Saturday, September 24, 2011

Merindui Zaman Bergelar Pelajar

A place where i currently belongs to



Bismillahirrahmanirrahim.....

Kesibukan bertugas seringkali membantutkan rancangan saya untuk menulis sesuatu di blog kesayangan ini. andai ada masa terluang barang seminit dua, pasti saya lebih cenderung  memilih untuk menyantuni mata yang mengantuk serta mengembalikan semula tenaga yang berkurangan.

Hampir dua bulan bertugas di bahagian perbidanan dan sakit puan sedikit sebanyak mengajar saya erti kehidupan sebenar. Kehidupan yang kini menjadi sebuah realiti kepada cita-cita menggunung untuk bergelar seorang doktor.

Ternyata realiti ini jauh tersasar dari harapan sewaktu bergelar pelajar. Betapa title seorang doktor kini hanyalah kecil sekali nilainya.

Sewaktu bergelar pelajar tahun akhir, pernah seorang pensyarah mengingatkan saya dan rakan-rakan. Kata beliau;

“Kamu sekarang di tahun akhir mungkin berada di hierarki paling atas berbanding junior-junior kamu. Tapi apabila kamu menjadi houseman nanti, kamu berada di kedudukan yang paling bawah sekali. Malah, jururawat juga lebih tinggi kedudukannya berbanding kamu.”

Kata-kata beliau itu ada benarnya. Bayangkan, seorang doktor yang baru keluar dari universiti, yang mempunyai ilmu pengetahuan umpama setitis air mandian yang melekat di kuku terpaksa memulakan tugas dalam suasana yang mempertaruhkan  nyawa seorang manusia. Setiap hari dilalui dengan penuh rasa azab kerana bimbang melakukan kesilapan yang bisa meragut nyawa yang menjadi anugerah berharga dari Allah.

Apabila tiba di satu saat, kita tidak mampu untuk membuat satu keputusan walaupun ia hanyalah perkara yang remeh temeh. Staff yang lain pula mendesak agar melakukan kerja dengan lebih pantas sedangkan diri tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Di saat mempunyai keyakinan berbekalkan sedikit ilmu yang pernah digarap, kredibiliti diri pula dipersoalkan staff hingga diri terasa seperti betul-betul tidak berguna. Akibatnya, keyakinan diri semakin berkurangan dan potensi diri kembali terkubur di dalam peti emas yang begitu kemas berkunci.

Tekanan bekerja seringkali menyebabkan hati ingin menangis dan kaki seolah-olah ingin mengatur langkah seribu. Terasa seperti ingin berlari sejauh-jauhnya kerana suasana begitu getir sekali. Namun, amanah yang terbeban menjadi satu benteng yang menghalang diri dari melarikan diri.

Sewaktu bergelar pelajar perubatan, saya begitu teruja sekali apabila terdapat kes-kes menarik ataupun kes-kes emergency yang mampu mengalirkan adrenaline ke seluruh tubuh. Seronok benar saya menyaksikan para doktor bertungkus lumus menyelamatkan nyawa pesakit.

Tapi kini, apabila diri berada di tempat mereka, saya hanya mampu berdoa agar pertolongan segera sampai dan berharap agar pesakit tidak mengalami risiko kesan dari limitasi diri.

Betapa saya merindui zaman bergelar pelajar di mana saya bebas belajar tentang sesuatu kes tanpa perlu memikirkan tentang tanggungjawab. Andai pesakit mati sekali pun, pasti ia akan menjadi pengajaran buat saya kerana dapat membuat konklusi mengapa ia berlaku.

Tapi kini, semestinya ia sangat menakutkan dan tidak mahu langsung ia berlaku. Jika pesakit mati, pasti ia akan di audit. Andai berpunca dari kesilapan diri, maka rekod perkhidmatan akan tercalar. Paling menakutkan adalah apabila terpaksa berhadapan dengan mimpi ngeri apabila pesakit meninggal disebabkan diri kita.

Semoga saat itu tidak berlaku pada diri saya!

Wahai TUHAN, ketahuilah walaupun diriku semakin jauh dariMU, aku semakin terbuai dengan kesibukan dunia, namun hasratku cukup jelas dalam menjadikan profession ini sebagai wadah untuk ku berbakti dengan agamaMU. Bantu aku untuk menempuhi jalan ini sebagai seorang doktor yang selamat, competant, mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, amanah, dedikasi dan bersemangat untuk belajar demi untuk kebaikan pesakit dan profession ku.

Buat pelajar perubatan yang ada di luar sana, dengarlah nasihat seorang doktor yang baru bertatih dalam bidang perubatan ini. gunalah masa yang ada untuk mempersiapkan  diri bagi menghadapi medan peperangan yang serba mencabar ini. lengkapkanlah diri anda dengan ilmu, skill dan hati seorang doktor. Pesakit sedang menantikan seorang doktor yang benar-benar mempunyai jiwa seorang perawat yang kompetant. Jika boleh, diri ini juga ingin kembali menjadi pelajar perubatan kerana merasakan masih banyak lompang kekurangan diri.
Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah