Saturday, December 25, 2010

Aku Masih Di Sini


Aku masih di sini,
Berdiri dan memerhati,
Tidak ke mana langkahku,
Hanya kaku menanti waktu,
Seharian berlalu dengan lesu.


Sedang engkau terus berlari,
Jauh meninggal aku di sini,
Tidak lagi kau menoleh,
Padu hentakan kakimu,
Tiada tanda akan berhenti.


Di garisan ini kita bermula,
Mungkin aku mendahului,
Tapi itu hanya di awal waktu,
Dan kini aku jauh terkebelakang,
Nyata aku hampir tewas.


Berlarilah wahai temanku,
Kau semakin mencapai penamatnya,
Di sudut hati aku cemburu,
Namun bukan bererti aku membenci,
Mungkin perit untuk menerima.


Tika ini aku masih disini,
Terkial memula kembali langkahku,
Walau aku semakin tertewas,
Namun kan ku tamatkan ia,
Biar kemenangan hanya dihatiku.


Jacknaim,
25 Disember 2010, 9.29 PM
DN 130, USMKK.

Saturday, December 18, 2010

There are patients waiting outside


After a week full of spirits and a little push-up to my efforts in undergoing the pediatric posting, I’m started to deteriorating again. Laziness all over me. I’ve being slept for the whole morning and feel regretted as I wake up. So many hours that I have wasted in which I could use it for studying and finishing my syllabus for professional III.


Then the news about the death of Dr Mas Afzal came to my knowledge after reading the YM and facebook status. He is a friend of my friends. This fellow person died of lymphoma. As I surf through his blog, I can feel his suffering. The pain that he has had gone through and the distress that crumple his mind and body do touch my heart.


It is a journey of man who fights very hard in surviving the cancer that he has. And at the end, he lost the battle. Probably, it is the ends of his suffering. Maybe Allah did not want to see him cry of pain anymore and wants him to rest in peace.


Through his blog, I get a link to sister Dalilah Tamrin blog. Unfortunately, I do not have a chance to know her while she still alive. And now, she also rest in peace after died of breast cancer. However, her notes while she still alive somehow makes me feel that she are very close to me.


Reading writing from a patient, understanding their disease and seeing how they struggle from their disease kind of giving me a smack on my face. Yeah! That fellow outside are fighting very hard to survive. And yet, I as a future doctor don’t really give a damn effort to prepare myself to be a healer.


Those patients are waiting for the doctor to become their comrades in fighting the disease that they are suffered from. Not only by giving medicine, but as a companion to listen to their depression, anger and frustration!


Yeah! Sometimes, patient just needs a little comfort from the doctor.


I remember about a 12 years old child suffering from SLE who currently admitted due to rebound after he stops taking the chemo drug. After the fluids in his lungs gone, he refuses to take the medication. Nurses and nurse students come to council him until they finally give up and said.


“If you don’t want to take the medication, I will report it to the doctor”


In my minds, I was hoping that the doctor will come and comfort him. While waiting for the doctor, I take my little time to talk to him. After all, I understand why he behaves like that. Besides of suffering from his disease and multiple organ complication, he also comes from a broken family.


His parent has divorced and he currently stays with his old grandmother. He did not go to school and has low socioeconomic background.


After some talk, he agrees to take the medication. And that is the exact time when one doctor comes and scolds him. I’m stunned by what happen. Well, I can tell that the doctor is tired. Well, probably due to the overwhelming of jobs.


But he is just a 12 years old boy who does not even know how to think correctly. I can justify her anger if she talks to an adult. But come on! With a boy?


I promise myself, when I’m becoming a doctor, I will not let emotion ruins my management to the patient. Doctor does still have a right to get angry but there must be a better reason for it.


Yeah! I must keep fighting and use the remaining 120 days to study very hard. I just need to take another step to become a doctor. Yosh! Keep on fighting.

Wednesday, December 15, 2010

Maaf……



Maaf, kerna yang lain bertakhta,
Indah menghiasi hati ini,
Hingga aku lupa padaMU,
Yang sepatutnya menjadi raja,
Buat diriku, hamba yang hina.


Aku sering ternoda,
Walau sering aku diingatkan.
Berkali aku terjatuh,
Lalu aku mengalah,
Merajuk untuk berdiri.


Aku ingin KAU menjadi kekasihku,
Yang kan sering aku rindui,
Kan ku rintih namaMU,
Hangat dibuai cintaMU
Memacuku mencapai erti hidupku.


Maaf itu semua janji palsuku,
Sukar untukku mencintaiMU,
Hanya mulut berbicara,
Sedang hati terus dilalaikan,
Akan indahnya kepalsuan dunia.


Maaf kernaku hanya berkhayal,
Namun tak bisa realisasikan impian,
Tidurku terus berpanjangan.
Kerana asyik dengan mimpi,
Dan membuatku terus lupa padaMU.


Pintaku hanya satu,
Agar aku terus merinduiMU,
Tak kan pernah aku melupaiMU,
Hingga cintaku terus memekar,
Dan ia bukan janji palsuku.


Jacknaim
3.07 a.m, 15/12/10, DN 130 USMKK.

Friday, December 10, 2010

Hanya Sekadar Perhiasan




"Woman is nothing!"


Itu merupakan ayat kontroversi yang pernah saya keluarkan hingga dua orang sahabat wanita sekelas dengan saya membantahnya dengan tegas.


"Habis tu mak ko, adik ko. semua tu tak de nilai la?", ujar salah seorang dari mereka sambil menggetap bibir.


“Alah! Ko pun tengah mencari jugak kan? Tak de nilai konon. ”, sampuk yang seorang lagi.


Saya hanya mampu tersengih. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Ucapan yang tersembur sudah tidak mampu untuk ditelan kembali. Sesekali saya cuba mempertahankan diri.


Ada maksud yang ingin saya sampaikan. Mungkin pemilihan kata yang tidak sesuai menyebabkan maknanya terjejas dan menimbulkan provokasi.


Yang ingin saya sampaikan ialah, seorang lelaki tidak perlu menumpukan sepenuh perhatian untuk mengejar cinta seorang wanita. Tanpa wanita, seorang lelaki masih tetap menjalani kehidupan mereka. Mungkin ia tidak sesempurna tanpa kehadiran mereka. Namun, sejarah juga membuktikan berapa ramai lelaki yang kecundang kerana wanita.


Fikiran saya menerawang pada kenangan perkenalan dengan seorang sahabat sewaktu menjalani latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) enam tahun yang lampau. Sahabat saya itu seorang yang boleh tahan kacaknya. Mukanya ala-ala pelakon hindustan dan badannya pula tegap. Orangnya aktif dan mewakili negeri dalam sukan hoki. Walaupun kami berlainan agama, bangsa dan negeri namun persahabatan yang dibina cukup utuh. Di PLKN, saya agak nakal dan terlibat dalam pergaduhan. Sewaktu geng-geng kelantan pulang bercuti, maka tinggallah beberapa orang melayu kelantan di kem sambil diperhati oleh puluhan musuh. Beliau bersama-sama geng india dan cina lah yang menjadi tempat kami berlindung. Hubungan kami memang rapat. Makan bersama, tidur bersama dan ‘berkubang’ dalam kolam renang bersama-sama.


Selepas program PLKN tamat, hubungan kami terputus. Perkhabaran yang saya terima tentang beliau cukup mengejutkan. Saya menerima panggilan telefon dari seorang rakan india yang mengatakan bahawa beliau membunuh diri akibat kecewa dengan seorang gadis. Ironinya, saya juga mengenali gadis tersebut. Sememangnya beliau banyak bercerita pada saya tentang gadis tersebut. Sahabat baik saya itu mengambil keputusan untuk terjun dari Jambatan Pulau Pinang kerana kecewa dengan seorang gadis. Segala barang-barang beliau ditinggalkan di atas jambatan dan beliau terjun bersama telefon bimbitnya.


Beliau mungkin akan menjadi seorang pemain hoki terkenal atau meneruskan cita-citanya sebagai seorang doktor sekiranya masih hidup. Jika dia masih hidup, mungkin dia berada bersama-sama saya di tahun akhir kursus perubatan. Namun di mana dia kini? Mungkin terseksa di alam kubur. Alangkah sempitnya pemikiran beliau.


Seorang lagi rakan saya turut bertindak bodoh akibat dari cinta terhalang. Beliau mencederakan diri sendiri apabila keluarga gadis tersebut menyembunyikannya di luar negara. Bertahun-tahun lamanya dia menderita menantikan gadis tersebut hingga pelajarannya terjejas. Bintang yang sepatutnya bersinar akhirnya malap. Gadis itu pula akhirnya bercinta dengan orang lain. banyak kali kami berhubung dalam telefon. Risau saya andai kata beliau turut mengambil langkah yang sama seperti kawan india saya tadi. Alhamdulillah, luka beliau pulih. Tapi, saya tetap tidak dapat menerima kebodohannya.


Dua kisah itu berlaku di masa lampau saya. Kisah bagaimana saya kehilangan seorang sahabat kerana kekecewaan pada seorang wanita. Di sana juga tercoret kisah seorang sahabat yang nyaris mengambil tindakan serupa. Semuanya kerana wanita. Pada masa kini, ada juga coretan kisah sahabat saya yang mengambil tindakan bodoh akibat dari kecewa dengan wanita. Tindakan bodoh yang semestinya berakhir dengan penyesalan apabila mereka tersedar dari tindakan luar sedar mereka itu.


Tidak dinafikan, penangan cinta itu memang hebat. Ia bisa membuatkan seseorang kehilangan akal yang waras. Bahkan, pada artikel saya yang lepas, pernah saya coretkan kisah Ibn Hazm, seorang ulamak tersohor yang turut dilalaikan dengan cinta.


Semua ini tidak pelik kerana memang fitrah seorang lelaki dijadikan oleh Allah untuk cenderung pada kecantikan wanita. Kecantikan sering mengaburi mata seorang lelaki seperti mana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 3.


Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang


Namun sering kita lupa, bahawa keindahan ini hanyalah nikmat di dunia. Kesemuanya tidak mampu menandingi kecintaan seorang hamba pada Allah. Dalam ayat yang sama, Allah telah menjelaskan bahawa hanya padanya lah tempat yang sebaik-baiknya dan syurga lah yang merupakan sesuatu yang nyata. Bukan sekadar keindahan perhiasan.


…… Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).


Dalam satu hadis yang tersohor berkaitan dengan wanita adalah seperti berikut


“Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita shalihah“. (HR. Muslim).


Cuba kita renung hadis ini. Umumnya, hadis ini adalah untuk menunjukkan betapa tingginya martabat seorang wanita. Wanita solehah itu diumpakan sebagai perhiasan yang paling baik sekali di dunia ini. Jika seseorang itu meminati emas permata, nescaya wanita solehah itu lebih cantik. Jika berlian yang dikejar, nescaya tidak mampu ditandingi dengan keindahan wanita solehah.


Namun, disebalik maksud yang digambarkan di atas, pernahkah kita bayangkan kehidupan tanpa perhiasan. Adakah ia menganggu kehidupan seharian kita? Ambil contoh rumah. Andai rumah itu dibina tanpa tiang yang kukuh, maka adakah ia mampu berdiri. Kesannya, seseorang tidak mampu pun mendiami rumah. Namun, rumah yang kukuh binaannya tetapi tiada perabot seperti sofa, langsir ataupun pasu-pasu eksotik, adakah ia akan mencacatkan struktur rumah itu. Tidak! Bahkan ia boleh dihuni. Cuma mata mungkin layu kerana tiadanya perhiasan. Namun ia lebih baik daripada mempunyai rumah yang telah runtuh.


Ya! Itulah pemahaman saya terhadap ayat quran dan hadis tersebut. Wanita itu merupakan pelengkap pada seorang lelaki namun bukan jaminan untuk seseorang lelaki itu teguh berdiri. Andai kecewa dalam percintaan, maka ingatlah bahawa secantik mana pun wanita itu, atau sealim mana pun mereka, mereka tetap perhiasan.


Mereka mungkin perhiasan terbaik menangani indahnya lu’ lu’ dan marjan. Namun ia tidak lebih dari itu.


Maka, jangan kerana wanita anda menghancurkan masa depan dan potensi diri. Teruskan berjuang dan berdiri di atas rangka yang dibina dengan kukuh. Pastikan rangka yang dibina ini tidak runtuh dan gagah berdiri.


Apabila sampai masanya nanti, pasti kita akan hiasi bangunan ini dengan perhiasan terbaik di dunia iaitu wanita solehah.

Monday, December 6, 2010

Tahniah buat Penggerak Sunathon Teluk Renjuna

Para peserta bergambar kenangan sebelum menaiki bot ke Kg Teluk Renjuna


Bismillahirrahmanirrahim…..

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan rahmatnya maka program “Sunathon dan Mobile Clinic Kg Teluk Renjuna” telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di SK Sungai Beluru, Kg Teluk Renjuna, Tumpat Kelantan pada 4 Disember 2010.

Aktiviti yang dirancang oleh team MESAT dan KPN sewaktu Misi Kemanusiaan Pos Simpor dijalankan pada awal bulan julai telah berjaya digerakkan di bawah kepimpinan Saudara Hariz (Medic 2nd year) .

Program yang dianjurkan dibawah Medical Society USMKK (MedSoc) ini dibantu oleh beberapa organisasi di kampus kesihatan iaitu Medical Students Awareness Team (MESAT), Majlis Perwakilan Desasiswa Murni (MPDM), Kelas Peradaban Nabawi USMKK (KPN) dan Rakan Masjid USMKK disertai oleh lima orang doktor, dua orang pembantu perubatan dan 30 orang mahasiswa USMKK. Prof Din Suhaimi bertindak selaku ketua ekspedisi. Program turut diserikan lagi dengan penglibatan Jawatankuasa tertinggi keempat-empat organisasi.

Perjalanan dimulakan dengan menaiki bas dari Kampus Kesihatan pada jam 8 pagi untuk menuju ke Jeti Pulau Besar yang terletak di Dun Kijang. Perjalanan selama 15 minit itu disambung pula dengan menaiki dua buah bot nelayan untuk menuju ke SK Sungai Beluru yang memakan masa selama 20 minit.

Seramai 26 orang peserta telah dikhatankan dalam program meriah ini yang didahulukan dengan pengisian kerohanian “Anda Bijak, Jauhi Zina” oleh Prof Din Suhaimi. Dalam slot ini, aspek menjaga kehormatan diri dan kemaluan ditekankan bagi mengingatkan peserta yang bakal melangkah ke alam remaja agar tidak melibatkan diri dengan gejala sosial zina yang membawa kepada bermacam-macam permasalahan seperti pengguguran bayi haram dan juga pembuangan bayi. Majlis kemudiaannya diteruskan dengan acara memandikan peserta secara beramai-ramai dan diikuti dengan proses mengkhitankan mereka.

Alhamdulillah, tiada komplikasi kritikal pada peserta kecuali tiga orang mengalami pendarahan dan memerlukan mereka di 'tahan' buat seketika sebelum dibenarkan pulang untuk pemerhatian. Seorang dari mereka terpaksa dijahit kembali luka pada tempat khitan.

Sementara itu, Mobile clinic yang dipantau oleh saudara Haidar (Medic 2nd year) juga meriah. Antara stesyen yang diadakan ialah pemeriksaan BMI, pemeriksaan mata, Tekanan darah, Bacaan gula dalam darah, sesi konsultasi bersama doktor dan juga preskripsi ubat-ubatan. Lebih dari 50 orang peserta yang terdiri daripada ibu-bapa peserta sunathon dan penduduk sekitar menghadiri mobile klinik ini.

Bagi pihak MESAT pula, misi ini berjaya mencapai objektif penubuhannya bagi melatih mahasiswa khususnya dalam bidang perubatan untuk terlibat dalam aktivti “Muslim Volunteerism” khususnya melalui misi kemanusiaan dan bantuan perubatan.

Rata-rata peserta yang terdiri dari pelajar tahun dua dan baru pertama kali menyertai misi sebegini melahirkan rasa gembira kerana dapat melibatkan diri dan berharap agar aktiviti sebegini diteruskan lagi dimasa hadapan. Ia juga memberikan satu pengalaman baru kepada mereka kerana berpeluang untuk menjadi assistant sewaktu program bersunat memandangkan ia tidak diajar dalam silibus kursus perubatan di USM. Selain itu, interaksi bersama masyarakat dapat menambahkan lagi kemahiran mereka dalam skill komunikasi.

Jutaan terima kasih juga diucapkan buat saudari Rozila (Nursing 2nd year) dan keluarga yang merupakan anak jati kampung tersebut di atas bantuan teknikal sepanjang misi dijalankan.
Semoga program sebegini akan terus mendapat tempat di hati para mahasiswa USMKK dan menjadi mahasiswa yang dekat di hati masyarakat. Adalah diharapkan juga semangat kesukarelawan akan dapat diteruskan apabila mereka menamatkan pengajian dan bertugas sebagai staff dalam sektor perubatan dan kesihatan.


“Reaching the Unreached”
Laporan disediakan oleh
Bro Muhamad Na’im Ab Razak (jack)
Setiusaha MESAT, merangkap
Pemangku Pengerusi KPN USMKK
jacknaim@gmail.com
www.jacknaim.blogspot.com



dalam perjalanan di atas bot


Sudah sampai



Prof Din Suhaimi menyampai ceramah motivasi beliau pada peserta sunathon



Para peserta mengangkat ikrar untuk menjaga kemaluan mereka dan menjauhi zina


peserta dimandikan sebelum dikhitankan



menyediakan instrumen untuk khitan

peserta cemas menantikan giliran untuk dikhitankan


Pengarah MESAT, Saudara Hazwan Maznon sedang mengkhitankan peserta sambil diperhatikan oleh pengerusi organisasi-organisasi penganjur


Saudara Haidar sedang memerhati kelancaran mobile clinic

stesyen glucometer

Saturday, December 4, 2010

Caesarean Section pertama sebagai assistant

sekadar gambar hiasan. daripada website: http://www.new-baby-and-beyond.com/c-section-birth.html


Petang selasa saya mundar-mandir di dalam dewan bersalin. Hari itu sepatutnya on call tetapi tidak ramai pesakit di dalam bilik bersalin. Saya menjenguk dewan bedah yang terletak dalam bilik bersalin. Junior tahun empat sudah pun berada di dalam dewan bedah untuk observe operation caesarian section. Beberapa orang junior lagi masih menunggu giliran untuk observe pembedahan pesakit seterusnya kerana hanya dua orang pelajar perubatan dibenarkan untuk observe operation untuk satu-satu masa.


Saya melihat list OT. Ada dua orang lagi pesakit. Seorang pesakit bakal menjalani pembedahan elective caesarian section kerana breech (bayi songsang) dan seorang lagi emergency kerana fetal macrosomia (bayi besar melebihi 4 kg).


Saya meneliti folder pesakit seterusnya. Pesakit berusia 25 tahun dan ini merupakan anak pertama beliau. Beliau dibedah kerana keadaan anaknya yang songsang dan sudah pun berusia 38 minggu. Saya membaca lagi folder beliau. Seterusnya saya menemui MO yang akan menjalankan pembedahan ke atas beliau.


“Good evening doctor, sorry for disturbing”

“Yes! Anything I can help you?”

“Are you the one who will perform the c-sec for the patient #^&^&, G1P0 with breech presentation?”

“Yes, why?”

“May I know who will assist you?”

“Probably the HO.”

“Erm. Can I assist you for that operation?”

“Oh! Yes. No problem”

“Thank you doctor. I’ll see you in the OT room then.”


Saya segera ke bilik utiliti untuk mencari baju OT. Seperti biasa, tiada set lengkap memandangkan saiz set besar tidak banyak. Jadi pakai baju kahwin je la. Baju biru, seluar unggu.


Dalam hati,saya berasa sangat-sangat gembira. Sejak dari tahun empat lagi saya menyimpan cita-cita untuk assist pembedahan caesar. Malah sewaktu seorang MO bertanya mengapa saya asyik masuk tengok c-sec, itulah jawapan saya.


“Before I graduate. I want to assist in c-sec.”


Tambahan pula, sememangnya para doktor pakar menggalakkan kami assist operation dan apa jua intervensi yang dilakukan pada pesakit dibawah jagaan kami. Ada masanya juga kami dicabar oleh mereka. Sewaktu mereka bergelar HO dulu, mereka sudah pun melakukan beberapa pembedahan C-sec sebagai surgeon dan tanpa penyeliaan MO. Itu menunjukkan betapa berkualitinya HO pada masa dahulu.


Sementara menantikan operation pesakit terdahulu selesai, saya membelek-belek nota dan membaca apa yang patut.


Selesai operation, saya membantu anesthetist untuk mengangkat pesakit ke katil dan menyediakan apa-apa yang perlu.


Setelah selesai, saya ke bilik scrub untuk bersiap. Sudah beberapa bulan saya tidak scrub. Pembedahan terakhir yang saya assist ialah sewaktu di bulan lima semasa berada di posting orthopedik iaitu insertion of intramedullary nail for left femoral shaft fracture (memasukkan besi kerana tulang peha patah). Tiada masalah ketika scrub. Cuma saya terkial-kial untuk memakai glove pertama menggunakan close method dimana tangan tidak boleh dikeluarkan dari lengan gown pembedahan.


Sesudah saya selesai memakai glove, doktor dan scrub nurse sudah pun selesai memasang drape (tutup kawasan yang tidak dibelah dgn kain hijau steril untuk memastikan kuman dari kawasan tersebut merebak ke tempat dibelah) dan sedang mengepit kulit tempat untuk dibelah bagi memastikan ubat bius sudah berkesan. Setelah berpuas hati, beliau memberi arahan pada saya.


“ok, hold it!”


Kata beliau seraya meminta saya menggunakan gauze untuk menegangkan kulit bagi memudahkan beliau membuat belahan.


Bermula dari kulit, doktor seterusnya memotong subcutaneous fat, exernal fascia (camper dan deep membranous layer of scarpa) dan seterusnya rectus sheath. Dari sini, rectus abdominis muscle dibahagi dua agar mendapat access secukupnya kepada peritoneal layer (lapisan menyelaputi organ dalaman perut). Peritoneal layer yang dua lapis itu (superficial dan parietal) kemudiannya dipisahkan dan retractor digunakan untuk menolak pundi kencing ke dalam bahagian pelvis.


Seterusnya MO membut belahan pada lower segment uterus (bahagian yang hanyab terbentuk sewaktu perempuan mengandung dan menjadi pemisah antara bahagian atas uterus dan pangkal rahim).


Sewaktu cecair amniotic mula keluar, saya mengambil suction untuk menyedutnya.


“Ok. You stabilize this lower part with your left hand and use right hand to tear this up.”


Arah MO meminta agar saya membantunya membuat bukaan pada lower segment bagi mengeluarkan bayi.


Saya berhati-hati melakukannya kerana takut uterus terkoyak disebabkan tangan saya. Namun MO menyuruh saya agar lebih menggunakan tenaga.


Dalam hati saya sudah mengeluh. “Owh. Susah jugak rupanya. Tidak sesenang sewaktu observe. Perlu menggunakan tenaga.”


Doktor mencari kaki bayi untuk mengeluarkannya. Entah mengapa bayi lekat. Ia tidaklah senang disebabkan posisi bayi tersebut yang songsang. Tiba-tiba, tangan bayi turut terkeluar dan menyebabkan bayi lekat.


Semakin lama masa diambil. Saya sudah pucat. Tangan saya menarik dinding bukaan yang dibuka tadi untuk meluaskan lagi lubang agar bayi boleh dikeluarkan. Jururawat sudah cemas dan bersedia untuk mendapatkan pertolongan dari doktor senior.


Setelah beberapa minit, bayi berjaya dikeluarkan tetapi flat (tidak bergerak dan kebiruan) saya semakin cemas.


Doktor memotong tali pusat dan jururawat menyedut cecair dari hidung dan mulut bayi. Tangan saya pula melurut-lurut tapak kaki bayi agar ia segera menangis. Namun ia tidak berjaya.


Jururawat berlari membawa bayi keluar ke troli resusitasi.


“Ya Allah! Jangan lah jadi apa-apa pada bayi tersebut.” Doa saya di dalam hati.Perasaan cuak mula menguasai diri.


“Ini adalah pembedahan c-sec pertama aku. Dan aku menjadi first assistant. Tiada second assistant. Hanya tiga orang yang menjalankan pembedahan ini. Mo, aku dan Scrub nurse.” Monolog saya sendirian.


Beberapa minit kemudian, terdengar suara tangisan bayi. Kenyaringan suara bayi tersebut membingitkan telinga saya. Alhamdulillah, saya panjatkan sepenuh rasa syukur saya pada Allah.


Sewaktu doktor sedang mengeluarkan placenta (uri-uri) dan mencuci uterus, jururawat membawa masuk bayi ke dalam bilik bedah untuk ditunjukkan pada ibu. Saya mejenguk bayi tersebut.


Alhamdulillah aktif! Cuma sedikit lebam-lebam kesan daripada tersekat tadi.


“ok hold this suture tightly”


Teguran doktor mengejutkan saya. Doktor sudah pun selesai mencuci uterus dan bersedia untuk menjahit uterus. Tangan kiri saya memegang retractor untuk memudahkan penglihatan doktor sementara tangan kanan memegang suture. Proses menjahit perlu dilakukan secara berhati-hati. Jika tidak, pesakit boleh mati akibat pendarahan. Jika suture tidak kemas, ia juga boleh menyebabkan adhesion. Semestinya ia tidak diingini oleh mana-mana doktor.


Jururawat sudah mula mengira jumlah gauze yang digunakan bagi memastikan tiada yang tertinggal di dalam perut.


Sesekali MO menegur saya apabila tidak menegangkan benang suture. Tangan sudah mula terasa lenguh.


Alhamdulillah! Akhirnya pembedahan selesai.


Dalam hati saya berasa amat puas sekali kerana mendapat pengalaman yang cukup berharga ini. Tercapai juga cita-cita yang diimpikan. Semoga ia menjadi panduan berguna buat saya bila bergelar doktor nanti.


Selesai menukar pakaian OT, saya menerima satu lagi berita gembira. Alhamdulillah adik saya yang belajar di Matrikulasi Perak berjaya mendapat 4.0 dalam peperiksaan semester satu beliau. Semoga beliau terus cemerlang dan dapat mencapai cita-citanya untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan dan seterusnya menjadi muslim doctor yang berjaya. InsyaALLAH!

Saturday, November 27, 2010

Hujan di Malam Ini



Malam sungguh kelam,
Titisan hujan terus mencurah,
Dari tadi belum berhenti,
Angin sejuk menerpa,
Dingin semakin mencengkam tubuh.


Sesekali kilat memancar,
Cahaya menerangi alam,
Ku lihat lopak-lopak air,
Semakin lama semakin dalam,
Dan langit masih gelita.


Hujan membawa rahmat,
hujan juga membawa duka,
dan hujan menemaniku,
menghibur hati yang terluka,
memberi seuntai ketenangan.


Apakah esok pelangi kan muncul
Setelah hujan membasahi bumi
Ku rindukan garis cahaya itu,
Yang memberiku seribu rasa,
Hingga aku tersenyum sendiri.


Jacknaim,
11.46 am, 27/11/2011
DN130, USM Kampus Kesihatan.

Kau yang teristimewa



Senyum mu tawaku,
Derita mu tangisan aku,
Gembiramu bahagiaku,
Kecewamu luka dihatiku,


Gurindam kasih semalam,
Mengimbau segala keindahan,
Dan aku masih tercari
Senyuman serupa denganmu.


Segenap penjuru aku intai,
Setiap sudut aku imbas,
Liar mataku melirik mencari,
Namun tak ku temui.


Kau yang teristimewa,
Tiada yang seperti mu,
Walau seribu batu ku melangkah,
Tak kan pernah ada ganti.


Kau yang istimewa,
Kau yang satu,
Kau yang kucinta,
Tiada yang lain.


Senyum mu tawaku,
Derita mu tangisan aku,
Gembiramu bahagiaku,
Kecewamu luka dihatiku,


Kerna kau yang istimewa……



Jacknaim
2.30 am, 27/11/2010
DN 130, USMKK


Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah