Sunday, March 16, 2014

Angin Kehidupan (Catatan March 2014)





Hidup ini bagaikan angin. Ada masanya, ia membuai lembut dan mendatangkan nyaman. Namun ada ketikanya, ia berpuing laju hingga mampu menerbangkan jiwa yang sedang dalam kelalaian. Tidak ada satu manusia yang bisa menumbuhkan satu ramalan yang tepat tentang apa-apa yang akan berlaku disekeliling kita.


Banyak perkara yang tidak dapat kita duga akan berlaku. Contohnya, kehilangan misteri pesawat MH370, Boeing 777 pada tanggal 8 Mac 2014 mengejutkan seantero dunia. Hingga ke hari ini tiada siapa yang benar-benar pasti akan nasib yang menimpa anak-anak kapal dan para penumpang.


Begitu juga berita ngeri kematian enam orang anak muda dan beberapa yang lain masih dalam keadaan kritikal ekoran mengambil dadah jenis methampethamine secara berlebihan sewaktu berlangsungnya hari kedua konsert Future Music Festival Asia 2014. Tiada siapa menjangka bahawa dalam rakyat berkabung akan nasib yang menimpa pesawat MH370, berlangsung pula parti liar di stadium kebangsaan negara.


Minggu ini juga merupakan minggu yang cukup memenatkan buat saya. Tiga hari berturut-turut diving marathon bersama divers dari Lahad Datu dan juga senior dari HUSM benar-benar mencabar minda dan kekuatan badan. Lima dive pada hari pertama (3 Day dives dan 2 Night Dives) di Lahad Datu, Dua Day Dive pada hari kedua (Sepatutnya empat dive tetapi dibatalkan atas urusan teknikal) juga di Lahad Datu dan seterusnya tiga dives di Pulau Mabul pada hari ketiga memberikan kepuasan yang amat sangat. Ternyata, alam laut ini masih dipenuhi dengan misteri. Hanya dengan selaman sedalam 22-24 meter itu juga sudah mengandungi pelbagai jenis haiwan dan tumbuhan, maka siapa yang dapat memberi jawapan akan habitat laut sedalam 10900 meter seperti di Jurang Mariana.


Selesai diving, diikuti pula dengan Kursus Snakebite & Envenomation Management 2014, di Semporna Sabah. Ini merupakan projek ketiga saya setelah bergelar Medical Officer di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Lahad Datu. Alhamdulillah, ia bukanlah 100 peratus sempurna dan ternyata banyak lompang-lompang serta ketirisan yang berlaku. Tapi saya yakin, kursus yang dihadiri oleh 72 peserta dan 20 orang sekreteriat dari seluruh sabah dan juga peserta dari semenanjung dan Sarawak ini pasti mempunyai impak yang tersendiri. Semoga peserta mendapat ilmu untuk merawat penyakit tropical yang sering dilupakan ini apatah lagi para fasilitator terdiri dari penceramah-penceramah hebat dari Malaysian Society on Toxinology (MST) dan Remote Envenomation & Consultation Services (RECS) seperti Dr Khaldun, Dr Shukrudden dan juga Dr Zainal Abidin.


Kemuncak SEM SABAH 2014 adalah lawatan social ke tiga buah pulau iaitu Boheydulang, Mantabuan dan Selakan. Program ini sengaja diadakan kerana kursus ini dijalankan dengan konsep santai dan juga mesra alam. Buat masa kini, kesemua pulau-pulau tersebut masih terpelihara. Namun, sudah ada tangan-tangan rakus yang cuba untuk membina resort-resort mewah. Dan saya menjangkakan, dalam masa 20 tahun nanti, keindahan yang ada pada hari ini pasti akan hilang.


Hari-hari yang memenatkan itu sudah berlalu. Seluruh badan masih terasa bisa dan ia amat menyakitkan. Masih banyak lagi kerja-kerja yang harus dilakukan selepas ini. Paling utama, rancangan untuk mendaki Gunung Kinabalu pada pertengahan Bulan April ini. Kesibukan tugas serta badan yang penat menyebabkan saya sudah ponteng latihan di Gym selama tiga minggu.  Dengan masa berbaki yang hanya sebulan ini, mampukah saya menyediakan ketahanan mental dan fizikal untuk menyahut cabaran ini.


Ya! Tinggal beberapa perkara lagi yang saya cita-citakan untuk dilaksanakan di Sabah. Selepas ini, dimana hala tujuan saya? Hati ini masih dipenuhi rasa sayang untuk meninggalkan Negeri dibawah bayu ini. Ia seakan sudah sebati dengan jiwa. Dua Tahun dan lapan bulan saya merantau. Masa berlalu dengan amat cepat sekali.


Ke mana destinasi selepas ini?
Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah