Wednesday, July 27, 2011

Aku Mengandung Ke?


Pejam celik pejam celik, saya sudah pun empat hari berada di Sabah. Esok merupakan hari kelima dan InsyaALLAH akan memulakan tagging.


Beberapa hari ini, saya dan dua orang lagi rakan HO baru terpaksa menyelesaikan beberapa urusan seperti memohon dokumen perjalanan terhad dan visa kerja dari Jabatan Immigration, urusan lembaga hasil dalam negeri dan juga orientasi hospital.


Selain itu, perkara lain yang harus dipertimbangkan temasuklah tempat tinggal, pengangkutan dan logistik yang lain. Banyak yang masih belum selesai. Mencari rumah sewa bukan lah sesuatu yang mudah kerana kebanyakan rumah terletak agak jauh dari hospital. Paling dekat mengambil masa 10 minit perjalanan dengan kereta.


Buat masa sekarang, saya hanya menumpang buat sementara waktu di rumah seorang senior USM yang juga merupakan HO di sini. Alhamdulillah, ada tempat tidur pun cukup walaupun tidak selesa dengan beralaskan lantai dan kusyen. Quarters yang disediakan pula hanya untuk dua minggu dan kurang keperluan asasnya.


Beberapa hari ini, saya mengalami sedikit masalah dengan makanan di sini. Entah mengapa setiap kali makan, saya pasti akan berasa loya-loya. Walaupun menikmati hidangan lazat tersohor seperti Nasi Goreng Lalap dan Nasi Ayam Penyek, perut saya tidak mampu untuk menerimanya dengan baik.


Semalam sahaja saya mengalami demam teruk dan bangun muntah-muntah pada jam 1 pagi. Malam ini, saya tidak menjadi diri sendiri. Saya yang sebelum ini terkenal dengan sikap anti dengan mereka yang tidak menghabiskan makanan dalam pinggan dan membazir turut melakukan perkara sama. Nasi yang tersentuh tidak sampai suku pinggan dan lauk pun hanya disentuh beberapa cubit. Tatkala makanan masuk ke mulut, pasti terbau benda pelik dan terasa loya.


Saya tidak tahu adakah saya dalam proses adapatasi atau sedang mengalami apa-apa penyakit serius. Ia sebenarnya sudah bermula sewaktu saya berinduksi di Kampar lagi. Usai makan, pasti merasa loya.


Namun yang pastinya, saya tidak mengandung walaupun saiz perut saya setaraf dengan ibu-ibu yang sudah pun mencapai term pregnancy.


Wallahu’allam saya tidak tahu sehingga bila masalah ini akan berlanjutan. Atau mungkin juga ada hikmah di mana saya dapat menguruskan badan nanti. Hanya Allah yang mengetahuinya.


Semoga Allah mengurniakan yang terbaik buat saya untuk membina karier di sini. Pinta saya agar dapat menjalani latihan housemanship ini dengan penuh disiplin, bersemangat untuk belajar dan rajin mengulangkaji. Pohon saya agar peluang ini dapat menjadi satu jalan untuk merintis cita-cita yang tersemat di dada. Mungkinkah saya dapat mencapai cita-cita saya sebagai seorang pakar perubatan kecemasan nanti?

Tuesday, July 26, 2011

Hidup Baru


Warga USM yang berkhidmat di Negeri di bawah bayu. credit picture to Azizi S.


Flight Boeing 737-400, penerbangan MH 1405 mula meninggalkan Lapangan Terbang Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada jam 8.20 malam setelah terlewat hampir setengah jam. Tidak tersangka-sangka, rupa-rupanya pemandangan malam bandar kubang kerian dan Kota Bharu sungguh cantik sekali dihiasi dengan lampu-lampu yang kelihatan memberikan corak tertentu bagaikan menghadiahkan satu kenangan terindah buat pemudanya yang tegar hatinya untuk meninggalkan kampung halaman bagi merantau menimba ilmu.


Wajah ibu-bapa, adik-adik dan keluarga menerpa ruang fikiran. Sekilas susuk tubuh mereka yang dapat dilihat sayup-sayup kejauhan dari dinding cermin restoran KFC lapangan terbang, melalui tingkap kapal terbang sedikit-sebanyak menambah cekal di hati untuk memulakan kembara.


Cuaca yang kurang elok disertai dengan pancaran halilintar menemani perjalanan ke KLIA yang memakan masa selama 45 minit. Setelah transit selama setengah jam, perjalanan di sambung pula dengan penerbangan MH2626 untuk menuju ke Kota Kinabalu kerana perlu mendaftar dengan Jabatan Kesihatan Negeri.


Alhamdulillah, perjalanan yang memakan masa selama dua jam tidak mengalami apa-apa masalah. Layanan baik dari krew kapal boleh di puji. Mungkin kerana itu ramai yang lebih menyukai MAS walaupun harga tiketnya yang sedikit mahal. Perut yang berkeroncong disantuni dengan nasi arab, kek pisang dan jus oren. Kenyang sekali!


Saya mendarat di Kota Kinabalu pada jam 12 lebih. Alhamdulillah, kedatangan disambut oleh rakan yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth. Perjalanan dari airport ke rumah beliau memakan masa hampir setengah jam. Sedikit kesal kerana terpaksa mengganggu masa tidur beliau, apatah lagi beliau bertugas pada keesokan harinya.


Kota Kinabalu


Hari pertama kembara berlangsung dengan agak kurang enak kerana terlepas waktu Subuh. Maklumlah, sudah biasa bangun pada jam 6.20 pagi di rumah. Selesai mandi dan solat pada jam 6.45, hari masih lagi gelap di kampung halaman.


Tetapi disini, burung sudah pun penat berkicau pada jam 6.30 pagi. Cahaya mentari sudah mula memancar dengan garang dan kereta sudah memenuhi jalan raya memandangkan pemandunya harus segera ke pejabat atau ke mana-mana tempat kerja mereka.


Saya segera bersiap dan kemudiannya bersama rakan ke Rumah Persekutuan untuk mendaftar diri. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.


Tawau


Perjalanan kami dari Kota Kinabalu ke Tawau adalah dengan menaiki pesawat Airbus, siri penerbangan AK6128 yang dikendalikan Air Asia memandangkan tiket MAS sudah pun habis. Tiket ini juga dibeli di saat-saat akhir dan kami bernasib baik kerana masih mempunyai tempat duduk.


Saya sedikit cemas pada awalnya memandangkan tempat duduk saya telah pun diduduki oleh penumpang yang lain sedangkan nama dalam sistem dan list adalah milik saya. Setelah beberapa ketika, saya menarik nafas lega kerana diberi kerusi yang baru.


Saya baru sahaja melelapkan mata apabila pesawat tiba-tiba bergegar dengan begitu kuat sekali. Gegaran tersebut membuatkan saya terjaga dan mata terus tertumpu pada cermin kapal terbang. Segalanya gelap-gelita dan ia semakin menambah cemas di hati. Akhirnya, cahaya bertandang dan saya kembali tenang. Tersenyum sendirian memandangkan kami rupanya sudah mendarat. Itulah natijahnya jika tertidur. Singkat benar perjalanan ke Tawau ini!


Di Tawau, rakan saya sudah pun sedia menunggu di lapangan terbang. InsyaALLAH. Buat sementara waktu ini saya dan seorang lagi rakan akan menumpang di rumahnya yang terletak betul-betul di hadapan Hospital Tawau. Ia agak menguntungkan dari segi logistik memandangkan masih belum bergaji untuk menyewa rumah baru. Tambahan pula, rumah sewa memerlukan kenderaan memandangkan perjalanan dengan kereta adalah lebih 10 minit. Masih belum mampu lagi untuk memiliki kenderaan buat masa sekarang.


Semoga niat yang tertanam dengan cita-cita membara akan terus menjadi tazkirah buat diri agar tidak terperangkap dengan tipu daya kehidupan disini. Kejauhan dari keluarga, gaya hidup yang agak bebas, kesibukan bekerja dan sumandak-sumandak cantik yang manja pertuturan mereka diharapkan tidak mampu untuk menggoyahkan iman atau menggetarkan satu hasrat yang tertanam dengan kukuh. InsyaALLAH!


Sunday, July 24, 2011

Aku akan Berhijrah......

Bersama sebahagian dari rakan-rakan sewaktu kursus induksi di Grand Kampar Hotel 19-22 July 2011



Bismillahirrahmanirrahim..


Saya yakin anda semua tentu pernah membaca kisah seorang pembunuh yang cuba untuk berubah. Seorang abid menasihatkan dia supaya berhijrah ke daerah yang baru demi untuk merealisasikan impiannya untuk berubah.


Malah, kejayaan kerajaan Islam pimpinan Rasulullah tercinta juga dibina asasnya melalui hijrah umat islam. Hijrah ke Thaif dan hijrah terbesar ke Madinah.


Ternyata, hijrah itu memainkan peranan yang cukup besar sekali dalam kehidupan seseorang. Malah, ia adalah batu locatan untuk mencapaiu tahap yang jauh lebih baik dari keadaan asal.


InsyaALLAH, esok saya juga akan memulakan hijrah yang baru jauh ke seberang laut. Alhamdulillah, saya ditempatkan di Hospital Tawau Sabah bagi menjalani latihan sebagai Pegawai Perubatan Gred UD41. Diantara perjalanan ke semenanjung- tawau, saya akan bermusaffir di Kota Kinabalu bagi menyelesaikan urusan pendaftaran dengan Jabatan Kesihatan Negeri.


Semoga hijrah ini akan menjadikan saya seorang insan yang jauh lebih baik dari hari semalam. Semoga setiap hari yang saya lalui dipenuhi dengan pelajaran yang berguna dari Allah.


Hari yang akan dilalui pasti akan lebih mencabar. Apatah lagi, dengan memasuki alam kerjaya, ini bererti saya akan menggalas tanggungjawab yang lebih besar lagi. Ruang melakukan kesilapan harus diminimumkan agar nyawa berharga kurniaan Allah pada hambanya dapat dipelihara.


Semoga Allah memberikan kekuatan untuk saya menjalankan tugas dengan penuh amanah, berdisiplin dan rasa tanggungjawab bagi menjamin kesucian professyen doktor perubatan yang saya pikul ini.


Pinta saya pada TUHAN agar kami semua doktor-doktor baru dari USM akan dapat menjalankan tugas dengan komited dan dilindungi dari segala cubaan yang boleh merosakkan fizikal mahupun mental kami.


Selamat tinggal kenangan di semenanjung. Semoga diriku yang terbina hasil dari tarbiyyahmu ini bisa membantu aku untuk menempuhi cabaran di sini pula.


Thursday, July 14, 2011

Pelangi Yang Tak Kunjung Tiba

Gambar hiasan dari [link]


Tangan Herwan menggigil semakin lama semakin kuat. Hampir sahaja bungkusan hitam yang dipegangnya itu terjatuh dari tangannya. Dadanya berombak tanda jantungnya yang begitu pantas berdegup bagi menyalurkan darah ke seluruh pelosok sel tubuh yang berada dalam keadaan hyperaktif. Mukanya merah dan hidungnya sedikit berair. Panas terik mentari menyempitkan lagi anak mata hitamnya yang sudah sedia sempit. Hampir sahaja pandangannya menjadi kabur.Langkahan kakinya di hayun dengan pantas menuju ke tandas yang terletak di luar rumahnya. Dia semakin tidak tahan dengan keadaan fizikalnya ditambah pula dengan kecelaruan akal yang dibajai dengan nafsu syaitan menyebabkan dirinya semakin tertekan dan perlu segera menggapai nikmat abadi.


Pintu tandas ditutup dengan kuat dan dia bersila di atas lantai simen. Tidak dipedulikannya andai ada sisa-sisa najis yang tertimpa pada lantai simen itu. Tanggannya pantas meraba plastik hitam yang dikeluarkan tadi. Di ambilnya sebatang lilin dan terus sahaja dinyalakannya. Api lilin semakin marak menyala. Biarpun tidak sebesar mana tetapi kepanasannya bisa sahaja membuat tangan terbakar dan menimbulkan kesakitan yang amat pedih andai tidak berhati-hati dalam mengendalikannya.


Dikeluarkan pula satu sudu dan diisi dengan serbuk bewarna sedikit merah jambu dan sedikit air lalu dipanaskan di atas api lilin yang sudah pun panas membakar. Tangannya yang terketar-ketar itu sedikit-sebanyak menyukarkan pergerakannya. Cecair putih yang menitik keluar dari hidung semakin menambah ketidakselesaan pada dirinya.


Sementara menanti campuran tersebut melebur dan sebati, dia mengingat kembali peristiwa pagi tadi di mana dia kehilangan pertimbangan rasional dan hampir sahaja melakukan satu tindakan yang pasti akan menyebabkan dia menyesal buat keseluruhan hidupnya. Dia yang sudah gian dengan ‘pink’ ataupun dadah heroin jenis 3 sanggup berkasar dengan ibunya bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah tersebut.


Ibunya yang tua dan kurus-kering itu mengaduh panjang apabila ditolak olehnya ketika cuba merampas beg tangan ibunya. Hampir sahaja dia menangis apabila melihat ada darah memercik dari dahi ibunya kerana terhantuk pada bucu meja. Bukan sengaja dia berbuat begitu tetapi ketagihan dadah sudah mengambil alih peranan otaknya. Esakan ibunya tidak dipedulikan sewaktu dia mengebas wang sebanyak RM100 dari tas tangan ibunya.


Bermula dengan niat untuk mencuba dan diterima oleh kumpulan anak-anak nakal, dia terpengaruh dengan pujukan rakan-sebaya untuk mencuba pil kuda. Pil yang dibeli dengan harga RM25 itu dibahagi empat dan dipanaskan di atas aluminium. Dengan menggunakan duit kertas seringgit yang digulung, dia menyedut asap yang memutih persis seekor naga yang sedang sedang mengejar ekornya. Itulah teknik chasing the dragon yang banyak digunakan anak-anak muda untuk menagih pil kuda.


Apabila pil kuda sudah gagal memberikan kepuasan, dia dan rakan-rakan beralih pula kepada heroin yang dibeli dengan harga RM50. Heroin yang siap dipaket dalam straw itu pada mulanya digunakan dengan cara menghidu bahan tersebut yang diletakkan pada ‘snuff box’ diantara ibu jari dan jari telunjuk. Kerana ia semakin tidak memberikan nyaman pada diri, maka mereka beralih pula pada teknik chasing the dragon dan akhirnya memberanikan diri untuk menggunakan kaedah yang amat berbahaya iaitu dengan cara menyuntik dadah tersebut ke dalam salur pembuluh darah.


Kini, keperluannya terhadap najis berbahaya itu semakin meningkat hingga memaksanya melakukan jenayah. Prestasinya dalam pelajaran mula merosot. Dari bergelar pelajar cemerlang PMR, dia akhirnya ditendang keluar dari sekolah tanpa sempat mengambil peperiksaan SPM. Cita-citanya untuk menjadi doktor terkubur begitu sahaja dan dia lebih selesa menjadi doktor yang mencucuk tangan sendiri.


Segala kabel elektrik dan telefon penduduk di potong untuk dijual besi tembaga bahan tersebut. Sekiranya ada basikal buruk atau atap zink di rumah mana-mana penduduk kampung, pasti ia akan dikebas bagi mendapatkan sedikit wang. Apabila tidak cukup, dia sudah mula berani melarikan beg tangan anak gadis yang bekerja di kilang di hujung kampung.


Berkali dia ingin berubah, namun tidak pernah dizahirkan melalui tindakan. Hanya sebuah niat yang sentiasa terpadam dek keseronokan berada di awangan syahdu kesan dari heroin yang disuntik.


Campuran heroin dan air dalam sudu sudah mula sebati dan mendidih. Dia segera menjauhkan sudu tersebut dari api dan membiarkan ia sejuk. Sebaik sahaja sejuk, dia mengeluarkan pula picagari dari bungkusan hitam tadi dan memenuhkan syiringe 3 cc tersebut. Dijentik-jentiknya dinding picagari itu bagi memastikan tidak ada buih-buih di dalam picagari itu. Tahu pula dia bahawa buih itu boleh menyumbat saluran darahnya. Jarum dipasang pada picagari dan dia mula meraba lengannya bagi mencari urat darah. Setelah ditemuinya, disuntiknya jarum tersebut dan dadah celaka itu dimuntahkan ke dalam salur darahnya.


Voosh


Dia mula terasa nikmat. Nafas ditariknya sedalam-dalam dan matanya mula terpejam. Kepalanya yang mula terasa ringan disandarkan pada dinding batu yang sudah mula ditumbuhi lumut hijau. Dia mula terasa khayal dan mencapai kemuncaknya lalu terasing dari dunia nyata. Tahap kesedarannya mula berkurangan dan dia sudah mula menerjah ke alam fantasi.


Dua jam dia khayal sebelum dia mula sedar. Tangannya sudah tidak menggigil dan tiada lagi cecair jernih keluar dari hidung dan mulutnya. Dia segera mengemaskan peralatannya dan mula keluar dari tandas.


Diintainya keadaan rumah melalui tingkap. Kelihatan ibunya sedang duduk di atas tikar sejadah biru sambil mengalunkan bacaan Al-Quran yang penuh syahdu. Kepala ibunya sudah pun berbalut putih. Bacaan ayat suci al-quran yang dibaca ibunya kedengaran tidak jelas kerana diiringi dengan esakan tangis. Air mata bercucuran jatuh dari mata seorang ibu yang tidak menyangka bahawa dia menjadi hamba kepada anaknya yang ketagihan narkoba. Dari kecil anak itu diasuh dan dididik dengan ajaran islam tetapi jalan hitam juga yang dipilih anaknya itu.


Ilmu agama yang diberi tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya itu. Entah di mana silapnya dalam membesarkan anak muda itu. Adakah pergaulan bebas si anak yang menjadi punca dia tersesat walaupun berada dalam terangnya cahaya.


Herwan sudah mula meraih kewarasan akalnya. Kalbunya merintih meminta ampun dari TUHAN. Hatinya hiba mengenangkan perbuatan buruknya itu. Apakah neraka bakal menjadi tempat persinggahan buat anak derhaka sepertinya.


Awan mendung yang sentiasa menyelubunginya memuntahkan titik-titik hujan api yang bukan sahaja memakan fizikalnya tetapi juga hati dan akal-nya. Apakah ada pelangi indah yang akan menerangi hatinya.


Argh!


Dia mengeluh. Keperluannya terhadap heroin sudah makin merunsingkan dirinya. Saban hari dia memerlukan bahan tersebut. Mat yang menjadi pengedar bahan tersebut sudah mula berkira dengan penagih yang membeli bahan tersebut. Hutang sudah tidak dibenarkan dan akibatnya pelbagai jenayah terpaksa dilakukan penagih demi mendapatkan wang.


Begitu mudah sekali dunia ini menjadi hancur apabila anak mudanya semakin hanyut dalam lautan noda. Siapa yang masih boleh diharap untuk memegang tampuk pemerintahan bangsa? Melayu hanya kekal sebagai entiti yang hanya gah bersuara dan cepat melenting.


Apabila bangsa lain mula meraih kekayaan dan menguasai ekonomi negara, mereka mula bising. Apabila politik mula dicatur oleh bangsa lain, mereka bangkit menghunus keris. Apabila bangsa lain mula mengambil peranan memajukan negara, mereka mula berbincang soal perpaduan melayu dan menyemai sikap rasis. Namun, di mana anak melayu yang bisa mengembalikan semula kegemilangan tamadun islam?


Mereka hanya menjadi mayat hidup yang bergelimpangan di lorong maksiat. Andai bukan kerana dadah, mereka sibuk berlumba di atas jalan raya. Si gadis pula tanpa segan silu menjual tubuh badan mereka demi segumpal nota kertas bernama duit. Anak tidak bersalah yang lahir dari perbuatan haram dicampak ke dalam longkang dan sungai persis membaling najis yang tidak berharga. Harimau yang garang itu pun sanggup membelai anaknya dengan penuh kasih-sayang sedang manusia menjadi lebih hina dari binatang. Mungkinkah mereka sudah menanam cita untuk menjadi syaitan.


Herwan menangis sepuas-puas hatinya. Sesal kembali bertandang di hatinya. Hiba mula meraih mercu. Di hantuk kan kepalanya pada dinding rumah nya berkali-kali hingga mengejutkan ibu nya yang bersimpuh di atas sejadah.


Herwan tidak sanggup menatap wajah ibunya sewaktu orang tua itu menjengukkan kepala dari pintu. Dia pantas mengatur langkah dan berlari pergi. Lariannya semakin kuat tanpa sedikit pun menghiraukan panggilan ibunya. Sejahat mana pun seorang anak, si ibu pasti masih tetap menyayanginya. Itu kasih tanpa syarat seorang ibu.


Suara ibu semakin hilang dari pendengaran Herwan. Lariannya masih tetap pantas sedang akalnya diterawang rasa bersalah. Fokusnya pada larian sudah hilang.


Di suatu persimpangan, tiada lari suara ibu yang memanggil namanya. Yang kedengaran hanyalah bunyi hon yang begitu membingit telinga. Bunyi brek sebuah lori menjadi semakin kuat. Tanpa disedari, dia sudah terperosot jauh ke bawah lori.


Pandangan matanya lemah. Darah membuak keluar dari segenap inci tubuhnya. Diangkatnya sedikit kepala tetapi terhad kerana terhalang oleh lori. Terkejut besar dia apabila melihat kakinya sudah hancur lebur dimakan tayar lori. Cebisan daging mencium permukaan jalan raya. Bau hanyir darah menusuk rongga hidungnya.


Saat yang masih berbaki membuatkan dia menangis mengenangkan dosa-dosa lalu. Andai dia tidak terjebak dalam lorong hitam ini, pasti dirinya bisa menjadi pemuda yang bisa menggegarkan persada dunia dan membuatkan ibunya bangga.


Dia sudah semakin lemah dan bersedia menghadap panggilan Ilahi. Telinganya samar-samar menangkap satu suara yang amat dikenalinya sejak dari kecil lagi. Si ibu sedang menangis melihatkan keadaan anaknya itu. Dikerahkan segenap tenaga yang masih ada untuk menuturkan penyesalan dan maafnya pada si ibu itu. Halus dan perlahan bunyi suaranya. Entah didengar ataupun tidak oleh ibunya?


Malaikat Izrael sudah sedia menunggu untuk menjalankan tugasnya. Sebelah kakinya sudah berada di alam kematian. Ingatannya pada TUHAN mula memekar. Cinta pada Rasulullah kembali bersinar. Dalam kejahilan, dia mengucapkan dua kalimah syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di bumi yang syahdu. Matanya mula gelap dan citanya pada indahnya pelangi tidak kesampaian. Semoga akhirat masih menerimannya dan memberi peluang buatnya.

Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah