Tuesday, June 28, 2011

Apa Niat Sebenar Untuk Tulis Buku?


“ Biasanya kita tak perlu keluarkan modal. Lepas penerbit setuju untuk terbitkan buku kita, mereka akan bayar royalti 10%. Kalau kita jual sendiri, dapat la untung sedikit sebab mereka akan jual kepada kita dengan potongan harga 35%”


“Wah sedikit nya! Tak untung juga la kalau macam ni Bro. Macam mana nak cari makan macam ni!”


“Bergantung atas niat kita la Bro. Kenapa kita nak tulis buku? Adakah sebab duit atau kita nak mesej itu sampai kepada masyarakat! Saya tulis buku sebab nak mesej tu sampai kepada masyarakat!”


Saya tersentap dan terdiam sewaktu berbicara dengan seorang rakan saya melalui telefon tentang perihal bagaimana cara untuk menerbitkan buku.


Sahabat saya ini sudah pun menerbitkan buah tangan pertama beliau dan kini sedang menantikan penerbit buku untuk menerbitkan buku keduanya pula.


Kebelakangan ini saya sedang berkira-kira untuk menulis buku juga. Mungkin sebagai satu perkongsian dengan mereka yang bercita-cita untuk menjadi doktor agar mereka dapat menyelami kehidupan sebenar seorang pelajar perubatan.


Saya sudah pun menjejak kembali catatan-catatan sewaktu saya bergelar pelajar perubatan dan sudah pun siap 50% buku tersebut. Oleh itu, saya mendapatkan nasihat rakan saya mengenai cara-cara untuk menerbitkan buku.


Perbualan saya dengan sahabat saya itu sedikit sebanyak membuka minda saya dan membuatkan saya tertanya kembali apa niat saya untuk menulis buku. Adakah untuk mengaut keuntungan ataupun untuk memberi sebanyak-banyaknya kepada masyarakat.


Saya teringat kembali perbualan dengan seorang lagi sahabat dan guru saya yang sudah pun menerbitkan beberapa buah buku. Katanya, kalau hendak dapat untung banyak maka kena berani keluarkan modal sendiri untuk publish dan cetak. InsyaALLAH pulangan lagi banyak.


“Bila Bro dah siap buku bro tu, hantarkan proposal kepada penerbit buku. Tengok mereka berminat atau tak dengan cadangan buku tu. Kalau mereka berminat, bro kena hantar manuskrip dan soft copy buku bro tu. Mereka akan edit, design dan publish. Bergantung atas kekosongan masa mereka. Paling cepat, sebulan boleh keluar buku bro tu.”


Ini adalah kali kedua saya cuba untuk menulis buku. Cubaan pertama adalah dengan menulis novel yang hanya berhenti di tengah jalan. Dan kali ini pula adalah buku yang berbentuk catatan sepanjang menjadi pelajar perubatan. Kini juga hampir separuh jalan?


Patutkah saya terus menulis ataupun tidak? InsyaALLAH saya akan terus menulis. Ada orang nak beli atau tak itu soal kedua. Laku atau tak, campak jauh-jauh. Yang penting saya ada sesuatu yang boleh dikongsikan dengan masyarakat.


Yosh!

Sunday, June 26, 2011

Biasa Bagi Kita, Tidak Pada Yang Lain



“Eleh, benda macam tu pun nak tulis”

“Bajet ah! Aku dulu buat benda tu lagi awal, lagi banyak”

“Haih, menunjuk betul, modal riak la tu nanti!”


Itu adalah antara frasa negatif yang biasa dikomen samada melalui lisan, penulisan mahupun sekadar dipendam dalam hati oleh sebilangan kecil dari kita apabila membaca hasil penulisan individu.


Secara jujurnya, saya juga pernah mempunyai pemikiran negatif sedemikian dan turut mengalami masalah untuk membuangnya jauh dari diri.


Kata-kata begitu sebenarnya turut menjadikan kita riak dan angkuh kerana tanpa disedari, kita sebenarnya merasakan diri lebih baik dari orang lain.


Lantas, kita membina satu tembok besar mengelilingi hati kita hingga tidak mampu untuk ditembusi dengan nasihat.


Kita sentiasa betul!


Dalam jangka masa yang panjang, kita bakal menjadi kera sumbang yang hidup dengan dunia sendiri dan tidak pandai untuk bergaul dengan masyarakat. Segala perangai buruk tampak indah di mata kita kerana kita tidak membenarkan ruangan kritikan pada diri kita.


Bagi mengelakkan bala yang berlaku, kita seharusnya bersikap lebih optimis dan terbuka. Usaha yang dibuat oleh rakan-rakan kita harus kita hormati sekalipun kita tidak berminat dengannya.


Sekurang-kurangnya, mereka ada satu kelebihan berbanding kita yakni ingin berkongsi dan membantu masyarakat yang memerlukan.


Mungkin bagi kita, ia kelihatan biasa atau terlalu ringkas. Ia bisa sahaja berlaku kerana kita terlebih dahulu mengalaminya dan membina daya ketahanan yang tinggi untuk apa yang telah berlaku.


Kita barangkali terlupa bahawa setiap orang menangani sesuatu masalah dengan cara yang berbeza dan ada di antara mereka yang tidak mampu menangani perkara ‘kecil’ atau ‘biasa’ ini.


Saya suka membaca analogi yang dikemukakan oleh seorang sahabat maya saya di dalam yahoo group kumpulan perbandingan agama kami.


Dua orang yang terjatuh; satu orang dewasa dan satu bayi pasti akan mengalami impak yang berbeda walaupun jatuh di tempat yang sama dan dengan daya yang sama. Orang dewasa bisa sahaja tersenyum kerana tidak sakit. Akan tetapi, adakah wajar untuk kita menyalahkan si bayi yang menangis kesakitan itu?


Kita dan dia berbeda!


Maka usahlah kita dengki dengan mereka. Biarkan mereka terus berkarya dan membantu mana-mana orang yang memerlukan bimbingan itu. Sama-sama kita berusaha untuk mengikis sikap buruk ini dari diri kita.


The greatest discovery of my generation is that a human being can alter his life by altering his attitudes. ~William James.


Ayuh positifkan diri kita!


Sunday, June 12, 2011

Terasa Seperti Ingin Menulis Buku Tapi Laku ker?...

Terasa seronok sekali apabila melihat ramai kenalan sudah pun menerbitkan buku masing-masing. Kagum sungguh dengan kesabaran dan kegigihan mereka.


Bro Shah sudah ada buku “Tanya Bro Shah dan Ask Bro Shah” Bro Lim dan Ust. Amin dah keluarkan beberapa buah buku. Bro Faisal Acheh dan keluarkan “Tuhan Untuk Semua”, Bro Yusammir dengan buah tangannya yang berjudul “Akidah Kita Nyawa Kita”. Dan terbaru Bro Rahmat dan Bro Engku masih dalam proses draf buku tulisan bersama mereka.


Sudah lama saya bercita-cita untuk menulis buku tetapi pelbagai unsur negatif menusuk kalbu. Layak kah aku?, perasan hebat!, bajet laku!, menarik ke isinya? Dan ada orang nak beli ke?.


Sewaktu di tahun satu, saya pernah cuba menulis novel yang diberi judul “Sasaranku langit.” Namun novel itu hanya disiapkan separuh jalan. Berhenti setakat muka surat 120++. Idea banyak tetapi tidak pasti hala tujunya.


Kemudian merancang dengan seorang sahabat yang pakar dalam ilmu berkenaan yahudi untuk merungkai kisah yahudi serta freemason tetapi akhirnya rancangan berkubur.


Sekarang ada cita-cita nak menulis pengalaman sewaktu bergelar pelajar perubatan tetapi takut nanti orang kata bajet bagus pula. Dah la belajar tak cemerlang.


Haih!


Negatif, negatif, negatif...


Sampai bila harus berfikiran negatif ni?


Patutkah aku menulis?

Thursday, June 9, 2011

Jangan Ketawakan Mat Jenin

gambar hiasan diambil dari blog ini [link]


Mat Jenin memanjat pokok kelapa yang licin itu dengan penuh berhati-hati. Didongaknya ke puncak pohonan itu dan dia tersenyum melihatkan bertandan-tandan kelapa menanti untuk dipetik. Dia memanjat dengan lebih pantas hingga akhirnya sampai ke puncak.


Di pegangnya dedaun kelapa dan dipanjangkan langkahnya untuk bertenggek di celahan daun kelapa itu. Dipulasnya sebiji kelapa dari tangkai dan dijatuhkan ke bawah.


Dumm!


Sebiji kelapa jatuh ke tanah. Dia tersenyum melihat hasil usahanya. Dipulas lagi buah-buah kelapa yang lain dan ada masanya dia menggunakan kaki untuk menunjah buah kelapa agar jatuh.


Semakin banyak buah yang gugur ke bumi dan dia semakin teruja. Teruja hingga akhirnya dia memikirkan rancangan untuk menambahkan hasil pendapatannya dan bergelar orang kaya.


Ingin dijualnya buah kelapa sebanyaknya bagi mendapatkan untung buat dijadikan modal bisnes jual telur. Apabila bisnes jual telur berjaya, dia ingin berbisnes ayam, seterusnya lembu dan menjadi saudagar. Setelah kaya raya, dia ingin mengahwini si puteri raja.


Tersenyum lebar Mat Jenin mengenangkan wajah isteri yang dikahwininya. Hatinya melonjak kegirangan dan tanpa disedari dia masih berada di atas pokok kelapa.


Apabila dia menyedari akan tempatnya, ia sudah terlambat. Seperti mana buah kelapa yang dipetiknya tadi, dia juga menyembah bumi dan tersungkur.


Anak-anak kecil ketawa berdekah-dekah mendengarkan cerita Mat Jenin. Betapa seorang pemuda berangan terlampau tinggi di suatu tempat yang tinggi dan akhirnya mati di tempat yang cukup rendah.


Kata si pencerita, “lain kali jangan berangan!”


Orang tua-tua pula berkata, “Rezeki secupak tak kan jadi segantang.”


Maka orang-orang melayu diajar agar tidak berpandangan jauh, kekal di takuk lama dan tidak berani mengambil risiko. Berpuas hati sahaja dengan rezeki yang ada asal cukup makan. Tanpa disedari, harga barangan semakin melambung naik, kadar inflasi menggila lagi dan duit dalam poket cepat sangat kering.


Cerita Mat Jenin tidak harus dipandang sebagai sebuah lawak jenaka semata-mata. Mat Jenin bukan watak untuk diketawakan. Sebaliknya dia harus dipuji kerana wawasannya.


Walaupun bekerja sebagai pemanjat pokok kelapa, namun dia ada impian dan harapan untuk maju dan mengubah nasibnya.


Ia adalah langkah pertama untuk menuju kejayaan. Sentiasa berfikir dan merancang strategi. Itu adalah asas perniagaan. Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan dan semakin lama meningkat maju dengan komoditi yang lebih besar nilainya.


Namun sayang sekali Mat Jenin berangan tidak kena tempat. Sepatutnya dia bersabar hingga turun dari pokok kelapa dan berangan di pondok kecil sambil minum ais sirap sementara menghilangkan penat.


Siapa tahu, dia akan berjaya dan kisah Mat Jenin akan berubah. Mat Jenin tidak mati terjatuh pokok kelapa tetapi dia adalah jutawan dan mengahwini puteri idaman.


Cerita ini harus diberikan perspektif yang baru dimana sikap berfikir sebegini harus kita contohi. Setiap hari kita harus berfikir untuk memajukan diri dan mengintai ruang untuk memperbaiki diri.


Dan angan-angan itu kita jadikan kenyataan dengan usaha bersungguh-sungguh yang tak kenal jemu dan lelah. Biar modal kecil dan tempoh perniagaan kita lama, asalkan akhirnya kita berjaya.


Malah, jika dilihat kejayaan orang-orang kaya dunia sekalipun, ramai antara mereka bermula dengan hidup melarat dan tiada wang. Namun, peluang yang ada tidak disia-siakan hingga mereka akhirnya berjaya.


Jika mereka mampu, maka kita juga mampu. Ayuh kita menjadi Mat Jenin yang berangan di bawah pokok agar terus hidup untuk merealisasikan impian dan cita-cita.


Jangan diketawakan lagi Mat Jenin kerana dia akan benar-benar menjadi Jutawan.


p/s: sekarang ni pokok kelapa pandan semua rendah-rendah. Buat tukir kumpul tuak best jugak nih…..

Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah