Wednesday, August 31, 2011

Bila Kenangan Kembali Menjengah


Kenangan lalu kembali menusuk kalbu,

Di saat aku bersendirian,

Ia datang tanpa diundang,

Getaran jiwa semakin melaju,

Terusik hati yang sedang hampir sembuh.


Andai rasa masih ada,

Pasti tak kan kenangan berlalu,

Andai kasih masih bersemi,

Tak kan bayangan menghilang,

Walau mentari sudah terik membakar.


Pada jiwa ada resah,

Gundah yang tidak berkesudahan,

Andai bisa aku lupakan semua,

Pasti duka tiada menemani,

Senyuman pasti kulakar di langit.


Wahai resah beraraklah kamu,

Wahai gundah usah kau di sini,

Izinkan aku tenang bersemayam,

Agar hati semakin sembuh,

Agar aku bisa tersenyum kembali.


Taman Ria 7, Tawau Sabah

31 Ogos 2011, 11.59 am

Sunday, August 28, 2011

Jika Islam Takdirku.




Cynthia tekun membaca buku Langman’s Medical Embryology edisi kesepuluh yang ditulis oleh T.W, Sadler. Subjek embryology merupakan silibus wajib untuk pelajar perubatan tahun satu. Keningnya berkerut apabila tidak faham tentang mana-mana kenyataan yang ditulis dalam buku tersebut.


Belajar tentang sesuatu perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar itu begitu sukar sekali. Maklumlah, segala-gala tentang perkembangan bayi dikaji dengan begitu mendalam sekali.


Bermula dengan proses gametogenesis dimana sel-sel di dalam kilang telur wanita dan testis lelaki membahagi untuk membentuk sel sperma dan ovum, ia diikuti pula dengan proses pematangan kedua-dua bahan tersebut.


Berjuta-juta sperma dihasilkan oleh sel di dalam testis seorang lelaki. Untuk wanita pula, sel ovumnya sudah tercipta sejak dari kecil lagi. Sel itu hanya mengalami pematangan selepas seseorang wanita mencapai akil baligh. Kesannya, satu ovum akan dibebaskan oleh ovari kanan dan kiri secara bergilir-gilir pada hari ke 14-16 kitar haid seseorang wanita.


Sekiranya suami-isteri melakukan hubungan kelamin, berjuta-juta sperma itu akan dipancut ke dalam salur peranakan wanita dan berenang untuk mencari ovum.


Ah! Sejak dari asal kejadian lagi, sudah wujud satu perlumbaan untuk mencari pemenang. Begitu jualah halnya dengan sperma. Hanya satu sperma sahaja yang akan berjaya untuk bersenyawa dengan ovum. Yang lain akan kekal sebagai sperma yang tertewas dan akhirnya mati.


Selepas berlaku persenyawaan, sel yang terbentuk akan membahagi beratus ribu kali untuk akhirnya menghasilkan blastocyst yang akhirnya menempel pada dinding rahim. Bermula dari fasa itu, ia akan berkembang dan akhirnya membentuk satu janin manusia yang cukup kompleks sekali bahan binaannya.


Entah mengapa dia harus belajar tentang semua itu. Dia masih belum benar-benar faham akan tujuan silibus tersebut. Maklumlah, untuk tahun satu kursus perubatan, mereka hanya diajar tentang subjek basic sahaja. Tidak langsung ia dikaitkan dengan penyakit. Atau mungkin juga kerana dia baru beberapa minggu belajar di sini. Maka tidak mustahil yang dia tidak mengetahui dengan lanjut struktur pengajiannya itu.


Namun, disebalik semua itu dia benar-benar kagum akan penciptaan manusia. Sungguh hebat Tuhan yang mencipta kejadian manusia itu. Alangkah indah andai dia dapat mengenal siapa TUHAN yang begitu hebat itu.


Ya! Dia merupakan seorang free thinker. Bukan dia tidak mempercayai TUHAN, Cuma dia tidak tahu TUHAN mengikut agama manakah yang benar-benar TUHAN.


Dalam agama kristianiti, Tuhan itu tiga dalam satu. Bukan tiga tuhan tetapi satu tuhan yang mempunyai tiga personaliti. Ada Tuhan Anak, Tuhan Bapa dan Ruhul Kudus. Ah! Pening sungguh dia dengan doktrin triniti ini.


Kerana itu dia keluar dari agama kristian yang dianuti keluarganya sejak turun temurun lagi. Namun, andai pulang ke rumah, dia akan tetap mengikut keluarganya ke gereja. Maklumlah dia tidak mahu bertelagah dengan ahli keluarganya. Namun jauh dari sudut hatinya, dia sudah ragu-ragu tentang agama tersebut.


Bagaimana bisa seseorang itu menanggung dosa yang dilakukan oleh Adam dan Eve yang memakan buah dari pokok “Tree of the knowledge of good and evil”. Untuk mendapat pengampunan, maka seseorang itu harus mempercayai pengorbanan Jesus yang mati di Tiang salib bagi menyelamatkan mereka dari dosa warisan tersebut.


Pelik. Mengapa Jesus perlu menanggung dosa yang tidak dilakukan olehnya. Tambah pelik lagi apabila gereja mengajar bahawa dosa Adam dan Eve bukan dosa main-main. Maka Tuhan harus mengambil peranan langsung agar dapat memaafkan hambanya. Kerana itu Tuhan Bapa menghantar anak kandung kesayangannya Jesus Christ untuk dijadikan domba bagi menebus dosa.


Ah! Serabut kepalanya memikirkan soal tersebut. Kata pastor hanya ada satu tuhan tetapi mempunyai tiga personaliti seperti peranan seorang lelaki yang menjadi ayah, suami dan anak. Tapi kalau tuhan anak mati, siapa yang menjadi Tuhan ketika itu? Andai Tuhan bapa masih wujud ketika Tuhan Anak Mati, maknanya sudah ada lebih dari satu Tuhan.


Dia pernah diperkenalkan dengan agama hindu sewaktu berada di matrikulasi. Tapi dia pun pening juga dengan amalan penganut hindu. Kata seorang alim ugama hindu, tuhan itu satu tetapi boleh menjelma dalam pelbagai bentuk. Kerana itu ada tuhan Brahma yang berkepala empat, ada tuhan Ganesha yang berkepala gajah dan ada juga Tuhan-tuhan lain yang mempunyai keperibadian berbeza seperti Vishnu, Shiva, Krishna. Tuhan dalam agama hindu pula mempunyai keluarga. Ada isteri dan ada anak.


Kata mereka lagi, Tuhan itu boleh berada di mana-mana. Mereka juga percaya pada konsep pantheisme di mana segala benda boleh menjadi Tuhan.Argh. Tidak adakah konsep Tuhan yang lebih mudah berbanding konsep-konsep sebegitu. Kepalanya pening sekali.


Mungkin kerana itu, dia lebih sukakan falsafah yang diajar oleh Siddharta Gautama Buddha. Sayangnya, Buddha hanya mengajar tentang kehidupan tetapi tidak pernah menyentuh tentang soal ketuhanan.


Dia begitu dahagakan kehidupan bertuhan. Berbanding sesetangah rakan-rakannya yang terkeliru dengan isu agama lantas mengambil keputusan untuk menjadi atheist, dia pula ingin memulakan kembara mencari Tuhan.


“Hi Cynthia! Kamu belajar ke sedang berangan?”


“Eh, Syafira. Terkejut Cynthia.”


Seorang gadis bertudung labuh paras pinggang sedang tercegat betul-betul di belakangnya. Gadis tersebut merupakan teman sekuliahnya. Syafira datang dari keluarga islamik. Bapanya merupakan seorang ustaz yang sangat berpegang pada ajaran agama. Ibunya pula seorang guru agama. Kesan didikan dari ibu-bapanya menghasilkan gadis ceperti Syafira. Cantik tetapi sangat sopan. Suka juga Cynthia dengan kelakuan Syafira.


“Cynthia, nah saya belikan goreng pisang untuk kamu. Saya tahu kamu tak minum petang lagi kan?”


“Wah Syafira. Terharunya saya. Jom lah kita makan sekali.”


“Ok jugak cadangan awak tu. Cynthia buat apa tadi?”


“Cynthia baca embryology ni.. Komplikated sangat. Syafira sudah ulang kaji?”


“Dah. Alhamdulillah, suka Fira baca subjek tu sebab ia banyak menambah kefahaman Fira terhadap agama Islam.?”


“Hah? Apa maksud Fira. Apa kaitan embryology dengan agama Fira?”


“Dalam Al Quran ada diceritakan tentang embryology. Memang betul-betul sama dengan buku teks moden tu.”


“Eh betul ke? Boleh Fira terangkan dekat Cynthia?”


“Erm... Fira tak faham sangat. Tapi kalau Cynthia berminat nak tahu, esok awak boleh ikut Fira ke dataran pelajar. Ada pameran dari badan Kelas Peradaban Nabawi. Mereka membuat pameran tentang sains dan al Quran. Isu berkenaan penciptaan manusia turut dibentangkan?”


“Eh ya ke? Cynthia boleh datang sama ke? Nanti apa pula kata mereka. Takut mereka ingat Cynthia nak jadi perisik ke ape?”


“Ish Cynthia ni. Ke situ pula awak fikir. Tak ada apa lah. Nanti Fira perkenalkan dengan Bro Rahman yang merupakan senior kita. Dia ada terangkan pada Fira dan Shifa tadi tentang embryology mengikut Islam. Tapi Fira lupa.”


“Kita pergi sekarang la Fira.”


“Lor awak ni. Dah pukul 5.15 dan ni. Mesti mereka dah tutup. Esok kalau ada ruang antara kuliah, kita pergi ok?”


“Hurm..ok ok.”


“Eh Cynthia kata nak makan sama-sama?”


“Lorr. Buruk siku rupanya Fira. Nak juga?”


“Owh, tak pe la. Saya balik bilik la kalau begitu.”


“Hehe. Merajuk la pula Fira. Saya gurau je la. Jom makan.”


*********


“Selamat datang saudari, terima kasih kerana bertandang di pameran kami. Saya Bro. Rahman. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”


“Hi awak. Saya Cynthia, pelajar baru di sini. Saya berminat hendak tahu mengenai embryology mengikut AL-Quran. Boleh ke?”


“Oh. Tentu sekali boleh. Kenapa pula tidak boleh. Mari saya terangkan berdasarkan bahan yang kami tampal pada papan kenyataan ini”


Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apakah dia diciptakan? Dia diciptakan dari air yang dipancarkan, yang keluar dari antara tulang sulbi laki-laki dan tulang dada perempuan. [Q86:6-8]


“Apa pendapat Cynthia tentang ayat Al Quran ini?”


“Hurm, tulang sulbi tu apa senior?”


“Oh. Itu tulang coccyx kita.”


“ Oh. Ok. Hurm, macam mana saya nak terangkan ye. Takut nanti senior marah”


“Kenapa pula saya nak marah”


“Hurm. Ayat itu nampak tidak logik bagi saya.”


“Oh. Tak mengapa Cynthia. Awak nyatakan saja kepada saya. Logik atau tidak bergantung pada pemahaman seseorang. Nanti saya terangkan kembali yang betul.”


“Iyalah. Kita semua tahu seseorang itu tercipta dari sperma dan ovum. Dan sperma keluar melalui zakar lelaki. Apa kaitannya pula dengan tulang Sulbi dan tulang dada?”


“Begini Cynthia. Ayat tersebut menerangkan tentang lokasi keluarnya salur darah yang membekalkan darah pada kilang sperma dan juga kilang telur. Ingat tak kita belajar anatomy; salur darah yang membekalkan testis dan ovari untuk membuat sperma dan ovum adalah testicular artery dan ovarian artery. Sains moden menunjukkan bahawa kedua-dua artery ini terbit daripada abdominal aorta dan renal artery yang terletak di antara kedua tulang itu. Tambahan pula, bukankah kedua-dua testis dan ovary itu pada asalnya dicipta dalam perut janin sebelum kedua-duanya turun mengikut inguinal canal."


“Oh! Begitu rupanya. Maafkan Cynthia sebab tak baca lagi dengan mendalam bab tersebut.”


“Ok tak apa, jom kita ke poster seterusnya. Maaf la Cynthia sebab banyak pula ayat quran yang saya nak tunjuk ni.”


“Tak apa, saya memang betul-betul nak belajar. Sebab masa saya baca buku teks embryologi tu, saya memang kagum dengan TUHAN yang mencipta manusia ni.”


“Ok, Cynthia tahu tak bagaimana jantina bayi terbentuk?”


“Hurm. Bergantung kepada percantuman sperma dan ovum kan?”


“Ya, betul dah tu. Boleh Cynthia huraikan lagi?”


“Ok, sperma lelaki ada jenis X dan Y manakala ovum pula mempunyai maklumat genetik X. Kalau sperma X bergabung dengan ovum X, maka jadi anak perempuan. Kalau bergabung antara sperma Y dan ovum X maka menjadilah XY ataupun anak lelaki.”


“Betul tu Cynthia. Maksud sains moden adalah, lelaki yang menentukan jantina anak berdasarkan sperma yang dihasilkan oleh mereka. Jadi, ia selari dengan apa yang al-Quran ajar.”


Bukankah dia dahulu setetes mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim), kemudian mani itu menjadi segumpal darah, lalu Allah menciptakannya, dan menyempurnakannya, [Q75:37-38]


“Maksud ayat ini adalah jantina bayi itu bergantung pada sperma lelaki.!”


“Hurm. Mungkin tak penulis buku Al Quran ini belajar Sains?”


“Oh. Pada pendapat Cynthia siapa yang tulis AL Quran?”


“Mungkin Nabi kamu la.”


“Hehehe. Cynthia, agak mustahil untuk Nabi Muhammad menulis Al-Quran tau. Bayangkan 1400 tahun dahulu mana ada alat sains canggih seperti mikroskop dan alat imaging lain yang membolehkan baginda melihat itu semua.”


“Betul juga kata-kata senior tu. Hari ini pun susah kita nak belajar sains. Macam mana pula Muhammad boleh menulis buku sains yang begitu lengkap dan selari dengan sains moden.”


“Hehehe. Pandai pun Cynthia. Tapi, Al Quran ni bukan buku sains tau. Ia merangkumi banyak aspek dan mengandungi juga ayat-ayat Sains.”


“Yup!”


“Cynthia ada masa lagi tak?”


“Ada je. Kenapa pula senior?”


“Jom saya terangkan ayat yang paling saya kagum dan menginsafkan saya betapa Al-Quran ini datang dari Tuhan. Sungguh cantik penerangannya tentang penciptaan manusia.”


“Oh, ye ke. Apa ayat itu senior?”


Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. [Q23:14]


“Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah alaqah, mudghah dan Nasy-ah. Alaqah mempunyai tiga maksud iaitu, bergantung, lintah dan darah. Cuba kita perhatikan peringkat awal zygote. Bukankah ia menyerupai lintah dan tergantung pada dinding rahim melalui placenta? selain itu, zygote juga mengambil zat makanan dari ibu melalui placenta seperti mana lintah menyedut darah. Dan terakhir sekali adalah bentuk zygote pada peringkat awal ini kelihatan seperti gumpalan darah.”


“Oh. Ini semua dijelaskan dalam Quran ke?”


“Betul tu Cynthia. Ayat tu tak lengkap lagi tau.”


“Oh maaf. Saya Cuma terlebih excited dengar senior cerita tentang ayat tersebut.”


“Ok, selepas terbentuk alaqah, maka terjadi pula mudghah. Makna mudghah adalah bahan yang dikunyah. Sama seperti kalau Cynthia kunyah gula-gula getah. Keadaan ini sama dengan keadaan janin yang telah pun membentuk somite yang akan menjadi sistem saraf manusia. Bentuknya sama sekali dengan kesan gigi pada gula-gula getah tersebut.”


“Sama seperti gambar itu ye?” Tanya Cynthia sambil tangannya menunjuk kepada poster perbandingan antara somite dan mudghah.


“Ya. Benar tu! Sekali lagi cuba Cynthia bayangkan. Bagaimana Nabi Muhammad tahu tentang semua ini pada 1400 tahun yang lampau? Mustahil kan? Ilmu embryology ini pula hanya berusia tidak sampai 600 tahun pun. Saintis pertama yang melihat bentuk sperma adalah Leeuwenhoek pada tahun 1677 dengan menggunakan mikroskop. Itu pun dia melakukan kesilapan dengan mengatakan sperma mempunyai manusia kenit yang berkembang apabila di pancut kedalam rahim wanita”


“Ya. Mungkin benar kata senior bahawa Quran ini memang ditulis oleh Tuhan. Bukti itu memang jelas sekali. Maknanya Tuhan itu benar-benar wujud kan?”


“Tepat sekali tu Cynthia. Tuhan memang betul-betul wujud.”


“Tapi kan senior, Tuhan mana yang benar sebetulnya? Tuhan Kristian, Hindu atau Islam?”


“Menarik tu. Sebenarnya Cynthia. Hanya ada satu tuhan sahaja di dunia ini. tidak ada dua atau tiga. Tuhan itu tuhan yang sama dari dulu dan sekarang. Dia lah yang mencipta kita semua termasuk alam. Cuma, manusia melakukan banyak fitnah terhadap Tuhan dengan mengatakan bahawa tuhan itu ada anak, boleh dilihat, mempunyai nafsu dan sebagainya. Bukankah itu satu kesalahan yang amat besar sekali?”


“Betul tu. Saya pun sebenarnya percaya yang Tuhan itu wujud. Cuma keliru yang mana satu TUHAN yang benar. Itu sahaja.”


“Hehe, tak apa, Cynthia belajar la perlahan-lahan nanti.”


“Erm, boleh tak saya nak satu salinan Al Quran?”


“Oh, boleh sahaja. Kenapa tidak boleh pula.”


Rahman mengambil senaskah Al Quran yang diterjemahkan oleh Yusuf Ali ke dalam bahasa Inggeris. Nasqah al-Quran bewarna biru tua itu segera diserahkan pada Cynthia.


“Berapa harganya Quran ni?”


“Oh, tak mengapa Cynthia. Sebabnya Al Quran ni memang diberikan secara percuma kepada non muslim.”


*******


Tiga bulan Cynthia membaca terjemahan Quran tersebut. Hatinya cukup tersentuh sekali dengan mesej-mesej yang disampaikan dalam kitab tersebut. Ia merangkumi pelbagai aspek sama seperti yang dikatakan oleh Bro. Rahman tadi. Dan semestinya kata-kata yang didengarinya sebelum ini bahawa Al Quran itu ditulis oleh syaitan tidak benar.


Jika tidak, masakan Al Quran menyuruh pembacanya sentiasa berdoa agar dilindungi dari tipu daya syaitan. Quran juga mengatakan bahawa Syaitan itu musuh utama bagi manusia. Jadi tidak logik sekiranya seseorang penulis kitab itu mengisytiharkan dia musuh kepada pembaca kitab. Entah macam mana boleh timbul tuduhan sebegitu. Pelik sungguh dia.


Dia mula merasakan ada satu ketenangan dalam dirinya tatkala membaca Quran tersebut. Lantas dia sering pula memerhatikan rakan-rakan muslimnya bersolat. Jika ada ruang dan kesempatan, dia merengek pada Syafira untuk untuk mengikut Fira ke program-program usrah dan ceramah tentang Islam.


Dia juga semakin positif dalam kehidupan sehariannya. Dia makin rajin belajar kerana Islam mengajar penganutnya untuk sentiasa berjihad iaitu melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Menurut kata Syafira, menuntut ilmu itu adalah jihad. Hebat sungguh Islam!


Lantas dia akhirnya membuat satu keputusan yang amat penting dalam hidupnya. Dia pantas berterus-terang pada Syafira akan niatnya untuk memeluk agama Islam.


Dan hatinya menjadi lebih tenang setelah mengucapkan dua kalimah syahadat. Dia menangis apabila beberapa orang muslimah yang turut menyaksikan keislamannya datang memeluknya dengan penuh kasih-sayang. Ada yang menghulurkan duit dan ada yang hanya sekadar menangis kerana terlampau gembira. Ramai pula yang turut datang memberikan motivasi buatnya.


*********


Sebulan memeluk Islam, Cynthia menjadi tertekan. Dirasakan bahawa Islam itu sangat susah sekali. Dia terpaksa bersembahyang lima kali sehari sedangkan dia selama ini begitu culas untuk ke gereja. Sebulan sekali pun susah!

Selain itu, Syafira juga telah menyuruhnya menukar nama kepada Siti Nur Jannah Bt Abdullah. Bukan nama itu tidak cantik tetapi dia juga sayangkan nama yang diberi oleh ibu-bapanya. Cynthia Lee Swee Ting merupakan nama yang memberi nostalgia dan juga menjadi kenangan antara dia dan ibunya. Mengapa dia harus menukar nama.

Syafira yang teruja dengan pengislamannya pula semakin rancak untuk membentuknya sebagai muslimah. Dibelikan dia baju jubah dan tudung labuh dan disuruhnya Cynthia memakai baju tersebut.


Bukan itu sahaja, dia juga terpaksa menangani karenah jabatan islam yang sungguh leceh. Malah, dia juga bimbang sewaktu membuat kad pengenalan baru, dia terpaksa mengambil gambar dengan memakai tudung. Dan kad pengenalan barunya itu di hantar ke alamat yang sedia tertera pada kad pengenalan lama. Bagaimana jika keluarganya tahu akan pengislamannya?


*********


Ketakutannya itu memang berasas. Sebulan kemudian, ibu bapanya mengetahui akan keislamannya. Mengamuk sakan orang tuanya yang langsung mengambil tiket kapal terbang dan datang menemuinya di kampus.


Di hadapan rakan-rakan di kuliah, ibu-bapanya mengoyakkan tudung labuh yang dipakai oleh Cynthia. Di situ juga Cynthia dipaksa untuk murtad. Bukan itu sahaja, dia diberhentikan dari program Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan yang diikutinya dan dibawa pulang ke rumah.


Di rumah, dia dibawa berjumpa bomoh kerana konon-kononnya pengislamannya adalah disebabkan oleh sihir. Paling teruk lagi, dia dihantar pula ke Ireland untuk dijaga oleh bapa saudaranya yang merupakan paderi besar di sana. Harapan ibu-bapanya adalah supaya Cynthia akan melupakan terus agama Islam yang dianutinya itu.


Cynthia hanya mampu untuk menangis. Dia sayangkan islam dan TUHAN yang Maha Esa seperti yang diajar oleh agama Islam. Namun pada masa sama, dia masih di bawah tanggungan ibu-bapanya. Keimanannya juga masih belum kuat untuk membuatkan dia mampu bersolat lima kali sehari, menutup aurat dan berpuasa. Susahnya islam menyebabkan dia hanya meredhoi keputusan keluarganya menghantar dirinya ke Ireland. Kerana tidak mahu bergaduh, dia akhirnya keluar dari Islam.

******

Di Ireland, dia belajar dalam kursus perubatan juga. Kini dia sudah pun berada di tahun akhir pengajiannya. Hatinya masih tetap dengan kepercayaannya terhadap keesaan Allah. Akan tetapi, di rumah dia terpaksa berlakon di hadapan keluarga bapa saudaranya dan hidup sebagai seorang kristian.


Dan dia juga sudah melupakan hasratnya untuk bergelar Islam kerana baginya Islam itu susah dan menyusahkan penganutnya kerana terpaksa melaksanakan pelbagai kewajipan.


Hinggalah pada suatu hari, ketika dia sedang melaksanakan tugasnya di wad perubatan di sebuah hospital di Ireland. Dia dipertemukan dengan seorang warga Malaysia yang dimasukkan ke ward kerana mengalami masalah jangkitan kuman pada paru-paru.


Wanita yang dikenali sebagai Sis. Fatima merupakan seorang pakar perbandingan agama di Malaysia.


Entah mengapa hatinya terdetik untuk berkongsi kisahnya dengan Sis Fatima memandangkan perwatakan wanita itu sungguh lembut. Wajahnya penuh dengan kasih-sayang. Dan paling utama, dia mempunyai ilmu dalam bidang perbandingan agama.


Terkejut sungguh dia apabila mengetahui bahawa tindakan Syafira dalam menangani beliau yang merupakan muallaf pada ketika itu adalah salah. Namun, Sis Fatima tidak menyalahkan Syafira seratus peratus. Kata Sis Fatima, mungkin Syafira terlampau gembira hingga lupa batasan dan kelemahan yang ada pada seseorang muallaf.


Seseorang muallaf itu tidak perlu menukar nama apabila memeluk Islam. Ia adalah kepercayaan yang salah dan tidak mempunyai asas dalam agama.


Orang yang baru memeluk Islam juga tidak harus dipaksa untuk menunjukkan keislamannya terutamanya jika masih bergelar pelajar dan masih bergantung hidup pada keluarganya. Mereka boleh sahaja menyembunyikan keislamannya.


Soal ibadat pula merupakan perkara kedua. Yang penting adalah untuk menanamkan akidah yang betul-betul kuat. Kerana itu, dakwah rasulullah selama 13 tahun pertama di Mekah hanya membincangkan soal-soal akidah semata-mata.


Apabila mula beribadat seperti solat, maka tidak perlu terus dilakukan lima kali sehari. Muallaf itu sama seperti anak kecil yang mula-mula belajar solat. Mereka bersolat sekali dalam tempoh dua hari, kemudian menjadi sekali sehari, dua kali sehari dan akhirnya lima kali sehari. Apabila keimanan sudah cukup mantap, mereka melakukan pula solat hajat.


Cynthia menangis mendengarkan penjelasan dari Sis. Fatima itu. Kesan dari peristiwa lampau, lima tahun dia murtad sedangkan ia boleh diuruskan dengan cara baik pada peringkat awal keislamannya.

Namun, dia tidak menyalahkan juga Syafira kerana dia yakin bahawa sahabatnya itu terlalu gembira akan keislamannya dan ingin dia menjadi muslimah sejati. Tangisan Syafira menjadi semakin bertali arus apabila Sis Fatima bertanya samada dia masih sayangkan Islam dan ingin menjadi penganut Islam.


“Saya sayangkan akidah yang diajarkan Islam dari dulu hinggalah sekarang. Walaupun saya murtad tetapi akidah saya pada wujudnya satu Tuhan tidak pernah padam. Semestinya saya ingin terus menjadi seorang muslim.”


Dan Sis. Fatima menjelaskan bahawa masih belum terlambat untuk dia kembali menganut agama Islam. Tidak ada dosa menimpanya yang murtad kerana terpaksa memandangkan keadaan tidak mengizinkan dia terus menjadi Islam. Namun, kecekalannya mengekalkan tauhid yang dipegangnya itu begitu mengkagumkan.


Alhamdulillah, dia kembali mengucap syahadah dan kembali pada agama Islam. Walaupun begitu, dia mengikut nasihat yang dikemukakan oleh Sis. Fatima dengan tidak menonjolkan keislamannya. Alhamdulillah, sudah ditakdirkan untuk dia terus menjadi Islam. Pasti dia akan berhati-hati dalam memelihara agama nya ini.


--TAMAT--


Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah