Friday, April 30, 2010

Mencontohi Qudwah Pemimpin Ulung


Saya tertarik sewaktu membaca caption di google talk sahabat saya Alif. Wadah berbisa itu berbunyi seperti berikut;


“A leader is the one who always in pain, but never bleed”


Dari pemahaman saya, ayat ini membawa maksud bahawa setiap pemimpin itu sentiasa hidup dalam cabaran. Mereka ditarbiyyah di sepanjang tempoh mereka bergelar pemimpin. Setiap masalah yang bertandang membawa seribu satu kepedihan pada fizikal dan batin mereka. Namun, kesemua itu mereka telan dan mereka hadam sehingga lumat. Biar sepedih manapun, ia tidak akan mampu menggoncang perjuangan mereka. Bahkan mereka menjadi semakin kuat.


Contoh yang boleh saya kongsikan disini ialah kisah beberapa orang Rasulullah yang di utus untuk membawa satu kalam yang cukup penting iaitu kalam untuk mentauhidkan Allah.


“Bahawasannya tiada Tuhan selain Allah. Dialah Allah yang menjadi sembahan manusia, Allah yang tidak pernah melahirkan anak ataupun diperannakkan. Dan dialah Allah yang mana tiada satu pun yang ada di atas bumi ini dapat menandinginya.”


Nabi Allah Lut A.S terpaksa bergelumang dengan umatnya yang mana cenderung pada kaum sejenis. Berpuluh-puluh tahun masa dihabiskan olehnya semata-mata mahu mengembalikan umatnya kepada fitrah asal penciptaan manusia. Kembali pada kalam tauhid dan cenderung pada insane berlainan jantina. Baginda hingga sanggup menawarkan anak perempuannya sebagai isteri kepada pemuda-pemuda yang rosak jiwanya dan memberontak dek kerana inginkan malaikat yang menjelma sebagai pemuda tampan.


Nabi Ayyub A.S juga tidak kurang hebatnya dalam menerima tarbiyyah dari Allah. Segala harta kekayaan, ladang dan zuriat bagida habis ditelan bencana dek kerana permintaan syaitan yang ingin menguji iman seorang Nabi. Tidak cukup dengan itu, Ayyub terus diuji lagi dengan penyakit yang tidak dapat kita bayangkan pedihnya. Bisa yang menyelubungi tubuhnya menyebabkan baginda menitiskan air mata. Badannya membusuk kerana ditumbuhi nanah hingga menyebabkan baginda dan isteri dihalau dari kampong. Kemuncak kepada ujian baginda ialah apabila satu-satunya keluarga baginda yang tinggal iaitu isterinya turut meninggalkannya. Tinggallah Ayyub terlantar seorang diri di pinggir desa dengan hanya bertemankan angin dan unggas. Namun hati dan lidahnya tetap setia mengingati Allah.


Kita singkap pula kisah Nabi Ibrahim A.S dalam menghadapi kaumnya yang kufur. Setelah menghancurkan beribu berhala yang menjadi sembahan kaum Raja Namrud ketika itu, baginda dibakar dalam api yang sangat-sangat besar. Bahkan bapanya sendiri menjadi penentang kepada ajarannya. Setelah mengharungi ujian itu, pelbagai lagi ujian ditimpanya. Setelah berumah tangga, datang pula ujian di mana baginda terpaksa meninggalkan isterinya Siti Hajar dan zuriatnya Ismail di tengah kepanasan gurun Kedar. Berpuluh tahun tidak bersua anaknya, datang pula arahan dari Allah agar putera sulungnya itu dikorbankan. Hanya Allah yang mengetahui perasaan seorang bapa yang begitu kasihkan puteranya itu.


Selain dari penderitaan, ada pula Nabi Allah yang diuji dengan kekayaan dan harta yang melimpah ruah. Nabi Sulaiman umpamanya mempunyai kerajaan yang sangat luas dan meliputi kerajaan langit dan bumi serta kerajaan jin dan manusia. Tapi, hatinya tetap zuhud dalam mengingati Allah. Tidak sedikitpun harta kekayaan itu melalaikan baginda dari menjalankan tanggungjawab terhadap Allah.


Contoh akhir yang ingin saya bawakan ialah kisah Rasul terakhir yang menjadi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad S.A.W. sejak dari kecil lagi baginda telah diuji dengan ujian yang berat. Antara semua Nabi, bagindalah yang paling banyak diuji oleh Allah S,W,T. Tidak pernah baginda merasai kasih sayang seorang ayah. Baru sahaja baginda bertaut kasih dengan ibunya, perpisahan abadi tiba pula. Ibunya meninggal dunia dan baginda dijaga oleh keluarganya yang lain. sejak dari kecil lagi baginda sudah merasa hidup susah. Terpaksa bekerja keras untuk menjalani kehidupan. Setelah menjadi Rasul, pelbagai kata-kata nista dihamburkan. Kejian menjadi lagu yang berdengung di telinganya. Tidak cukup dengan itu, sering kali badan baginda dihinggapi dengan batu-batu dan duri demi untuk melemahkan fizikalnya. Penentangan demi penentangan dihadapi baginda dengan penuh sabar dan tawadduk. Air mata keinsafan dan kerana takut akan azab Allah sentiasa menghiasi wajahnya di malam hari.


Sahabat sekalian, itulah sedikit sebanyak tarbiyyah yang dialami pemimpin-pemimpin agung pada suatu masa dahulu. Cuba kita lihat pula pemimpin yang ada pada hari ini. Masing-masing berlumba untuk menggunakan kedudukan sebagai pemimpin bagi mendapat sebanyak mana harta. Kilauan emas mampu untuk menggoncangkan iman mereka. Arak, wanita, judi dan pelbagai jenis maksiat lagi sudah menjadi mainan yang biasa buat mereka.


Apakah kita semua yakin bahawa pemimpin sebegini mampu untuk membawa kita menikmati syurga ALLAH? Sedarlah kita semua bahawa jika kita tidak mengubahnya, maka keadaan akan menjadi bertambah buruk.


Oleh itu, ayuhlah kita sama-sama latih diri kita untuk menjadi sebaik pemimpin yang menerima tarbiyyah dari Allah. Kesatlah segala air mata kesedihan dan teruskan focus pada perjuangan menegakkan islam.

Thursday, April 29, 2010

Terima kasih ayah


Seumur hidup saya, rasanya tidak pernah saya bercerita mengenai hal peribadi kepada ummi atau ayah. Mungkin kerana sejak dulu lagi saya menanamkan sifat tidak ingin membuatkan mereka risau atau menyusahkan mereka. Sesusah mana atau sederita mana pun perjalanan hidup saya, saya telan semua itu sendiri. Biarlah saya seorang merasai kepahitannya.


Ummi sangat menyayangi saya. Dulu, setiap kali saya nak exam pasti dia akan berpuasa. Sebabnya, dia nak keberkatan berpuasa itu memberikan ketenangan untuk saya menjawab peperiksaan.


Ayah pula jenis yang susah untuk menunjukkan kasih-sayangnya. Namun, jauh dilubuk hatinya, dia begitu sayangkan saya. Walaupun saya berkali-kali melukakan hatinya, namun dia tetap memberikan saya peluang tanpa rasa jemu.


Sejak beberapa hari ini, saya dijangkiti virus yang sering melanda anak-anak remaja. Soal berkenaan hati dan perasaan. Buntu saya memikirkan jalan penyelesaiannya. Saya mengadu pada Allah dan berdiskusi dengan teman namun ia tidak semudah yang dijangkakan.


Akhirnya saya membuat keputusan untuk menelefon ayah saya. Terus dia datang ke USM dari rumah. Masalah yang menghantui saya diceritakan satu persatu.


Alhamdulillah, akhirnya ayah berjaya membuatkan saya sedar bahawa tanggungjawab saya berada di sini adalah untuk menjadi seorang doctor.


Kata ayah, ummi selalu beritahu dia perbualan saya dengan ummi. Kata ummi, sejak kecil saya katakan yang saya ingin menjadi seorang doctor. Dari dulu hingga sekarang, itulah matlamat saya. Itulah impian saya dan kini juga menjadi impian ibu, ayah dan adik-adik yang lain.


Ayah juga pernah menjadi anak muda. Dia tahu akan gelora yang bertahta di hati anak muda. Bukan tidak ada rakan-rakan ummi yang ingin menjodohkan anak mereka dengan saya. Bahkan ummi juga ada meminta ayah meminang seorang anak kawannya pada saya. Tapi, ayah tolak keputusan itu.


Kata ayah, dia nak saya kejar cita-cita saya dan menjadi seorang doctor. Tapi jika saya sudah tidak tahan, dia sendiri akan berjumpa mana-mana ayah perempuan yang saya minat. Keturunan ayah keturunan pahlawan dan bengkeng. Pantang untuk dicabar atau mengalah.


Ayah nak semua anak-anak dia berjaya dalam hidup. Ayah dan ummi tidak pernah merasa peluang untuk belajar di universiti. Namun mereka bukan bodoh. Ayah dan ummi antara Pelajar terbaik sewaktu disekolah. Rakan-rakan mereka orang hebat. Halim Yazid dulu satu kelas dengan ayah. Ada rakan-rakan ummi yang jadi orang penting Negara. Tapi kerana kemiskinan, mereka tidak berpeluang ke universiti.


Lepas belajar, ayah bekerja di Kuala Lumpur. Keadaannya cukup susah pada waktu itu. Ada kalanya terpaksa menogok air paip untuk menghilangkan dahaga. Sering pula ayah mengikat perut kerana tiada wang untuk makan.


Tapi semua itu tidak mematahkan semangat ayah. Ayah berkerja keras dan dengan duit hasil titik peluhnya lah dia mengahwini ummi. Tidak langsung mengharapkan wang ibu bapanya.


Ummi dan ayah bekerja keras untuk mengubah nasib mereka. Akhirnya ayah mampu membina rumah yang menelan belanja lebih 100k. Tapi, mereka masih tidak ajar untuk hidup bermewah. Walaupun mereka mampu, tapi mereka hidup secara sederhana. Duit yang ada disimpan untuk anak-anak belajar. Sepuluh tahun ummi hanya memandu kereta kancil. Bukan tidak mampu untuk beli kereta besar.


Dalam meniti saat bahagia, ayah diuji dengan penyakit misteri. Bertahun-tahun ayah terlantar sakit dan tidak mampu bekerja hingga terpaksa bersara awal. Sepanjang tempoh ini, ummi lah yang bersusah payah menguruskan keluarga. Ketika itu, tiada siapa pun yang betul-betul sudi untuk menghulurkan bantuan. Berkat kesabaran dan kesetiaan ummi, akhirnya ayah sembuh kembali. Syukur Alhamdulillah.


Sekarang pun ayah dan ummi masih seperti dulu. Sentiasa mengutamakan anak-anak berbanding diri mereka sendiri. Mereka tidak mahu anak-anak mereka hidup susah seperti mereka. Biarlah mereka tidak mengerjakan haji dulu asalkan wang yang ada dapat digunakan untuk anak-anak belajar.


Alhamdulillah, anak sulung mereka dapat masuk universiti buat perubatan. Anak kedua pun masuk universiti buat ijazah pendidikan. Anak ketiga mereka akan mendaftar di Kolej Matrikulasi Perak minggu depan. Yang keempat akan bertarung dalam SPM tahun ini. Yang kelima dan keenam InsyaALLAH akan membesar dengan cemerlang.


Ayah juga kata, fitnah wanita hanya sedikit sahaja cabaran dalam hidup ini. Berbanding kehidupan sebagai Pelajar perubatan, ia hanya 1% sahaja dan sepatutnya tidak langsung dipedulikan.


Macam mana saya nak jadi doctor kalau benda sekecil ini pun tidak boleh diuruskan. Sebagai doctor, saya kena jadi pemimpin. Saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pesakit saya. Ayah kata lagi, bagaimana saya nak hidup seorang diri di Sabah nanti jika tidak mampu untuk menjadi kuat dan tabah. Lelaki kena jadi kuat. Tambahan pula saya anak sulung dia. Kalau dia mati, saya lah yang akan ambil alih peranannya. Saya yang bertanggungjawab menjaga keluarga dan hartanya yang tidak seberapa itu. Untuk menjadi kuat, saya kena dekatkan diri dengan Allah. Hanya dengan itu syaitan tidak mampu merosakkan kita.


Ayah kata virus wanita ini memang hebat. Berapa banyak kerajaan dulu yang hancur. Mitos juga berkata bahawa Sultan Melaka akhirnya kehilangan segala-galanya kerana wanita. Adam sendiri tergelincir dari syurga kerana godaan Hawa untuk memakan buah Khuldi.


InsyaALLAH ayah. Anakmu ini akan ingat segala pesan ayah. Anakmu ini akan terus menjadi kuat. Walau apa pun yang terjadi, anakmu ini akan menggenggam title M.D yang menjadi cita cita bersama. Saya akan menjadi kuat demi keluarga dan juga ummah.


Terima kasih ayah atas segala-galanya.

Tuesday, April 27, 2010

Program Junior Dr HUSM April 2011



Bismillahirrahmanirrahim,


Saya hampir terlupa bahawa saya telah memberikan komitmen awal untuk menjadi fasilitator program Junior Dr anjuran HUSM. Nasib baiklah saya sempat menjenguk inbox facebook usai solat subuh sambil menanti waktu untuk Morning Round. Ada mesej bertandang daripada YDP MPP, Saudara Azmi yang mengingatkan bahawa program bermula pada jam 9.30 pagi.


Untuk makluman sahabat, program ini merupakan antara program HUSM dalam memupuk minat Pelajar sekolah terpilih di Kelantan dalam bidang perubatan.


Saya berkira-kira bahawa saya terpaksa membatalkan penyertaan saya untuk program ini memandangkan waktu tersebut ialah sesi Morning Round Bersama specialist. Saya berdoa agar round tamat awal.


Sesampainya di ward 2 Zamrud, saya dimaklumkan oleh HO bahawa round hanya akan bermula pada jam 9.30 pagi kerana ada teaching session untuk MO.


Allah! Saya menggaru kepala yang tidak gatal. Bagaimana harus saya selesaikan masalah ini.


Tepat jam 9.30 pagi, specialist team datang untuk round. Saya memberanikan diri meminta izin daripada beliau untuk diberikan pengecualian menghadiri morning round. Lama juga beliau terdiam sebelum akhirnya memberikan keizinan.


Alhamdulillah! Dapat juga menyumbang sedikit sebanyak pengisian untuk anak-anak bangsa.


Selesai sesi pengenalan mengenai kursus perubatan oleh saudara Hatif, setiap fasilitator diberikan enam orang Pelajar dari SMK Kubang Bemban dan SMK Zainab 1. Seperti biasa, terlampau sedikit kaum lelaki yang menyertai program ini. Dalam group saya, hanya seorang sahaja Pelajar lelaki. Yang lain adalah perempuan.


Pelbagai persoalan diutarakan oleh adik-adik baik dari segi pelajaran, pengalaman bergelar Pelajar perubatan, aspek kerjaya dan juga yang berkaitan dengan kehidupan.


Alhamdulillah, saya cuba untuk menerangkan kepada mereka dengan sebaiknya. Dalam berbicara, saya menggunakan pendekatan yang agak universal dan terbuka memandangkan ada seorang Pelajar beragama Buddha.


Oleh yang demikian, dalam sesi perkongsian itu, saya selitkan juga persamaan-persamaan antara ajaran Siddharta Gautama Buddha dan juga Islam. Saya katakan pada mereka, agama lah yang akan memacu kejayaan mereka. Untuk yang muslim, jadilah muslim yang terbaik. Untuk non muslim pula, jadilah yang terbaik seperti mana di ajar oleh agama mereka.


Rasanya, saya tidak menghadapi masalah berinteraksi soal agama dengan penganut fahaman Buddhism. Pengalaman saya bersama alumni FCR ke sebuah Tokong di Sentul membuktikan bahawa penganut agama Buddha amat terbuka dalam berdialog mengenai soal-soal begini.


Dari segi nilai islamnya, penganut Buddha tidak jauh bezanya dari kita orang muslim. Boleh dikatakan hampir semua ajaran Buddha selari dengan ajaran islam.


Yang menjadi perbezaan ialah konsep tauhid kerana dalam falsafah Buddhism, Siddharta Gautama Buddha tidak pernah bercerita tentang konsep ketuhanan.


Namun, ini bukanlah bererti mereka tidak percaya pada Tuhan. Fahaman bahawa agama Buddha tiada TUHAN adalah silap. Ini kerana, Siddharta tidak menyentuh hal mengenai ketuhanan disebakan perkembangan agama di India ketika itu yang mempunyai terlampau banyak Tuhan.


Oleh yang demikian, ia sengaja tidak disentuh siddharta bagi mengelakkan perpecahan. Apa yang lebih penting buat beliau ialah keamanan dan ketenangan hubungan antara kaum.


Sedikit pengalaman yang saya kutip dalam perjalanan bergelar pelajar perubatan ini saya curahkan kepada adik-adik agar ia memberi manfaat.


Memandangkan majority adik-adik adalah perempuan, saya kongsikan juga kisah-kisah sedih yang pernah saya temui sewaktu di posting O&G. kisah bagaimana anak-anak remaja islam hamil luar nikah di usia muda. Melakukan hubungan haram dengan lelaki lain walaupun telah bersuami dan sebagainya. Ini semua kerana saya tidak mahu adik-adik di hadapan saya ini mengikut lagkah hitam tersebut.


Alhamdulillah, masa satu jam setengah berjaya dimanfaatkan sepenuhnya. Di akhir kalamnya, saya menyatakan hasrat untuk bertemu lagi dengan mana-mana antara mereka sebagai rakan setugas dalam bidang perubatan.


Sempat juga saya meminta adik-adik agar mendoakan kejayaan saya dalam bidang perubatan, graduate mengikut masa yang ditetapkan dan seterusnya menjadi Pakar Perubatan Kecemasan yang terbaik suatu hari nanti. InsyaALLAH!


Semoga pertemuan kerana ALLAH ini akan mendapat ganjaran pahala dan keberkatan dariNYA. InsyaALLAH.


Melewati Hari Berlalu, Mengintai Hari Esok.

Operation for insertion of Intramedullary nail and screw fixation for fractured of left mid shaft femur.


Bismillahirrahmanirrahim……


Sungguh saya tidak sangka, pantas benar masa berlalu. Minggu kelima untuk posting orthopedic semakin hampir tiba ke penamatnya. Begitu juga dengan rakan-rakan di posting yang lain. Minggu hadapan merupakan minggu terakhir kehidupan kami sebagai Pelajar perubatan tahun empat.


Untuk rakan-rakan yang sudah lulus kesemua posting major, setidak-tidaknya mereka sudah boleh menarik nafas lega kerana laluan ke tahun akhir sudah terbentang luas. Mereka sudah boleh bergembira melakukan elektif di hospital-hospital pilihan hati.


Saya masih berdebar menanti result end posting surgery. Dijangkakan. Minggu hadapan akan keluar result tersebut. Minggu depan juga saya akan berjuang untuk menduduki peperiksaan akhir orthopedic.

Nasib saya masih kelam. Antara surgery dan orthopedic, paling maksimum pun, saya dibenarkan untuk fail hanya salah satu sahaja darinya memandangkan O&G sudah gagal. Hanya maksimum fail dua posting sahaja dibenarkan untuk remedial. Sewaktu remedial pun, nasib masih belum tentu menyebelahi diri lagi.


Jiwa saya meronta, batin saya menjerit.


“Aku tidak ingin mengulang tahun empat, aku ingin masuk ke tahun akhir dan grad mengikut masa yang dijangka. Aku mesti dapatkan M.D pada April 2011 nanti-InsyaALLAH”


Minggu ini, banyak benar yang dapat saya pelajari samada di wards, casualty mahupun dewan bedah


Beberapa hari lepas, saya sempat menyaksikan seorang master student neurosurgery menjalankan prosedur ‘burr hole and insertion of EVD’ ke atas seorang pesakit berusia 3 tahun di casualty. Melakukan burr hole adalah prosedur biasa yang dilakukan oleh neurosurgeon. Yang menjadikannya istimewa ialah apabila ia dilakukan di casualty. Seorang staff MA ada berkata bahawa sepanjang dia bekerja, tidak pernah tengok orang buat burr hole kat casualty.


Untuk makluman sahabat yang tidak mengambil perubatan, burr hole merupakan prosedur di mana surgeon menebuk tempurung kepala dengan menggunakan gerudi bagi tujuan menurunkan tekanan dalam kepala.


Sayangnya, adik tersebut kembali menemui Ilahi. Beliau menghidap ketumbuhan dalam kepala dan sebelum ini hanya di diagnos sebagai epilepsy.


Seterusnya saya juga berpeluang untuk mengadakan clinical teahing dengan senior consultant orthopedic iaitu Prof Zulmi. Yang memberi kesan dalam diri saya ialah apabila beliau bertanya kepada saya


‘kenapa kamu tidak push pihak berwajib untuk keluarkan formal report patient. Sudah sebulan patient berada dalam ward dan tidak menjalani rawatan semata-mata menunggu keputusan ujian. Walaupun kamu medical student, tetap kena mengambil peranan aktif dalam management pesakit’


Wadah berbisa beliau pada hari itu ialah sewaktu beliau berkata


“Do not wait for the fate to come down, Hunt for it” [Prof Zulmi]


Benar kata beliau. Tidak kisahlah walau dalam keadaan apa sekalipun, tidak sepatutnya kita hanya menunggu takdir bersuara. Kerana apabila tiba masanya, semua itu sudah terlambat. Selagi ada kesempatan dan ruang, maka kita hendaklah bertarung habis-habisan dalam mengejar impian dan harapan kita.


Terima kasih sangat-sangat Prof. saya sangat menghargai kata-kata ini. Seolah ada getaran dalam diri saya sewaktu beliau mengucapkannya. Mungkin kerana keadaan diri saya sekarang ini yang berada dalam dilemma. Antara menanti atau berjuang. Alhamdulillah, saya menganggapnya sebagai petunjuk dari Allah dalam proses saya membuat keputusan dan tindakan terhadap perkara yang bermain di minda saya.


Hari ini, saya diberi peluang untuk ‘scrub’ sebagai 2nd assistant surgeon untuk pembedahan IM Nailing iaitu memasukkan besi kedalam tulang peha yang patah. Mungkin, peranan saya bukanlah penting. Hanya sekadar menjadi tukang angkat kaki, tukang dressing dan suture (x menjadi sebab tangan ketar. Satu suture je dapat). Tapi walaubagaimanapun, saya tetap gembira kerana surgeon tersebut merupakan idola saya. Mungkin sebagai pengubat kekecewaan saya, beliau berkata


“Before you become a good surgeon, you must be a good assistant first.”


InsyaALLAH, walaupun saya tidak berminat dengan Orthopedic Surgery, kata-kata ini akan saya ingat dan sampaikan pada rakan-rakan yang berminat untuk menjadi surgeon.


Sememangnya, lima minggu di Jabatan Orthopedik benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal. Rasanya, saya selalu tertewas apabila kerap kali tertidur dalam seminar.


Antara kesemua posting, rasanya inilah posting yang paling tough sekali pernah saya tempuhi. Maklumlah ada masanya saya turun dari bilik pada jam 8 pagi dan pulang ke bilik pada jam 7 petang.


Ini pun masih belum mencukupi kerana masih terlampau banyak yang belum saya pelajari. Menulis dan merungut di makalah ini tidak akan menyelesaikan masalah ini. Ilmu ini perlu digarap dan bukannya dapat dimasukkan kedalam otak seperti mana memasang perisian computer.


InsyaALLAH, akan saya gunakan masa berbaki ini untuk belajar sebanyak mungkin bagi persediaan exam dan juga kerjaya sewaktu menjadi doctor nanti. Bak kata Dr Eskandar sewaktu teaching tadi


“Our aim is to produce a SAFE DOCTOR. It’s ok if you cannot establish a diagnosis and refer your patient to us. Like this patient, honestly I also don’t know what her diagnosis is. We will do MRI again tomorrow, hoping to see the findings. But, make sure that you have done all the necessary things to be carried out.”


InsyaALLAH! Semua pesanan doctor akan saya ingat dan semat dalam minda saya. Sesungguhnya saya bersyukur kerana dapat belajar di USM ini. Terlampau banyak kenangan suka duka yang dapat saya garap.


Moga semua ini akan mematangkan saya dalam proses untuk menjadi seorang doctor yang ‘safe’ dan ‘outstanding’. InsyaALLAH!


Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah