Sunday, November 29, 2009

Students Well Being Phase II SMK Kedai Buluh




Assalamu’alaikum….


Syukur Alhamdulillah kerana akhirnya diberi kelapangan untuk menulis sedikit coretan di blog ini. Ingin saya kongsikan sedikit pengalaman bersama adik-adik tingkatan empat SMK Kedai Buluh bersempena program motivasi MSFT: Students Well Being Phase II yang diadakan pada hari jumaat dan sabtu minggu lepas.


Minggu lepas memang sibuk sekali. Saya telah ditawarkan untuk menyertai lebih empat program. Namun kesemuanya terpaksa ditolak kerana telah memberi komitmen awal untuk menyertai program MSFT sebagai fasilitator.


Alhamdulillah, semenjak ditubuhkan dua tahun lepas, MSFT masih lagi bernafas. Terlalu banyak kenangan sewaktu bersama rakan-rakan HICOM dan penasihat ketika mula-mula MSFT ditubuhkan dulu. Pahit maung serta manis pengalaman di waktu dulu biarlah ia kekal di dalam memori sebagai sebuah kenangan yang amat mahal harganya.


Walaupun kini hanya merangkap sebagai seorang ahli biasa dan fasilitator, namun doa saya ialah agar dapat memberi sedikit-sebanyak sumbangan buat anak bangsa.


slot motivasi oleh penasihat MSFT; Dr Saiful


Seronok juga rasanya sekali sekala berada di bawah. Tidak perlu untuk pening-pening kepala memikirkan seribu satu masalah sewaktu perlaksanaan program. Alhamdulillah, saya seronok melihat sudah semakin ramai junior-junior PSP yang berjaya dilahirkan sebagai fasilitator melalui MSFT. Berbakat sungguh mereka dalam mengendalikan tugasan yang diberikan.


Terbayang wajah-wajah girang adik-adik SMK Sungai Buluh yang begitu teruja menerima kehadiran abang-abang dan kakak-kakak dari MSFT. Maklumlah, peluang untuk mereka menyertai program sebegini sangat-sangat kurang. Peluang yang diperolehi dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka. Banyak yang ingin mereka ketahui dari para fasilitator.


Modul kapal Karam


Saya sendiri cuba sedaya upaya untuk melayan kerenah adik-adik walaupun kesihatan pada waktu itu tidak begitu baik. Kepala yang berdenyut ditambah stress yang melanda kadang-kala merencatkan idea yang ingin saya lontarkan kepada adik-adik. Tapi Alhamdulillah kerana untuk program ini, saya digandingkan bersama junior MSFT dalam mengendalikan program.



Walaupun saya lebih suka mengendalikan sesi IBL secara solo, namun diwaktu tidak sihat sebegini saya sangat-sangat menghargai teman dalam mengendalikan sesi IBL.


sesi kembara malam


Selain IBL, modul kali ini banyak menerapkan nilai-nilai kerohanian. Saya yakin bahawa kejayaan duniawi tanpa dibimbing oleh nilai keagamaan tidak akan memberi walau sedikit nilai pun dalam kehidupan kita.


liku kehidupan yang dihasilkn group saya


Syabas saya ucapkan kepada kepimpinan MSFT yang baru di atas program yang cukup-cukup bermakna ini dan tahniah juga diucapkan kepada mereka kerana Berjaya meneruskan kesinambungan delegasi kepimpinan MSFT. Kami selaku bekas penggerak MSFT sememangnya lega kerana MSFT terus menjalankan fungsi dan peranannya.


Sesi forum kerjaya


Jutaan terima kasih juga wajar saya dedikasikan buat Cik zakiah dan seluruh warga PPD Kota Bharu yang terus menerus menyokong dan membantu program MSFT. Sememangnya MSFT terhutang budi yang cukup-cukup mahal dengan mereka.


Semoga usaha kita semua diganjarkan pahala oleh Allah S.W.T


Tuesday, November 17, 2009

Obstetrics and Gynecology Posting

salah seorang baby yang disambut waktu on-call


Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula).[Q46:15]


Assalamua’laikum w.b.t


Alhamdulillah, saya sudah pun memasuki posting major Obstetric dan Gynecology yang dikategorikan sebagai killer posting.


Tiga hari berada di posting ini cukup mengujakan saya. Syukur kerana masih belum bertemu dengan lecturer yang betul-betul garang. Tapi pengalaman di marah tetap ada kerana tersilap membawa beg ke labour room.


Rasanya, inilah posting pertama di mana saya ke ward pada jam tujuh pagi. Cukup memeritkan sekali apabila malam sebelum nya terpaksa on-call di labor room dari enam petang ke enam pagi. Nasib baiklah on call hanya sekali seminggu.


Awesome!


Itulah perkataan yang terluah dari mulut saya bagi menggambarkan mengenai labour room. Ia merupakan adunan yang cukup lengkap dengan intipatinya yang cemas, menggembirakan, menyedihkan, sibuk dan ada juga masa yang begitu santai.


Pada hari pertama, saya menyaksikan saat-saat sedih di mana seorang ibu terpaksa bertarung dalam bilik ‘High dependency Unit’ dan akhirnya melahirkan seorang bayi yang kurang mempunyai masalah genetic. Sukar untuk saya lupakan tangisan Ibu yang ditenangkan suaminya kerana anak yang dilahirkan tidak mempunyai jantina.


Selesai kes tersebut, saya berpeluang pula menyaksikan saat cemas di mana bayi dilahirkan dengan lehernya terjerut oleh umbilical cord (tali pusat). Alhamdulillah, segalanya selamat.


Selepas beberapa kali observe, akhirnya saya memberanikan diri untuk menyambut kelahiran bayi atau dengan erti kata lainnya menjadi bidan. Mungkin sudah takdir saya meneruskan tradisi keluarga (nenek dan moyang) yang sebelum ini ramai menjadi bidan kampong.


Tapi, kali pertama memang mencemaskan. Saya hanya mampu bersyukur kerana ada doctor yang menyelia prosedur.


Semasa ibu itu masuk ke bahagian pendaftaran, dia menyatakan bayi sudah mahu keluar. Saya terus menolak beliau ke bilik bersalin. Selesai sahaja saya memasang CTG (untuk mengukur degupan jantung bayi dan kadar kontraksi uterus), tiba-toba dia menjerit kesakitan dan terus ter’beranak’. Doctor yang menyambutnya memandangkan saya tidak sempat pun memakai glove.


Selesai saya memakai glove, saya diminta untuk menunjukkan bayi tersebut kepada bayinya. MasyaALLAH! Berpeluh saya dibuatnya. Maklumlah tidak pernah memegang bayi yang baru lahir. Risau takut terjatuh. Tambahan pula bayi yang baru lahir memang licin.


Tiba masa untuk ibu melahirkan placenta(uri) sekali lagi saya cemas. Segalanya berjalan lancar sehingalah penhujungnya saya terlebih tarik. Nasib baik lah doctor sempat mengepitnya dengan forsep. Kalau tidak, placenta tersebut akan putus dan ia terpaksa dikeluarkan dengan tangan di dalam bilik pembedahan.


Semestinya saya tak akan melupakan saat-saat cemas ini. Rupanya ia tidaklah semudah yang disangka.


Alhamdulillah, untuk yang seterusnya, tahap kecemasan sudah berkurang.


Sekian sahaja catatan pada kali ini. Akhirnya, pengajaran utama yang saya perolehi adalah untuk lebih menghargai kaum wanita. Semangat juang mereka memang tinggi apatah lagi ia merupakan saat antara hidup dan mati.

Sunday, November 15, 2009

bersediakah untuk berubah


Change is only possible with Sacrifices
Words must be manifested with actions [jackanim]


Assalamu'alaikum w.b.t

sudah banyak kali bibir saya dibuai kata-kata untuk berubah. akan tetapi sering kali ia gagal atau terlaksana di sekerat jalan.

setelah direnung kembali, barulah saya sedar. untuk berubah itu tidak hanya sekadar berkata-kata tetapi ia perlu dimanifestasi dengan perbuatan.

dan perbuatan untuk mencapai kepada perubahan pula memerlukan pengorbanan. banyak sekali yang perlu dikorbankan demi sebuah perubahan.

sekarang ini, saya masih lagi berfikir. sanggupkah saya mengorbankan kehidupan lampau demi untuk sebuah perubahan?

Sanggupkah saya korbankan tabiat yang telah sebati dengan diri demi sebuah perubahan yang saya kejar.

hingga saat ini saya berfikir. sanggupkah aku berkorban?

Saturday, November 14, 2009

Tidak boleh ajar kalimah syahadah jika tiada TAULIAH di Selangor


Assalamu’alaikum w.b.t


Kebelakangan ini, isu melibatkan JAIS cukup panas sekali diperkatakan baik media mahupun di warung-warung kopi.


Kadang-kala saya tertanya-tanya adakah JAIS ini betul-betul layak dalam mendaulatkan institusi keagamaan kerana dipenuhi insan-insan yang kelihatan jahil dan janggal dalam agama.


Contoh yang ingin saya kupas di sini ialah mengenai berita yang dikeluarkan oleh Harian Metro yang bertajuk ‘Saksi Tidak Pasti’ oleh Murni Wan Omar [link] mengenai pendakwaan terhadap Dr Abdullah Yasin yang dikatakan mengajar tanpa tauliah.


Ingin saya kongsikan di sini beberapa ayat lucu yang dinyatakan oleh saksi iaitu Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Ahmad Tarnuzi Nokin beserta pandangan saya.


KAMAR: Adakah salah bagi orang yang berilmu memberi peringatan mengenai sifat orang munafik kepada jemaah?

TARNUZI: Tidak boleh tanpa tauliah.


Kupasan: Dalam konsep islam, memberi peringatan itu satu kemestian buat umat Islam memandangkan lumrah manusia itu mudah terlupa. Ia dinyatakan dengan jelas melalui ayat al-Quran ini.


Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman. [Q51:55]


Bahkan para sahabat di zaman Rasulullah sendiri ada diberi peringatan termasuklah dari mereka yang lebih muda dari para sahabat. Adakah ini menunjukkan keperluan kepada tauliah dalam memberikan peringatan.


KAMAR: Kalau kamu sendiri yang tidak mempunyai tauliah mengajar anak kamu membaca Muqadam?

TARNUZI: Tidak boleh.


Kupasan: pelik sungguh membacakan kenyataan ini. Sungguh kelakar undang-undang agama di negeri Selangor. Pada hemat saya, Sultan Selangor perlu mengambil tindakan terhadap JAIS dan Tarnuzi kerana kenyataan mereka jelas memalukan institusi agama.


Berdasarkan perbualan di atas, seseorang bapa di Selangor tidak boleh mengajar anaknya membaca muqaddam sekiranya tidak mempunyai tauliah sedangkan setiap bapa bertanggng jawab terhadap anak-anaknya.


Contoh yang jelas dalam quran ialah bagaimana Luqman al hakim mengajar anaknya tentang agama Islam dalam surah Luqman.


Bahkan Quran juga member indicator tugas ibu-bapa untuk mengajar anak-anak mereka melalui seruan untuk menghormati ibu-bapa seperti mana surah yang saya nyatakan ini.


"Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil." [Q17:24]


Dalam kitab Shahih Bukhari Buku 3: Vol 41: Hadith 592 turut disebut bahawa seorang bapa bertanggung-jawab terhadap keluarganya.


BKAMAR: Jika ada seorang mualaf datang kepada kamu dan meminta supaya diajarkan solat?

TARNUZI: Tidak boleh.


Kupasan: Solat adalah keperluan utama setiap muslim yang menjai rukun islam. Setiap muslim yang mukallaf wajib mengetahui cara solat yang betul. Ini juga penting untuk mereka mendidik anak-anak mereka.


Muallaf boleh lah disama ertikan sebagai anak-anak muslim yang masih kecil. Mereka tidak tahu apa-apa tentang ibadat dalam islam. Sepatutnya setia muslim itu wajib menjaga keperluan muallaf dan mengajar mereka solat. Ini kerana


Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara” [Q49:10]


Dan mengajar seorang muallaf solat juga merupakan tanggung-jawab seorang saudara seislam.


Beberapa kesimpulan boleh dibuat disini. Pertamanya, tindakan JAIS seperti mana yang dimanifestasikan oleh Tarnuzi jelas menunjukkan bahawa mereka telah membelakangkan Al-Quran dan Sunnah dalam menjalankan urusan. Ini merupakan perbuatan yang merendahkan martabat institusi beragama.


Keduanya, isu tauliah di Selangor patut dikaji kerana terdapatnya masalah dan lompang hingga menunjukkan bahawa islam itu sesuatu yang exclusive untuk sebahagian orang sahaja. Ini bermakna, seseorang muslim tidak boleh berkongsi tentang keindahan islam kepada non muslim ataupun memberi tazkirah kepada muslim di tempat awam di negeri Selangor.


Ketiganya ialah mengenai kurangnya ilmu dalam bidang agama oleh penguat kuasa JAIS. Oleh yang demikian, mereka wajib menambah ilmu memandangkan mereka orang yang bertanggung-jawab dalam bidang agama.


Berdasarkan sedikit kupasan di atas, saya merasakan bahawa tindakan JAIS adalah tidak menepati syarak dan patut dijalankan satu reformasi dalam sistemnya. Kerajaan Pakatan Rakyat wajib memperbaiki kesemua masalah ini bagi memulihkan integrity JAIS.


:: teringat ulasan Dr Arif; agak-agaknya jika saya jadi doctor di Selangor, kemudian ada seornag yang nazak. Adakah ornag akan dating dan tegur saya tentang tauliah jika saya mengajar syahadah pada pesakit yang nazak tadi.”


Sama-sama kita renungkan

Friday, November 13, 2009

Tamat sudah posting Neurosurgery


To study the phenomenon of disease without books is to sail an uncharted sea, while to study books without patient is not to go to sea at all [Sir William Osler, Sir William Osler Aphorism]


Assalamu’alaikum wbt


Alhamdulillah, akhirnya tamat juga posting minor Neurosurgery yang saya tempuhi bersama rakan-rakan. Tidak puas rasanya tempoh yang diberikan iaitu selama dua minggu. Terlampau banyak ilmu yang ingin saya kutip dari penyarah-pensyarah dan konsultan yang begitu dedikasi dalam menyampaikan ilmu.


Sungguh saya puji dan kagumi sikap para pensyarah, master student, trainee lecturer dan MO posting ini dalam menyampaikan ilmu walaupun mereka sedikit tegas terhadap kumpulan saya berbanding kumpulan-kumpulan sebelum ini.


Mereka betul-betul mengajar kami dengan penuh semangat. Ada masanya kami bersama-sama menikmati sarapan pagi di klinik sambil bergurau-senda dalam pelbagai aspek. Ini semua membuatkan kami berasa lebih rapat dengan mereka. Jurang antara lecturer dan pelajar bagaikan tiada dan kami umpama rakan-rakan. Lantas ia membuatkan kami tidak berasa segan atau takut untuk bertanya soalan kepada mereka.


Kata-kata dari Sir William Osler yang saya selitkan di awal catatan ini membawa seribu satu makna buat saya dan saya sememangnya tidak mampu untuk menyanggah kata-kata bestari beliau itu.


Hanya dengan ilmu yang disusuri dengan pemerhatian terhadap symptom yang ditunjukkan pesakitlah kita akan memahami mengapa sesuatu perkara itu terjadi.


Dalam konsep beragama juga ditanamkan perkara yang sama bahkan telah diperingatkan berulang-ulang kali oleh Allah S.W.T dalam kitab agungnya.


Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir. [Q45:13]


Sesungguhnya Allah telah menyediakan banyak ruang untuk berfikir kekuasaanNYA melalui alam yang luas ini melalui bimbingan buku teks agung iaitu Al-Quran.


Masya ALLAH! Sayang sungguh rasanya jika masih ada manusia yang tidak mahu menerima Islam yang serba lengkap ini.


Selepas ini, saya akan menempuhi posting O&G pula. Perasaan takut bercampur risau memenuhi kepala saya memandangkan khabar angin yang bertiup kencang yang mengatakan posting tersebut dipenuhi dengan lecturer yang ‘malignant’.


Walau apa sekalipun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi. Semoga Allah mempermudahkan perjalanan saya dalam menuntut ilmu dan semoga niat untuk berbakti kepada masyarakat akan terus menemani perjalanan saya.

Tuesday, November 10, 2009

Doktor Berhati Dingin


Selesai sesi morning ward round untuk posting Neurosurgery.



Assalamu’alaikum wbt..


Seringkali kita mendengar pelbagai rungutan samada dari pesakit, keluarga mahupun pelajar perubatan sendiri yang mengatakan adanya golongan doctor yang seolah-olah tidak mempedulikan pesakit.


Apabila mengadakan ward round, mereka kadang-kala hanya mendengar laporan dari MO mahupun HO sahaja tanpa melihat atau mendengar luahan pesakit. Jika ada pun, hanya sedikit interaksi dan ekspressi muka yang ditunjukkan


Golongan ini bolehlah saya kategorikan sebagai golongan doctor yang berhati dingin dan mereka ini biasanya terdiri daripada doctor-doktor yang berlatarbelakangkan surgical-based . Akan tetapi ini bukanlah bermakna mereka tidak mesra pesakit ataupun mempunyai masalah untuk bersosial.


Sebelum ini, saya mempunyai kecenderungan untuk mengkritik sikap mereka yang sebegini. Ini kerana saya membina persepsi bahawa doctor mestilah sentiasa berada di sisi pesakit untuk medengar luahan hati mereka dan sebagainya.


Akan tetapi, di sepanjang perjalanan menuntut ilmu perubatan ini, akhirnya barulah saya sedar mengapa ada di kalangan mereka yang bertindak sedemikian.


Paling utama sekali ialah kerana mereka tidak mahu terlibat ataupun terperangkap dalam permainan emosi yang disebabkan oleh pelbagai factor. Ini kerana, emosi akan menyebabkan seseorang doctor terutamanya surgeon kehilangan keupayaan untuk membuat penilaian secara kritis dan effektif.


Teringat kata-kata dalam sebuah drama perubatan yang berbunyi begini;


“Only when eliminating the fact that patient is a human being than only a surgeon can carry out their work”


Saya sendiri pernah mengalami permainan emosi sebegini hinggakan membawa kepada dilemma kepada diri. Tidak saya nafikan bahawa ada masanya hati saya cukup lembut sekali dalam berhadapan dengan sesetengah keadaaan.


Bayangkan seorang penuntut university yang masih muda dari golongan keluarga yang miskin, sudah tiada bapa dan bergantung kepada ibu yang bekerja kampung terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan kecederaan otak yang teruk. Si ibu masih lagi menanggung adik-adik pesakit yang masih bersekolah.


Pesakit tadi pula yang pada awalnya mempunyai masa depan yang cerah dan akhirnya hanya mampu terbaring di atas katil dan tidak mampu untuk meneruskan kehidupan seperti normal. Dia akhirnya menerima kecacatan kekal. Sepanjang tempoh berada di hospital, si ibulah yang menjaganya. Ini bermakna si ibu tadi tidak mampu untuk bekerja. Cuba kita fikirkan pula nasib keluarga malang ini. Dari mana ingin mereka dapatkan sesuap nasi?


Ketika ditanya oleh ibu pesakit mengenai keadaan anaknya, saya kelu dan sukar untuk berbicara. Saya tahu bahawa pesakit ini sudah tiada harapan untuk kembali sembuh seperti normal. Sukar untuk saya menyatakan kebenaran ini. Hanya satu yang terucap


“InsyaALLAH, kita doakan agar dia sembuh. Sekarang pun sudah Nampak ada sedikit perkembangan”


Saya tidak pasti apakah kata-kata sebegitu boleh dikategorikan sebagai hipokrit. Namun, ia lahir akibat dari terperangkap dalam mainan emosi. Akibatnya, saya tidak mampu untuk menjelaskan keadaan sebenar pesakit.


Ya! Saya terlampau membiarkan diri ini hanyut dalam kisah yang diceritakan oleh ibu pesakit, terpengaruh dengan kesedihan dan kesusahannya.


Berbanding sesetengah doctor pula, mereka mampu memberikan prognosis atau keadaan pesakit secara direct. Mereka kelihatan tidak mempedulikan tangisan atau ratapan keluarga. Mungkin ia kelihatan zalim tapi mereka tidak berbohong dan menanam harapan yang tinggi dalam minda keluarga pesakit.


Mungkin ini sebabnya kita mempunyai doctor yang membuat pengkhususan dalam pelbagai bidang. Kerana setiap dari mereka menjalankan fungsi yang tertentu dalam menggerakkan sistem kesihatan.


Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah