Saturday, May 28, 2011

Usah Cemburu, Bersyukurlah!

gambar hiasan dari blog ini [klik]


Redhai kegembiraan sahabatmu, jangan ditanggung rasa cemburu kerana ia kan membengkak dihati dan memperbesarkan hasad lantas menjauhkanmu dari nikmat Allah.


Alangkah seronok menjadi dirimu. Kau ada segalanya yang aku inginkan. Sedang aku tidak punya apa-apa yang bisa menggembirakan hatiku.


Mengapa Allah tidak mengurniakan kurniaan itu padaku dan sebaliknya memberikannya padamu!


Sungguh kau tidak adil wahai Allah!


Berhenti!


Usah kau layan bicara hati yang mula untuk mengelincirkanmu dari landasan keimanan. Di saat kau meratapi tiadanya nikmat TUHAN padamu, maka kau menerbitkan rasa cemburu pada bahagianya sahabatmu itu.


Jangan dibiarkan rasa cemburu itu menyebabkan kau bersifat hasad pada sahabatmu itu. Ingatlah bahawa Allah mengurniakan sesuatu yang diperlukan hambanya. Itu pun menjadi ujian yang pasti akan dihitung di setiap masa nikmat itu bersamanya. Malaikat di bahu tak kan penat mencatitnya.


Kenanglah nikmat yang telah Allah kurniakan padamu. Hanya satu diberikan pada sahabatmu sedangkan berpuluh lagi sudah berada dalam genggamanmu. Tanpa kau sedari, itulah kurnia Allah padamu yang benar-benar memerlukannya.


Bersyukurlah!


Kerana nescaya Allah akan mengurniakan rahmat padamu dan menambahkan rezeki mu dari sudut yang tidak kau ketahui.


Dan jangan sesekali kau lupa bahawa syaitan senantiasa menantikan saat kau tergelincir dari mensyukuri nikmat Allah dan mencipta hasad. Kerana kau pasti menjadi temannya tanpa kau sedari.


Subhanallah!

Friday, May 27, 2011

Berjuanglah Walau Di Medan Kekalahan

Gambar hiasan diambil daripada blog ini [link]


Allah sukakan orang yang berusaha. Oleh itu berusahalah walau kau sudah mengatahui bahawa dirimu sudah gagal. Tonjolkan dirimu dan teruskan bertempur dalam medan perjuangan yang kau diyakini akan kalah. Usah mudah kau berkata tidak dan ingin berundur kerana itu hanya layak diungkapkan oleh si pengecut. Andai kau bertempur, walau kau ditakdirkan kalah namun kau masih ada peluang untuk berjaya kerana beraninya engkau mencuba. Namun, andai kau memilih untuk menjadi se pengecut dan lari dari perjuangan maka selayaknya kau memang akan gagal.


Si bijaksana ada menyebut, andai dikau tahu besoknya adalah hari kiamat, maka bertanilah kamu.


Subhanallah!


Indah sungguh sebenarnya ajaran Islam ini. Setiap sudut darinya mempunyai motivasi yang cukup banyak sekali. Dengar sahaja bunyi azan yang berkumandang. Paling kurang, lima kali sehari kita diseru untuk menuju kepada kejayaan.


Muslim yang cemerlang adalah mereka yang berjaya di dunia dan akhirat. Berjaya di dunia sebagai engineer, doktor, peguam mahupun menteri tetap menjadi jaminan untuk mengejar syurga Allah andai tugas dilaksanakan dengan penuh amanah dan selari dengan tuntutan syarak.


Seandai dunia mengecewakan kita, membuat kita tersungkur dan menangis maka usah bersedih dan jangan tergopoh gapah untuk kembali berlari.


Kita manusia yang lemah. Tidak mengapa andai kau ingin menangis sepuasmu. Biarkan air jernih itu mengalir membasahi pipimu. Iringi ia dengan sebuah doa memohon pada Allah agar tangisan itu menjadi sumber kekuatanmu.


Selepas itu, sapulah air matamu dan berdirilah bagaikan pahlawan yang gagah. Setelah kekuda mu disusun kemas maka aturlah langkahmu untuk berjalan dan akhirnya berlari untuk mengejar cita-citamu.


Andai kau menerima berita awal kekalahanmu di medan perjuangan maka usahlah kau ragukan dirimu untuk terus berlari. Teruskan mengakat senjata apa pun yang masih tersisa dan teruskan perjuangan. Kerana kau masih mempunyai peluang untuk merubah pengakhirannya.


Namun andai kau terus mengalah, maka selayaknya engkau jatuh tersungkur dalam kehinaan dan kekallah engkau sebagai pengecut.



Pintu Yang Berkunci Itu.

gambar hiasan dari website ini [klik]



When one door of happiness closes, others will open. But it's hard to move to another door as we are uncertain whether the closed door is locked or not. Sometimes, there's still a hope to open it. It’s just a matter of time and willingness to taste the suffering.


Setiap kegembiraan yang berlaku dalam hidup pasti meninggalkan satu kenangan yang cukup indah dalam hati. Andai diberi peluang dan ruang, pastinya kebahagiaan itu ingin sentiasa dibiarkan kekal menemani hari-hari yang berlalu.


Namun seperti mana hari yang didatangi hujan di pertengahannya, kegembiraan juga tak lekang dari diuji dengan derita.


Alangkah pahitnya derita itu kerana selama ini kita sudah biasa akan manisnya sebuah kegembiraan. Lantas, sebolehnya kita tidak mahu diuji dengan derita.


Sangka kita, pintu kebahagiaan itu hanya tertutup kerana ditolak angin lembut yang membuai indah untuk memberikan sedikit cubaan pada sebuah kehidupan.


Dan kita mencuba untuk membukanya kembali tetapi hampa apabila ianya berkunci rapat. Lama kita menanti di hadapannya. Menanti agar keajaiban berlaku kalau-kalau kunci emas turun dari langit dan membantu kita membuka kembali pintu kebahagiaan itu.


Keenggangan untuk berundur ada masanya menanam satu janji palsu yang pastinya menipu diri sendiri. Namun, beratnya untuk berundur adalah kerana sangka kita, masih ada harapan untuk membuka pintu tersebut. Hanya sedikit derita dan kesabaran diperlukan dalam menghitung hari-hari yang berlalu.


Mungkin inikah yang dikatakan sebagai cinta!


Tidak jemu berharap demi menantikan kembalinya bahagia yang hilang. Walaupun di saat itu banyak pintu-pintu lain yang terbuka luas untuk meraikan kedatangan seorang tuan yang akan menjadi pemerintah kepada harta-harta bernilai di sebalik pintu tersebut.


Mengapa tidak sahaja dilupakan pintu yang tertutup itu? Andai berundur itu lebih baik maka mengapa harus diseksa lagi jiwa yang sedang merintih kepiluan itu.


Raikan hatimu untuk mengejar kegembiraan lain yang sedang menanti. Beralihlah pada pintu yang sedang banyak terbuka itu. Kerana salah satu darinya pasti tak kan menghampakanmu.

Tuesday, May 24, 2011

Gelombang Selamatkan Anak Muda Kita

gambar hiasan: sumber KOSMO


“Saya kurang bersetuju dengan abang Na’im. Statistik menunjukkan bahawa 60% kerosakan remaja pada hari ini adalah berpunca daripada kegagalan ibu bapa mereka dirumah.”, seorang peserta hari keluarga di program NGO yang saya hadiri memulakan hujah beliau dengan menyambung perbahasan isu yang saya kemukakan.


Saya terdiam seketika. Dalam hati ada perasaan kagum dengan keberanian anak muda berusia16 tahun itu dalam berhujah. Namun, sedikit sebanyak saya juga kaget apabila nama saya disebut. Barangkali saya yang tersasul semasa memulakan hujah atau adik itu yang tersilap dengar ucapan saya.


Dalam ucapan saya itu, saya tidak menyentuh siapa yang harus dipersalahkan atas kebejatan anak-anak remaja kelantan pada masa kini. Akan tetapi, saya lebih menekankan aspek pencegahan dan proses untuk merawat kerosakan yang telah berlaku. Juga apa tindakan kita dalam menangani isu ini?


Saya ceritakan beberapa pengalaman peribadi di mana anak-anak muda berpelukan tanpa segan silu di kawasan perkelahan Jeram Linang walaupun tempat itu merupakan tempat awam. Mereka bergurau senda bagaikan Si Romeo dan Juliet yang sedang galak bermadu asmara.


Ini belum ditambah lagi isu maksiat di sepanjang airport Pengkalan Chepa, gadis-gadis IPT yang diangkut mat-mat motor di malam hari, kewujudan kedai pelayan, kedai shisha, Dan beberapa masalah lain remaja


Saya bangkitkan isu ini adalah kerana kerana NGO yang menganjurkan program ini merupakan NGO yang agak berpengaruh dan ditambah pula dengan hubungan baik mereka dengan kerajaan negeri Kelantan.


Dua tahun dahulu, saya pernah meluahkan isi hati ini terhadap isu yang sama kepada NGO belia di Kelantan. Namun, mungkin kekurangan tenaga penggerak, ia tidak dapat dilaksanakan.


Kelantan yang diterajui oleh golongan ulamak tidak seharusnya meminggirkan golongan belia ini dengan membiarkan mereka terus hanyut dibuai keseronokan hedonisme. Mereka harus diselamatkan dengan segera.


Seperti mana Suharto pernah berkata, “berikan aku sepuluh orang pemuda, nescaya aku akan goncangkan dunia ini.”


Kata-kata suharto menaikkan semangat orang yang mendengar namun masih belum mampu mencapai momentumnya. Namun sejarah islam menunjukkan banyak sekali anak-anak muda yang berjaya menegakkan agama.


Ashabul Kahfi, Sultan Muhammad Al Fatih, Sallahuddin Al Ayubbi, Nabi Daud A.S, Saidina Ali A.S merupakan figur-figur yang tidak asing bagi kita.


Untuk kembali pada zaman kegemilangan tersebut, kita perlu memaksimumkan segala tenaga anak muda yang kita ada. Dengan kuasa yang ada pada kerajaan negeri, gerakan pemulihan harus dilaksanakan.


Andai ibu-bapa gagal mendidik anak-anak di rumah, saya menyarankan agar di adakan kem-kem pemurnian ibadah dan akidah serta akhlak. Pemuda-pemuda yang ditangkap atas kesalahan moral harus di tahan dan ditimbulkan kesedaran agar mereka kembali berpijak pada bumi yang nyata.


NGO Islam di Kelantan yang fokus dalam tarbiyyah remaja patut diberikan inisiatif walaupun Kerajaan Negeri mempunyai dana yang cukup terhad dalam mentadbir negeri. Saya sendiri terkejut apabila anak-anak muda lepasan SPM yang berminat dengan gerakan Islam tidak pernah mendengar nama-nama NGO yang membuka ruang untuk mereka berkhidmat.


Dan saranan saya juga adalah supaya NGO hari ini berhenti memikirkan survival politik mereka untuk merebut ahli jemaah dan sebaliknya mereka harus memaknakan sebuah perpaduan. Mereka juga tidak wajah berebut modul-modul yang telah dikuasai oleh NGO lain. Sebaliknya bekerjasamalah demi untuk mencapai matlamat yang lebih besar.


Gelombang perubahan harus sentiasa dibiarkan mengulit ombak!


Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah