Wednesday, March 31, 2010

Pengeboman Moscow: Apa Nasib Pelajar Malaysia?


Bismillahirrahmanirrahim,


Baru beberapa jam saya pulang dari Ekspedisi mendaki Gunung Tebu dan sedang berehat-rehat sambil membaca blog, facebook ,YM dan juga Google Talk, saya dikejutkan dengan YM dari sahabat saya di Russia menceritakan tentang situasi genting di Moscow.


Menurut sahabat saya itu, semasa kejadian, beliau berada dalam Metro (LRT) untuk ke hospital bagi sesi praktikal apabila sebuah metro lain diletupkan oleh ‘pengganas’


Seperti biasa, sekiranya berlakunya perkara sebegini maka orang Islamlah yang akan dituduh sebagai pengganas. Mudah benar untuk mereka melabel tanpa usul periksa. Kata mereka, dua orang suspek wanita muslim Chechnya berusia lingkungan 19 dan 20 tahun merupakan pengganas yang terlibat dalam suicide bombing ini.


Saya terkejut apabila diberitahu oleh beliau bahawa ada muslimat dibelasah hanya kerana memakai tudung. Dan beliau serta rakan-rakan yang lain juga dalam ketakutan untuk keluar dari bilik.


Menurut cerita beliau, ada penumpang yang duduk disebelahnya dalam Metro beralih tempat apabila melihatnya memakai tudung. Ramai juga yang mengerling dengan jelingan yang tajam. Polis pula, setiap masa menjalankan pemeriksaan ke atas mereka. Mungkin kerana takut ada bom.


Dari gaya percakapannya, saya yakin bahawa beliau berada dalam keadaan yang tertekan. Begitu juga dengan sahabat-sahabat beliau yang lain.


Saya sangat geram apabila diberitahu bahawa kedutaan Malaysia di sana bersikap acuh tidak acuh dengan situasi yang berlaku. Ini kerana, sikap prejudis yang ditunjukkan warga Russia berkemungkinan besar akan mengancam keselamatan warganegara Malaysia khususnya muslim.


Adakah benda-benda sebegini dianggap remeh oleh mereka? Jika ya, apa gunanya mereka dibayar gaji untuk berkhidmat jauh dari tanah air.


Saya amat berharap sekali agar kerajaan mengambil serius akan hal ini. Jika keadaan semakin mendesak, eloklah kiranya agar pelajar di sana segera dibawa pulang ke Malaysia bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.


Buat sahabat-sahabat pembaca blog saya, ayuhlah kita tadah tangan dan panjatkan doa kepada Allah bagi meminta pertolongan darinya dalam menjaga keselamatan saudara dan saudari seagama di sana. Doakan juga agar nama baik Islam berjaya dibersihkan dari terus dikaitkan dengan isu ini. Dan akhirnya, sama-sama kita doakan kebahagiaan mangsa-mangsa yang meninggal dunia serta diberi ketabahan buat keluarga mereka dalam menghadapi semua ini.

Monday, March 29, 2010

Now, let us deal with flesh and bone!




Aku bersumpah demi hari kiamat, dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri)Apakah manusia mengira, bahwa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya? Bukan demikian, sebenarnya Kami kuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna. [Q75:1-4]

*****


Bismillhirrahmanirrahim….


Sekejap benar rasanya saya berposting surgery. Belum puas lagi rasanya berhadapan dengan pelbagai macam cabaran yang ada didalamnya baik dari segi clerking history, managing patient, procedures mahupun OT room.


Apabila seorang surgeon bertanyakan saya pendapat mengenai posting surgery, saya dengan seikhlasnya memuji posting ini kerana kekuatan yang ada padanya. Pertama ialah ia lebih banyak praktikal, keduanya ialah hubungan dengan doctor dan staff yang rapat, dan ketiganya hampir 99% lecturer nya suka mengajar. Tidak keterlaluan kiranya saya meletakkan posting ini di kedudukan top three best posting.


Semalam, secara rasminya saya menjalani rotasi terakhir di tahun empat iaitu Orthopedic. Berbanding rakan-rakan yang lain, saya ditempatkan di team yang boleh dikategorikan sebagai team yang paling tidak sibuk iaitu team ‘sport’.


Tambah menggembirakan ialah apabila Dr Nawaz menjadi supervisor saya. Ada sesuatu yang saya banggakan dengan beliau walaupun saya tidak pernah berkenalan dengannya.


Saya mengenalinya melalui ‘you tube’ di mana ada video daripada MERCY Malaysia yang mempromosikan aktiviti mereka sewaktu gempa bumi Yogyakarta berlaku. Sememangnya saya amat menghormati dan kagum dengan kesungguhan doctor-doktor yang komited dengan misi kemanusiaan.



Bagi saya, doctor yang sanggup meninggalkan takat selesa mereka di hospital semata-mata ingin berkhidmat kepada pesakit yang memerlukan mereka tanpa dibayar telah mencapai tahap tertinggi dalam dunia kedoktoran. Mereka ialah “True Doctors!”


Mereka inilah sumber inspirasi saya dan saya juga menaruh harapan yang tinggi untuk menjadi seperti mereka.


Hari ini, saya hanya sempat tidur selama dua jam lebih sahaja kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Seterusnya, pergi wards round dari pukul 9.00 pagi ke pukul 10.00. memandangkan tiada kelas atau OT, maka saya ke A&E department untuk belajar daripada doctor-doktor orthopedic tentang cara-cara untuk manage patient ortho.


A&E ternyata terlampau sibuk dan penuh dengan pesakit Ortho. Dari pukul 10 hinggalah ke jam 3.40 petang, kami bekerja tanpa henti. Saya pula hanya sekadar membantu menyediakan keperluan untuk ‘back slap’, ‘wound dressing’, ‘toilet and suturing’ dan juga mengambil serta mengisi form radiology.


Menyedari masa sudah agak lewat, saya bergegas untuk solat Zohor dan kemudiannya ke DK 1 untuk memberikan sokongan kepada rakan-rakan di tahun tiga yang akan diumumkan keputusan peperiksaan professional II mereka.


Alhamdulillah, berita paling gembira ialah apabila Roommate saya yang juga merupakan rakan baik sejak dari tahun satu lulus exam. Asalnya kami merupakan satu batch tetapi beliau terkandas sewaktu di tahun 3.


Ternyata Allah masih inginkan sesuatu daripadanya untuk disumbangkan melalui jalan perubatan.


Selesai keputusan exam, saya ke sebuah kedai untuk makan tengah hari pada jam 5.30 petang. Agak terlewat tetapi bak kata Dr Nawwas sewaktu briefing tadi.


“Doctors are not officer who have specific time when to come to the office and when to come back. There are no such things in the life of doctors. Even though you are now a medical student and expected to come on call from 7 pm to 12 am. But if there’s a lot of patient, don’t go home with excuse that your time is up. You have to stay even until 4.00 am and with the fact that ou have to come to rounds next morning at 8.00 am. That’s how you prepare yourself for a true moment of becoming a doctor”


InsyaALLAH doctor, saya cuba sedaya upaya untuk memenuhi apa yang doctor katakana itu dan akan lebih komited dengan bidang yang saya ceburi ini. InsyaALLAH!


MESAT, Bangkit!

Asrul, Jack, Najman, We Bilal, Poji


Bismillahirrahmanirrahim….


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana mesyuarat Medical Student Awareness Team yang dirancangkan pada minggu lepas telah berjaya diadakan walaupun tidak semua ahli team yang berkelapangan.


Untuk makluman rakan-rakan semua, MESAT merupakan nama elektif kumpulan kami yang ditubuhkan dengan objektif untuk menimbulkan minat dan enthusiasm dalam bidang misi kemanusiaan.


jeme, Ujai dan Adam


Kumpulan kami diilhamkan daripada nama satu lagi kumpulan sukarelawan pelajar perubatan yang merupakan senior kami iaitu Medical Student Relief Team (MERIT). Tambahan pula, kebanyakan daripada ahli-ahli kami pernah terlibat dalam banyak aktiviti Misi Kemanusiaan anjuran MERIT sejak di tahun satu lagi.


Tahun lepas, kami telah selamat menganjurkan misi kemanusiaan sambil mengadakan lawatan sambil belajar di Yogyakarta Indonesia. Memandangkan masih terdapat lebihan baki pada projek tersebut, maka kami merancang untuk mengadakan misi kemanusiaan di Malaysia pula bagi menghabiskan wang tersebut.


Ini kerana, kami telah menerima amanah dari para dermawan bahawa wang tersebut akan kami gunakan untuk menganjurkan misi kemanusiaan.


Maka sebentar tadi, kami bermesyuarat untuk berbincang tentang aktiviti MESAT seterusnya. Hasil dari mesyuarat tersebut, InsyaALLAH kami akan melaksanakan satu misi kemanusiaan pada awal bulan tujuh nanti iaitu seminggu sebelum semester baru bermula. Beberapa buah tempat telah pun dicadangkan untuk dipertimbangkan.


Program ini pada dasarnya, dicadangkan untuk dianjurkan bersama team Kelas Peradaban Nabawi bagi memastikan bahawa aktiviti dakwah juga turut berlangsung selain daripada menyediakan khidmat Kesihatan.


InsyaALLAH, sekarang kami dalam perancangan untuk menghantar surat jemputan kepada kelas peradaban nabawi bagi membincangkan kerjasama yang akan dilaksanakan.


Doakan kami agar misi yang dirancang akan dapat dijalankan dengan jayanya serta diberi kemudahan oleh Allah S.W.T


p/s: insyaALLAH, hari selasa nanti, saya dan rakan2 akan mendaki Gunung Tebu. x sabar pula rasanya untuk ke sana buat kali kedua

Saturday, March 27, 2010

Mengejar Impian, Menghidupkan Keghairahan


Bismillahirrahmanirrahim….


Malam ini, saya berkesempatan menghadiri sebuah program ‘Multi level Marketing’ atas jemputan Dr Zulkarnain. Walaupun saya bukanlah seorang yang benar-benar berminat dengan MLM, akan tetapi saya betulkan niat di hati bahawa saya menghadirinya untuk tujuan belajar dan membina networking.


Tambahan pula, menurut Dr Zul, ada penceramah istimewa dari Kuala Lumpur. Penceramah tersebut merupakan antara individu yang berjaya dalam MLM dan juga penulis buku yang agak terkenal.


Beliau ialah Simon Thompson yang merupakan penulis buku “While You’re in a Traffic Jam, I’m Playing Golf”.


Tidak menyesal saya mengikuti program ini kerana ceramah beliau sememangnya cukup bertenaga dan menarik terutamanya dalam menghuraikan topic ‘Law of Attraction’. Apatah lagi jarak di antara saya dan beliau hanyalah beberapa inci sahaja.


Cuma sayangnya, tumpuan agak terganggu memandangkan beliau terpaksa bercakap satu ayat demi satu ayat dan seterusnya diikuti dengan terjemahan ke bahasa melayu oleh seorang doctor.Teringin rasanya saya untuk mendengar ceramah lengkap dari beliau.


Dalam ceramahnya, beliau mengatakan bahawa setiap orang mempunyai impian mereka sendiri. Ingin berkereta mewah, rumah yang besar, rumah di tepi pantai, ingin memiliki bot dan juga melancong ke luar negara. Akan tetapi, semua ini tidak akan mampu dicapai dengan hanya bekerja makan gaji.


Ya, berapa sangatkah yang mampu diperolehi dengan bekerja makan gaji! Ramai juga doctor yang mengeluh nilai gaji yang sedikit dan tidak sepadan dengan perkhidamatan yang diberikan


Mendengarkan kata-kata beliau, saya turut terfikirkan impian saya. Saya juga ingin memandu kereta impian saya iaitu kereta Honda Civic type R, inginkan bot mewah peribadi yang boleh digunakan untuk belayar dan memancing, memiliki sebuah rumah di pulau yang mana dapat saya habiskan masa di sana bersama keluarga sewaktu masa lapang, kamera DSLR dan banyak lagi.


Dan saya yakin bahawa sekiranya saya terlibat dengan bisnes maka peluang untuk saya mendapatkan semua ini akan lebih tinggi. Ini kerana, Rasulullah sendiri telah bersabda bahawa perniagaan itu merupakan 9/10 daripada kesemua pintu rezeki.


Lihat sahajalah sahabat Nabi seperti Abdul Rahman Bin Auf. Kehebatannya berniaga telah menjadikannya antara usahawan islam yang terkaya hingga mampu menderma 700 ekor unta untuk tujuan peperangan.


Namun, itu adalah impian. Impian yang belum mungkin dapat di capai. Atau mungkin juga sekadar angan-angan. Sekiranya betul saya mendapatkan semua itu, apakah saya akan menikmatinya dengan gembira dan aman.


Tambahan pula, keghairahan saya dalam bidang perubatan kecemasan mengatasi sgala-galanya. Keghairahan saya ialah apabila berjaya membuat sesuatu diagnosis. Keghairahan saya ialah apabila saya mempunyai skil yang mantap dalam merawat pesakit.


Impian terbesar bersulam keghairahan yang ingin saya capai adalah untuk menjadi pakar perubatan kecemasan. Saya ingin ke medan perang, berjuang merawat pesakit di celah kesibukan tembakan peluru dan dentuman bomb.


Tapi keghairahan ini hanya akan mampu memberikan kegembiraan buat sementara sahaja tanpa kewangan yag kukuh. Walaupun wang bukanlah segala-galanya, namun tanpa wang juga, banyak benda yang tidak mampu kita lakukan.


Bagaimana saya ingin ke medan perang dan menjadi sukarelawan jika tiada wang untuk membiayai perbelanjaan di sana?


Lantas, timbul pula suatu semangat yang membara di jiwa saya. Ucapan Simon telah menyebabkan saya berkira-kira untuk turut terlibat dengan bisnes suatu hari nanti. Namun bukan sekarang kerana focus utama adalah untuk belajar.


Kerana, tanpa keputusan yang baik, nescaya saya tidak mampu untuk mencapai keghairahan saya itu. Tanpa keghairahan, apakah mungkin saya akan bergembira dengan impian yang dapat saya capai?

Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah