Tuesday, August 5, 2014

Berdoalah Pada Sang Penerima Doa



Doa itu mungkin kelihatan remeh. Hanya susunan ungkapan yang ditujukan pada entiti yang tidak dapat kita lihat, rasa atau dengar. Malah ada yang memperlekehkan usaha ini. Kata mereka, mengapa kau berbicara pada dinding? Apakah benar wujudnya Tuhan atau kau hanya berdoa pada satu entiti yang kau ciptakan rasa kebergantungan melalui emosi mu semata-mata.

Kita tidak mungkin bisa melihat TUHAN apatah lagi mendengar tutur bicaranya atau merasai jasadNYA. Tapi percayalah bahawa DIA adalah lebih dekat dengan kita berbanding dengan urat nadi kita sendiri. Kebergantungan kita padaNYA adalah tidak sia-sia malah itulah sifat kita sewaktu diciptakan. Sememangnya kita adalah lemah dan tiada berdaya melakukan apa-apa melainkan yang telah diizinkan olehNYA selaku pencipta.

Sememangnya kita akan sentiasa terasa lemah dan Allah lah sumber kekuatan kita. Ironinya, pada hari ini kita lebih gemar memanifestasikan  rasa sedih, rasa kecewa, rasa gembira, rasa keluh dan rasa tidak tenteram pada rakan mahupun dilaman media sosial baru. Ia tidak salah kerana ia juga adalah satu bentuk terapi buat kita. Namun, ia patut diletakkan sebagai usaha terakhir setelah kita berserah pada Allah dan juga berusaha untuk mengatasinya.

Mengapa takut untuk berdoa? Adakah kita risau bahawa Allah tidak mahu menerima doa kita?

Ya! Saya juga berasakan sedemikian. Bukan sekali malah acap kali perasaan tersebut mengganggu fikiran saya. Namun ada banyak bukti nyata bahawa ia berlaku.

Kadang-kadang kita cuba berseloroh dengan TUHAN dan meminta yang bukan-bukan. Contohnya senada bergurau senda kita berdoa.

“Ya Allah, jangan lah ada pesakit malam  ni, aku nak tidur la ya Allah.”

TUHAN Maha kaya! Apabila kita bangun keesokan pagi dan bertanya. Eh! Memang tak ada pesakit ya semalam sedangkan sekarang musim sibuk. Rakan-rakan anda mengalami nasib berdepan dengan pesakit tanpa henti dan anda beroleh malam yang aman.

Lantas anda termenung di tepi katil. Ya Allah, Alangkah bagus sekiranya aku tahu yang tika saat aku berdoa secara berseloroh itu kau sebenarnya membuka pintu langit seluas-luasnya untuk menerima doaku. Alangkah sayangnya aku meminta doa bukan-bukan. Sepatutnya aku berdoa dengan penuh adab dan mengutamakan niat yang labih penting.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. [Q2:186]

Malah saya mengimbasi kembali saat perjalanan saya bergelar pelajar perubatan. Usaha saya tidaklah segigih pelajar lain tetapi Allah tetap memberi rezeki untuk menamatkan pengajian tepat pada masanya. Ketika pulang bercuti, saya melihat kembali nota-nota sewaktu bergelar pelajar perubatan dan ia telah menitiskan air mata saya. Saya sendiri tidak sangka bahawa saya mampu mengharungi detik kritikal tersebut.

Saya yakin dan percaya, ada secebis doa saya dan juga doa dari ibu-bapa dan taulan, meminta kejayaan saya yang dimakbulkan oleh Allah.

Jadi, kenapa kepercayaan tersebut tergugat dan perlu ada perasaan ragu-ragu pada janjiNYA. Teruskan percaya bahawa DIA hanya akan memberikan apa yang kita perlukan dan bukannya apa yang kita mahukan. Teruskan berdoa di setiap masa dan di setiap keadaan kita. Kita tidak mungkin akan tahu saat DIA akan menerima doa kita.


Jacknaim,
5 August 2014
5.30 AM
Kota Kinabalu International Airport
Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah