yang saya sempat temu-ramah. Kesemua ini juga adalah untuk member semangat kepada diri saya sendiri. Saya yakin, bahawa tugas doctor muslim bukan sahaja untuk merawat penyakit fizikal akan tetapi untuk memperbetulkan kecelaruan dari aspek kerohanian.


The greatest mistake in the treatment of diseases is that there are physicians for the body and physicians for the soul, although the two cannot be separated. [Plato]


Pada hari terakhir ini, saya sempat meluangkan masa bersama pesakit di bilik Occupational Therapy. Dalam sesi ini mereka diajar memasak, membuat kraf tangan dan berkaraoke dalam kumpulan bagi mempercepatkan lagi proses pemulihan mereka.


Saya sendiri menjadi teruja apabila bersama mereka apatah lagi seorang pesakit menghulurkan mikrofon agar saya turut sama berkaraoke bersama mereka. Malu memang ada. Tapi disebabkan pesakit lain turut meminta saya menyanyi maka biarlah lagu ini menjadi hadiah terakhir buat mereka. Walaupun suara yang kurang merdu, sempat juga saya berduet bersama pesakit untuk menyanyikan lagu “Suci Dalam Debu” yang dinyanyikan oleh Saleem.


Terharu juga saya apabila seorang pesakit memberikan ucapan selamat Berjaya dalam peperiksaan biarpun hanya ditulis pada tisu tandas. Ia tetap berharga buat saya! Walaupun beliau tengah ‘manic’ tetapi beliau tidak putus-putus mendoakan saya agar Berjaya menjadi doctor yang baik hingga bergelar professor. Walaupun kesihatan mentalnya tidak baik, saya berdoa agar doa mereka kepada saya dikabulkan. Dan saya juga berdoa agar mereka cepat sembuh dan mampu menjalani kehidupan yang lebih baik nanti.


Sebenarnya, selain menjadi pelajar, saya juga menjadi pesakit. Setelah sekian lama dibelenggu masalah tidur dan perasaan takut untuk mendapatkan rawatan, hari ini saya telah mendaftarkan diri di Klinik Psychiatry bagi merawat masalah insomnia saya.


Untuk peringkat awal, doctor memberikan tempoh dua minggu untuk mengamalkan ‘sleep hygiene’ sebelum diberi pil tidur.


Tapi nampaknya, arahan doctor telah saya ingkari. Beliau menetapkan agar saya masuk tidur pada jam 11 malam setiap hari. Tapi nampaknya gagal! insyaALLAH cuba lagi.


Tuesday, October 27, 2009

Tahlil dari aspek psychology

sekadar gambar hiasan, tiada kaitan dengan tajuk posting ini



Assalamu’alaikum wbt..


Tajuk artikel ini boleh dikatakan sebagai kontroversi dan mengundang ketidakselesaan terhadap rakan-rakan yang menentang adat bertahlil.


Saya sendiri merupakan antara orang yang tidak bersetuju dengan tahlil disebabkan masyarakat telah melebih-lebihkannya berbanding dengan keperluan lain yang lebih utama seperti menguruskan hutang si Mati.


Akan tetapi, saya juga menghormati pandangan ulamak-ulamak lain yang mengharuskan tahlil diadakan.


Oleh yang demikian, ingin saya kupas aspek tahlil ini dari segi psychology bersempena dengan posting yang saya tempuhi sekarang.


Dalam Islam, meratapi kematian secara berlebihan adalah diharamkan. Akan tetapi, Islam juga memberikan ruang kepada sanak saudara untuk bersedih di atas kematian yang berlaku. Ini kerana, bersedih yang mana dalam istilah psychology-nya dipanggil sebagai ‘grief’ atau ‘mourning’ merupakan fitrah semulajadi manusia.



Dalam konsep psychology, grief secara umumnya dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu;


Peringkat pertama ialah peringkat denial ataupun tidak dapat menerima kenyataan.


Peringkat kedua ialah mourning ataupun bagaimana sesuatu masyarakat menunjukkan expressi mereka terhadap kematian seperti teknik menguruskan jenazah dan ritual-ritual tertentu.


Fasa ketiga pula ialah proses untuk melupakan kematian yang berlaku dan meneruskan kehidupan. untuk mencapai fasa ini, maka peringkat kedua dijadikan sebagai medium untuk masyarakat mempercepatkan fasa ini. Setiap kaum dan kebudayaan mempunyai kaedah masing-masing dalam melaksanakannya termasuklah kaum Melayu.


Dalam hadis turut dinyatakan bahawa wujudnya tempoh bersedih atau mourning dalam masyarakat dan ini sekaligus menolak sangkaan bahawa Islam mengharamkan umatnya bersedih atas kematian.


Mengikut hadis yang diriwayatkan oleh Muhammad B. Sirin di dalam Kitab Shahih Bukhari, buku 2:jilid 23:hadis 369 diriwayatkan bahawa; Um' Attitiya telah meminta agar dirinya dipakaikan dengan wangi-wangian setelah tiga hari anak lelakinya mati kerana Rasulullah telah melarang wanita berdukacita akibat kematian melebihi 3 hari kecuali jika suami meninggal (4 bulan 10 hari)


Berbalik kepada tajuk posting, persoalan mengapa tahlil diadakan dalam masyarakat melayu bagi memanifestasikan kesedihan terhadap kematian adalah tidak jelas.


Akan tetapi, melihatkan kepada kandungan upacara dalam tahlil itu sendiri memberikan kita sedikit gambaran tentang prospek tahlil dalam mempercepatkan proses untuk mengembalikan keluarga si mati ke keadaan yang normal.


Pertamanya ialah kehadiran orang ramai dalam majlis tahlil. Ia sekaligus menghilangkan kesunyian yang melanda keluarga si mati. Mereka yang dating tahlil bukan hanya berzikir tetapi bertanyakan khabar kepada ahli keluarga dan juga memberikan kata-kata semangat. Ini merupakan aspek ‘ziarah’ yang diamalkan oleh sesetengah kebudayaan.


Keduanya ialah zikir dan bacaan yasin itu sendiri sebagai simbolik untuk mengingati ALLAH. Dalam proses ini, keluarga si Mati diingatkan dengan kebesaran Allah dan mengetahui apa yang terjadi adalah di bawah kekuasaan Allah. Hakikatnya, dialah yang memberikan nyawa dan mengambilnya kembali.


Dari segi tempohnya pula, terutamanya bagi balu, tempoh bersedih adalah empat bulan sepuluh hari. Maka, tempoh tahlil diadakan iaitu setelah 40 hari juga boleh dikategorikan sebagai munasabah.


Berdasarkan elemen inilah, sepatutnya tahlil tidaklah ditolak secara total. Namun, beberapa perlaksanaannya itulah yang perlu diambil kira.


Pertamanya adalah seperti yang saya kemukakan di awal artikel iaitu tidak mengabaikan keutamaan dalam menyelesaikan hutang si mati.


Keduanya ialah tidak membebankan keluarga si mati iaitu jika tahlil diadakan maka keluarga si mati tiada wang untuk meneruskan kehidupan.


Ketiganya ialah memastikan agar wang yang digunakan untuk tahlil bukanlah harta peninggalan si Mati untuk anak yatim yang ditinggalkannya.


Dan terakhir sekali ialah tiadanya unsur-unsur syirik yang dilakukan sepanjang tahlil diadakan seperti menyediakan pulut semangat atau pemakaian tangkai-tangkai tertentu.


Wallahu’allam, semoga bermanfaat


“Luaskan Fiqh, utamakan yang perlu.”


Monday, October 26, 2009

Kisah si Penjual Sate Ikan




Assalamu’alaikum wbt…..


Salah satu kegemaran saya ialah berbual dengan sesiapa sahaja yang saya berurusan baik secara langsung atau tidak langsung walaupun saya sebenarnya seorang yang agak pendiam dengan orang yang tidak dikenali.


Semuanya akan lebih menambahkan pengetahuan kita tentang reality kehidupan. Ya! Semua yang ada di sekeliling kita merupakan guru terbaik buat kita.


Sebentar tadi saya keluar ke Bandar kerana ada sedikit urusan. Usai urusan, terlihat pula seorang anak muda yang sedang gigih membakar sate ikan di atas dapur yang diletakkan pada motosikal yang diubahsuai menjadi gerai kecil. Tentu anda sendiri pernah melihatnya sendiri.


Sambil memerhatikan beliau menjalankan tugasnya sempat juga saya mengorek serba sedikit tentang dirinya. Dia hanya tua tiga tahun berbanding saya. Dalam keluarganya, dia adalah anak bongsu dan meneruskan tradisi pekerjaan ayahnya. Yang menjadikan saya kagum ialah kegigihan beliau mencari wang pendapatan walaupun tidak mempunyai pendidikan tinggi.


Dalam erti kata lain, inilah perjuangan dan kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh saudara kita yang tidak bernasib baik dalam pelajaran.


Siang beliau berniaga menjual ‘colek buah’ dan malam pula digunakan untuk menjual sate. Berdasarkan apa yang diberitahu beliau, pendapatan tidaklah sebanyak mana.


saya katakan pada beliau bahawa tidak kisahlah seberapa banyak pendapatan kita atau betapa teruknya pekerjaan kita, asalkan ia mampu meraih rezeki yang halal. Saya memberikan sebuah pujian buat beliau kerana dalam usia remaja ini, beliau sanggup bersusah payah bekerja berbanding anak-anak remaja lain yang lebih rela menghabiskan minyak motor dengan merempit.


Perbualan semakin rancak apabila beliau menyentuh soal remaja zaman kini. Beliau turut bersetuju dengan apa yang saya katakan pada beliau. Beliau menambah


“Tidak mengapa bekerja begini asal tidak dibenci orang.”


Benci!


Saya mengagak ada suatu di fikiran beliau. Setelah dikorek akhirnya beliau meluahkan isi hati yang menjadi episode duka buat nya.



Menurutnya, dia kini sudah tidak berani berniaga berjauhan dari rumah termasuklah stadium Kelantan sendiri. Ujarnya, anak muda sekarang bukan seperti anak muda dahulu. Anak muda sekarang sangat kurang ajar dan tidak mempedulikan kesusahan orang lain bekerja.


Diceritakan kepada saya kisah beliau yang berulang kali di tahan anak-anak muda yang liar di tengah jalan sebaik sahaja berniaga di malam hari. Segala yang ada di dalam dompet habis dirembat oleh remaja di bumi pimpinan ulamak ini.


Saya tidak terkejut mendengar kisah beliau bahkan bersetuju dengannya. Bahkan saya sendiri pernah menulis sebuah artikel mengkritik kebejatan moral yang berlaku di Kelantan.


Kata-kata beliau juga mengingatkan saya tentang kisah yang berlaku dua malam sebelum hari raya idul fitri yang lalu sewaktu saya dalam perjalanan pulang dari Wakaf Che Yeh bersama rakan.


Anak-anak muda berpesta mercun di jalan raya. Bagaikan orang gila yang dirasuk syaitan, mereka membaling mercun-mercun tersebut ke atas jalan raya. Ada yang terjatuh betul-betul di tepi kereta yang dipandu rakan saya.


Subhanallah! Inikah pewaris kepimpinan ulamak. Melihat ragam mereka, terkenang pula pembaziran yang dibuat kerajaan dalam membeli kelengkapan senjata untuk PDRM. Tapi, perkara yang menganggu ketenteraman awam tidak langsung dipedulikan mereka.


Remaja merupakan harapan bangsa. Mereka ini perlu diubati dari pesakit social begini. Sepatutnya mereka perlu sedar bahawa bangsa mereka dipijak berulang-ulang kali serta dihina bangsa lain.


InsyaALLAH, dua minggu nanti saya dijemput menghadiri sebuah program bersama Tok Guru Nik Aziz yang tercinta. Semoga saya dapat memberikan pendapat saya dan mencadangkan beberapa solusi bagi mengubati masalah ini. Doakan supaya saya bernafas sehingga ke tarikh tersebut.


“Demi Islam tercinta, remaja asset pembangunan ummah”


Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah