Wednesday, December 21, 2011

We get hurt too

Doctors are human being. we are not a superhero who can do things perfectly. Even if we are one of the superhero, still nobody can deny the fact that super hero also screw up. Even superman occasionally loses his power or turn rage when meet the green kryptonite.


When things did not turn out to be perfect, we also get hurt. The screaming of the patient, their pain and suffering. We feel it too. Even when we failed to take blood investigation or failed to set IV line, we get hurt too. It stab straight deep to the heart.

Thursday, December 15, 2011

Motivasi buat diri dan teman




Membaca kembali kisah-kisah sewaktu bergelar pelajar perubatan memberikan seribu satu rasa buat diri apatah lagi mengenangkan betapa banyak janji-janji yang tidak mampu untuk ditunaikan. Hasrat untuk menjadi doktor muslim hanya mampu dicapai separuh. Title ‘doktor’ sudah diperolehi tetapi nilai sebagai seorang ‘muslim’ masih belum mampu untuk dicapai.


Betapa diri ini malu dan kecewa memikirkan arah tuju yang semakin kelam. Dunia menjadikan diri ini semakin hanyut.


Semoga catatan-catatan lama sewaktu bergelar pelajar perubatan ini mampu untuk mengembalikan saya kepada satu cita-cita yang pernah dipendam suatu masa dahulu.


Perkongsian ini merupakan catatan-catatan lama saya yang penuh suka dan duka. Kebanyakannya sudah pun diluahkan melalui blog peribadi ini tetapi ia diolah semula dalam bahasa yang lebih baik. Semoga mereka yang bercita-cita untuk menjadi doktor, sedang mempelajari ilmu kedoktoran akan mendapat manfaat darinya.


Semoga diri saya sendiri akan mendapat satu momentum dalam menjalani kehidupan seharian sebagai seorang doktor. Semoga impian untuk bergelar pakar perubatan kecemasan dan trauma akan tercapai.


insyaALLAH


Monday, November 21, 2011

The day i got Pissed off



Bismillahirrahmanirrahim....

Sukar untuk memerah minda bagi melahirkan satu tajuk yang sesuai bagi menggambarkan sebuah perasaan yang menghantui jiwa yang sedang bergelora. Namun, tidak satu pun ayat yang sesuai dalam bahasa melayu yang mampu dipahat.

Satu kisah yang sudah lama berlaku tetapi tidak mampu untuk diabadikan di slot penulisan tersayang ini dek kerana kesibukan bergelar seorang Houseman.

Hari pertama di Gynecology ward memang cukup mencabar minda dan jiwa. Biarpun sudah bergelar ‘senior’ untuk posting O&G tetapi saya masih jauh junior untuk ward gynaecology. Pastinya ia cukup memeritkan bagi first poster seperti saya.

Dengan pesakit yang datang melimpah ruah bagaikan menyambut pesta agung, ward penuh hingit bingit yang menambahkan sakit di kepala. 37 orang pesakit dan saya hanya berdua bersama seorang houseman lagi.
Saya yang masih ‘baru’ benar-benar mengalami kejutan budaya hingga gagal untuk berfungsi. Pagi-pagi lagi terpaksa datang untuk membancuh ubat chemotherapy mengikut regim yang telah ditetapkan; Carbotaxel, single agent carboplatin, Paclitaxel-Cisplatin!

Di sini, kami yang membancuh sendiri ubat chemotherapy setelah membuat perbincangan dengan pakar dari Hospital Likas dan seterusnya memberikan kepada pesakit. Bukan sahaja ubat chemo, tetapi rehydration pesakit juga perlu dijaga. Hari itu, saya terpaksa menyediakan chemo untuk empat orang pesakit dan jumlah masa untuk chemo adalah sehingga malam.

Hanya beberapa admission dan begitu sedikit sekali tambahan ward work yang saya lakukan disebabkan culture shock dan stress.

Memang saya betul-betul gagal berfungsi. Semua gara-gara stress. Segala kerja tidak menjadi walaupun ia adalah sesuatu yang rutin dilakukan. Saya gagal untuk memasang IV line seorang pesakit yang memerlukan transfusi darah. Empat kali dicucuk tetapi gagal walaupun uratnya bagai seorang body builer yang menayangkan tubuh kentalnya.

 Kesian pula rakan houseman yang turut terpaksa menyediakan OT list, mengikuti round bersama specialist, menghadiri mesyuarat pagi. Kemuncak kepada keadaan, segalanya menjadi tidak terkawal. Ada pesakit ectopic pregnancy yang memerlukan pembedahan segera, pesakit yang tiba-tiba tidak stabil kerana intra abdominal abscess disebabkan pelvic inflammatory disease. Houseman tagging terpaksa ditarik untuk membantu clerk new admission.

Ditengah stress yang melanda, staff nurse pula memanggil untuk mengambil consent bagi pesakit yang datang untuk BTL “ikat salur peranakan”. Darah saya menggelegak apabila mengetahui yang pesakit tersebut hanya berusia 28 tahun dan tidak mempunyai masalah kesihatan yang membenarkan BTL dari segi syarak. Tambahan pula, banyak lagi kaedah merancang kehamilan yang ada tetapi pesakit berkeras untuk BTL. Berbuih mulut berceramah tetapi tidak diendahkan.

“Kamu kalau nak BTL, kamu cari doktor lain untuk tandatangan borang keizinan pembedahan. Saya tak mahu tanggung dosa kamu”

Akhirnya meletus juga kemarahan yang dipendam sebegitu lama. Itulah detik untuk buat kali pertamanya saya buat pasal di O&G. Saya refuse untuk clerk pesakit tersebut dan tugas tersebut akhirnya terpaksa digalas oleh rakan setugas.

Mungkin tindakan itu tidak professional tetapi prinsip yang dipegang lebih bermakna. Atau mungkin saya sebenarnya tidak kisah dnegan pesakit tersebut tetapi stress menyebabkan saya berbuat demikian?

Saturday, November 19, 2011

Panahan Beracun

Panahan beracun,
tajam menusuk pandangan,
bisa memekar di hati,
hingga akal mula menggila
jiwa semakin kosong

Bahaya sengaja di cari,
sudah di tahu akan muslihat,
namun tetap diredah,
kerana nafsu semakin menggila,
racun terasa manis

Langkah demi langkah,
racun semakin berkuasa,
memamah setiap urat daging,
hingga akur pada bisikan syaitan
lantas meninggalkan penawar abadi

TUHAN semakin di lupa,
cinta AGUNG mula dibuang,
bukti diri menjadi CELAKA
kerana panahan racun berbisa,
disebalik senyum seorang gadis.

Friday, November 18, 2011

Di Syurga Dunia


Syurga dunia,
sedang asyik membelai rasa,
dikaburi nikmat bahagia,
hingga dilupa segala cita
cinta agung mula ditinggal,
redup segala mimpi
segalanya hanya dusta.

aku terperangkap di liku noda,
terheret ke pangku durjana,
mengintai di balik dosa,
tertanya apa mampu aku bolos,
rimas akan lemahnya diri,
sentiasa tenggelam dalam pelukan syaitan
seakan tiada hari esok,
ingin terus terasa asyik.

impian semalam masih subur,
tapi hanya sekadar cebisan,
seperti titis air lautan,
masin nya masih ada,
terasa dibibir, ditelan hilang,
seperti gelas kaca terhempas di lantai,
mungkinkah itu aku di syurga dunia.

Stuck in the middle of heaven and hell,
in a self destruction mode,
hoping to revive
as the journey still far aheaad.

Jacknaim
Taman Ria 7, Sabah



Tuesday, November 1, 2011

Berkuburkah Sebuah Impian


Kelam pagi di Lautan Pelabuhan Tawau


Kenangan sewaktu di alam pengajian menerawang ke dalam jiwa. Lima tahun berada di alam kampus menjadikan diri ini yang baru tiga bulan bergelar doktor tunduk malu. Betapa berbezanya diri ini diwaktu dulu dan sekarang.

Segala janji di waktu silam seakan datang menuntut diri yang menjadi semakin munafiq ini untuk mengotakannya. Betapa banyak ikrar yang dilafaz seakan tergantung tanpa bertali. Warna sebuah impian juga semakin pudar.

Jika dulu ada teman-teman yang menemani dan memberikan nasihat saat kaki mula menyimpang dari landasan yang lurus. Keteguhan tekad dalam perjuangan sentiasa diperbaharui dengan adanya sesi-sesi diskusi dan usrah.

Kini, tiga bulan hidup tanpa adanya perbincangan agama atau tazkirah dari murrabi tercinta tentang bagaimana harus jalan yang serba mencabar ini patut dilalui menyebabkan diri semakin lemas. Kehidupan yang agak bebas dan banyak pula lubang-lubang maksiat begitu kuat menguji iman. Entah berapa lama diri ini mampu bertahan.

Ikrar untuk menjadi doktor muslim seakan terkikis. Sewaktu bergelar pelajar perubatan, bisa pula diri ini memberikan nasihat buat pesakit yang dilihat semakin menyimpang dari kehidupan islam. Keluhan rasa pesakit dibalas dengan motivasi untuk mereka bangkit dari kegelapan.

Tapi kini. Entah berapa ramai pesakit yang datang kerana cuba menggugurkan anak akibat hubungan yang tidak diredhai/ berapa banyak pesakit muslim yang mengaku diri berzina dengan ramai pasangan, yang minum arak dan sebagainya. Pernahkah aku menasihati atau menegur mereka?

Kesibukan bekerja serta penat menjalani kehidupan seharian bagaikan membuatkan lidah ini terasa berat untuk menuturkan kata-kata hikmah. Hanya penyakit fizikal yang menjadi keutamaan untuk dirawat dan bukannya penyakit rohani.

Mana  bisa aku merawat rohani yang terluka andai jiwa ku juga semakin membusuk. Aku juga sedang menanti saat untuk rebah walau setiap saatku berdoa agar aku tidak tertewas dengan perangkap syaitan. Namun sampai bila aku mampu bertahan? Aku semakin jauh dari Sang Pencipta………

Thursday, October 27, 2011

Di Mana Esok ku


Dulu,
Keinginanku membara,
Cita-citaku semarak,
Tekadku cukup utuh,
Hasratku terbilang.




Kini,
Api cita mula memadam,
Rasa yang tersimpan mula hilang,
Tekad semakin terhakis,
Hampir rebah menyembah bumi.




Esok,
Ke mana haluanku dikemudi?
Mampukah aku menyuburkan rasa,
Samakah aku seperti yang diimpi,
Berseri atau pudarkah warna cinta.




Sampai bila aku mampu bertahan,
Tidak ingin ku hancurkan semua,
Telah ku bina acuan idaman,
namun cela yang bertandang,
pada sebuah ukiran semalam.



Mengimbau cita lama, merisik hari esok,
sambil menantikan risalah CTG
27/10/11
4.00 am
Labour Room
Tawau General Hospital

Saturday, September 24, 2011

Merindui Zaman Bergelar Pelajar

A place where i currently belongs to



Bismillahirrahmanirrahim.....

Kesibukan bertugas seringkali membantutkan rancangan saya untuk menulis sesuatu di blog kesayangan ini. andai ada masa terluang barang seminit dua, pasti saya lebih cenderung  memilih untuk menyantuni mata yang mengantuk serta mengembalikan semula tenaga yang berkurangan.

Hampir dua bulan bertugas di bahagian perbidanan dan sakit puan sedikit sebanyak mengajar saya erti kehidupan sebenar. Kehidupan yang kini menjadi sebuah realiti kepada cita-cita menggunung untuk bergelar seorang doktor.

Ternyata realiti ini jauh tersasar dari harapan sewaktu bergelar pelajar. Betapa title seorang doktor kini hanyalah kecil sekali nilainya.

Sewaktu bergelar pelajar tahun akhir, pernah seorang pensyarah mengingatkan saya dan rakan-rakan. Kata beliau;

“Kamu sekarang di tahun akhir mungkin berada di hierarki paling atas berbanding junior-junior kamu. Tapi apabila kamu menjadi houseman nanti, kamu berada di kedudukan yang paling bawah sekali. Malah, jururawat juga lebih tinggi kedudukannya berbanding kamu.”

Kata-kata beliau itu ada benarnya. Bayangkan, seorang doktor yang baru keluar dari universiti, yang mempunyai ilmu pengetahuan umpama setitis air mandian yang melekat di kuku terpaksa memulakan tugas dalam suasana yang mempertaruhkan  nyawa seorang manusia. Setiap hari dilalui dengan penuh rasa azab kerana bimbang melakukan kesilapan yang bisa meragut nyawa yang menjadi anugerah berharga dari Allah.

Apabila tiba di satu saat, kita tidak mampu untuk membuat satu keputusan walaupun ia hanyalah perkara yang remeh temeh. Staff yang lain pula mendesak agar melakukan kerja dengan lebih pantas sedangkan diri tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Di saat mempunyai keyakinan berbekalkan sedikit ilmu yang pernah digarap, kredibiliti diri pula dipersoalkan staff hingga diri terasa seperti betul-betul tidak berguna. Akibatnya, keyakinan diri semakin berkurangan dan potensi diri kembali terkubur di dalam peti emas yang begitu kemas berkunci.

Tekanan bekerja seringkali menyebabkan hati ingin menangis dan kaki seolah-olah ingin mengatur langkah seribu. Terasa seperti ingin berlari sejauh-jauhnya kerana suasana begitu getir sekali. Namun, amanah yang terbeban menjadi satu benteng yang menghalang diri dari melarikan diri.

Sewaktu bergelar pelajar perubatan, saya begitu teruja sekali apabila terdapat kes-kes menarik ataupun kes-kes emergency yang mampu mengalirkan adrenaline ke seluruh tubuh. Seronok benar saya menyaksikan para doktor bertungkus lumus menyelamatkan nyawa pesakit.

Tapi kini, apabila diri berada di tempat mereka, saya hanya mampu berdoa agar pertolongan segera sampai dan berharap agar pesakit tidak mengalami risiko kesan dari limitasi diri.

Betapa saya merindui zaman bergelar pelajar di mana saya bebas belajar tentang sesuatu kes tanpa perlu memikirkan tentang tanggungjawab. Andai pesakit mati sekali pun, pasti ia akan menjadi pengajaran buat saya kerana dapat membuat konklusi mengapa ia berlaku.

Tapi kini, semestinya ia sangat menakutkan dan tidak mahu langsung ia berlaku. Jika pesakit mati, pasti ia akan di audit. Andai berpunca dari kesilapan diri, maka rekod perkhidmatan akan tercalar. Paling menakutkan adalah apabila terpaksa berhadapan dengan mimpi ngeri apabila pesakit meninggal disebabkan diri kita.

Semoga saat itu tidak berlaku pada diri saya!

Wahai TUHAN, ketahuilah walaupun diriku semakin jauh dariMU, aku semakin terbuai dengan kesibukan dunia, namun hasratku cukup jelas dalam menjadikan profession ini sebagai wadah untuk ku berbakti dengan agamaMU. Bantu aku untuk menempuhi jalan ini sebagai seorang doktor yang selamat, competant, mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, amanah, dedikasi dan bersemangat untuk belajar demi untuk kebaikan pesakit dan profession ku.

Buat pelajar perubatan yang ada di luar sana, dengarlah nasihat seorang doktor yang baru bertatih dalam bidang perubatan ini. gunalah masa yang ada untuk mempersiapkan  diri bagi menghadapi medan peperangan yang serba mencabar ini. lengkapkanlah diri anda dengan ilmu, skill dan hati seorang doktor. Pesakit sedang menantikan seorang doktor yang benar-benar mempunyai jiwa seorang perawat yang kompetant. Jika boleh, diri ini juga ingin kembali menjadi pelajar perubatan kerana merasakan masih banyak lompang kekurangan diri.
Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah