Monday, March 12, 2012

Teruskan Melangkah, Jangan Berputus Asa




Dalam kehidupan, seharian yang dilalui tidak selalunya indah seperti yang diimpikan. Idealistik sebuah cita-cita tidak selalunya realistik untuk diaplikasi. Akan ada sahaja perihal sesuatu yang bisa membuat kita bersedih dan terjatuh.

Tika itu, kita adalah insan yang sungguh lemah. Bukan sahaja tidak mampu untuk melawan bahkan untuk mendongakkan kepala sahaja bisa menghabiskan seluruh tenaga yang ada.

Namun, langkah yang dituju harus diteruskan. Biar perlahan kita merangkak atau pantasnya kita berlari, matlamat yang dicita harus digenggam. Cepat atau lambat bukan soalnya akan tetapi erti disebalik sebuah perjuangan.

Kecewa akan sering bertandang. Apatah lagi bila kita terperangkap di dalam sebuah sistem yang tertutup. Sistem yang kelihatan tidak mempunyai pintu keluar. Lama-kelamaan, kita merasa lemas dan seolah tidak bisa berjuang lagi. Kita beranggapan bahawa inilah pengakhiran kepada sebuah kisah yang terukir lantas mula menyesali pilihan yang dibuat di awal perjalanan.

Usah cepat mengalah dan usah terus gundah. Seteruk mana pun sesuatu keadaan itu, pasti ia akan memberikan seribu pengajaran buat kita. Kehidupan ini adalah satu pengajian berterusan. Belajarlah dari segala yang ada. Belajar dari keadaan persekitaran yang teruk agar kita mensyukuri nikmat berada dalam persekitaran yang lapang dan nyaman. Belajar dari orang yang paling teruk perilakunya agar kita tidak menjadi seperti mereka. Renung dan bermuhasabah agar kita tidak terus dilalaikan.

Hampir lapan bulan bekerja sebagai seorang doktor. Berdepan dengan pelbagai karenah sistem dan persekitaran serta terperangkap diantara idealistik dan realistik ada kalanya membuat saya bertanya. Adakah saya membuat satu pilihan yang tepat untuk berada di posisi ini.  Hati seringkali  gundah apabila memikirkan ketidakupayaan menyediakan perkhidmatan terbaik dek kerana pelbagai kelemahan dan kekurangan.

Panggilan telefon jauh dari bumi Inggeris oleh seorang mentor yang amat saya sanjungi serta kiriman sms dari Sang Murabbi benar-benar mengubat luka di hati. Bukan soal di mana anda tercampak akan tetapi yang pentingnya anda terus belajar dan belajar. Belajar untuk memperbaiki diri dan menambah kompetansi diri untuk menjadi yang terbaik itulah yang harus dipupuk. Paling penting adalah untuk tidak menyerah kalah atau berputus asa walaupun sesuatu perkara itu benar-benar memamah setiap inci tubuh dan jiwa. Hanya dengan terus berusaha bagi mencapai peringkat yang tinggi maka kita akan dapat membuat satu perubahan yang ingin dilakukan.
Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah