Friday, October 9, 2015

IMPIAN IZZATI




Izzati menyapu debu pasir yang bertandang pada mukanya. Sesekali, hembusan bayu laut menerpa tubuhnya. Sipi-sipi ia terkena pada tudung hijau yang begitu perkasa melindungi aurat tubuhnya. Sekalipun, tarian angin membawa bersama cebisan kain itu untuk turut sama menari, ia masih utuh menjalani tugasannya. Debu pasir tadi turut mengena pada kemeja dengan corak belang coklat-putih dan seluar jeans birunya. Namun, kumpulan pasir-pasir halus itu tidak membuat dia comot sebaliknya menambah kecomelan pada senyumannya.

Ada tikanya, angin cuba memberontak. Memanifestasi egoisnya dengan bertiup kencang hingga mengakibatkan Izzati kesejukan. Mungkin, impian yang membalut tubuhnya mampu untuk menghangatkan badan dan melenyapkan kesejukan itu. Mungkin ya dan mungkin tidak. Aku hanya mampu menduga. Sukar untuk aku membaca fikiran si gadis jelita itu.

Aryll dan Cyrill berlarian anak sambil memegang tangan lembut Izzati. Mungkin anak-anak kecil berketurunan Bajau Filiphina itu selesa sekali memegang gumpalan kapas lembut itu. Aku tidak tahu, hanya imaginasi yang menyambungku dengan getusan idea itu. Izzati baik orangnya. Mana mungkin bisa berpegangan tangan antara yang bukan muhrim. Aku tidak sesekali berkeinginan sebegitu. Jauh disudut hati, ada hormat berkampung dan ada segan yang berkeluarga dan berkembang biak.

Kami berjalan menyusuri tepi pantai yang cantik. Hamparan pasirnya bewarna putih seputihnya. Mungkin jauh lebih putih dari gigi ku yang semakin menguning. Izzati mungkin tahu akan itu kerana dia bekerja sebagai Pegawai Perubatan Pergigian. Sesekali, aku malu untuk menguntum senyum kerana dia bisa sahaja mentertawakan gigi ku itu. Atau, dia mungkin geram ingin mencuci sebersihnya gigi ku dan membuang segala kotoran yang ada dan menampal segala lubang karies.

Aku tidak menyangka, jauh di hujung Semporna terdapat pantai yang begitu cantik. Andai bisa aku plotkan pada sebuah peta, ternyata Pulau Danawan yang terletak di koordinat 4°18'25" Utara dan 118°51'30" ke barat ini begitu jauh terpencil sekali. Selang beberapa ketika, kami akan terlajak masuk ke daerah Filiphina. Perjalanan ke Pulau Danawan dengan menaiki Bot tentera dengan dua buah enjin yang menghasilkan kelajuan 500 kuasa kuda mengambil masa selama satu jam dan 20 minit. Ombak begitu kuat sehingga aku seakan tercampak keluar dari bot. Percikan ombak menghancurkan kotak yang mengisi peralatan perubatan kami. Percikan ombak itu juga menyebabkan kotak ubat-ubatan kami pecah tatkala kotak itu berlanggar dengan dinding bot.

Aku lihat sinar pada wajah Izzati. Aku tahu dia juga sedang mensyukuri keindahan alam yang terbentang luas di hadapan kami. Dan aku tahu dia tidak menyesali keputusannya untuk mengikuti kembara kami bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia melaksanakan program Jiwa Murni di sini. Masing-masing ingin berbakti, membawa bekalan ubat-ubatan, alat-alat perubatan dan pergigian serta kepakaran bagi memberi khidmat tanpa mengira warna kulit, agama, bangsa atau taraf kewarganegaraan.

Seharian kami di sana merawat tidak kurang dari 300 orang pesakit. Ada lebih kurang 1400 penduduk kampung di Pulau Danawan ini. Tapi, tidak semua yang datang. Ramai yang lari bersembunyi di hutan kerana menyangka kami datang untuk menangkap mereka. Maklumlah, mereka penduduk tanpa negara. Mereka ada yang sudah berpuluh tahun berhijrah dari Filiphina dan Indonesia dan ada yang asalnya dari bandar Semporna. Kebanyakan mereka berketurunan Bajau Filiphina. Ada yang beragama Islam dan ramai pula yang tidak. Selain itu, ada juga bangsa Bajau Laut atau Pelahu yang semestinya menjadi penghuni tetap pada dataran lautan yang luas terhampar. Tidak ramai yang memiliki dokumen pengenalan diri samada dari Malaysia mahupun Filiphina.  

Walaupun masing-masing penat melakukan pemeriksaan kesihatan, pergigian dan aktiviti mengkhatankan anak-anak Pulau Danawan tetapi Izzati masih bertenaga. Tenaganya mungkin mengalahi tenaga anak jantan yang lain. Sememangnya dia lasak dan aktif. Terpaksa aku bersama dua anak Bajau menemani dia mengelilingi Pulau Danawan yang berbentuk segi empat itu.

Kata orang tua di sana, ‘Pulau Danawan berbentuk empat segi, seakan ketupat.’ Ada benarnya kata mereka. Di tengahnya penuh dengan hutan rimba dan disekelilingnya ada pantai yang cantik. Terdapat bangunan sekolah kecil dan deretan kedai runcit tradisi seperti bandar koboi. Rokok seludup dari negara jiran dijual dengan berleluasa. Yang tua, yang muda ada yang bermain daun terup atau menikam nombor. Mungkin itu sekilas budaya lama yang masih mereka amalkan.  

Ada pokok-pokok cengkudu yang subur tumbuh di sana, ada juga pohon mangga dan banyak sekali pokok kelapa. Aku bertanya nakal pada Cyrill samada terdapat pokok durian di sini tetapi dinafi.

Tapi aku pasti. Bumi Danawan ini sebenarnya subur dan ia ada potensi untuk dibangunkan. Anak-anak pulau yang ada di sini masih mempunyai harapan untuk turut sama bersaing di dunia moden ini. Biarpun aku dan Izzati masing-masing tahu bahawa mereka lebih selesa dengan gaya kehidupan tradisi mereka.

Izzati melangkah pantas sambil tangannya lincah menekan butang kamera. Dia sedaya upaya merakam sebanyak mungkin kenangan yang ada di sana. Bukan selalu kami dapat datang ke tempat sebegini apatah lagi masing-masing dibebani dengan tugasan dan komitmen lain.

Ada pemandangan yang cukup memberi damai di jiwa dan ada yang membuat dia bersedih. Ketam berlarian di tepi pantai begitu juga sang umang-umang yang menjadi pencuri handal dan bermegah menayangkan cengkerang yang mereka ambil. Pandangan kami tertangkap pada sekujur tubuh seekor penyu yang sudah tidak bernyawa. Pencinta laut pasti menangis melihat situasi ini. Bangkai penyu yang masih utuh bentuknya mempunyai kecederaan teruk pada cengkerangnya. Mungkin ombak kuat menyebabkan badannya terhempas pada bongkah-bongkah batu besar yang terdapat di pesisir pantai ini.

Selang beberapa meter dari tempat kami berdiri, tersergam megah Pulau Siamil yang sebelum ini dilawati oleh para penyelam skuba. Ia mempunyai banyak kawasan selaman yang cantik. Tentu para penyelam menjadi euphoria untuk melihat satu dari lima spesies kuda laut pigmi yang ada di dunia. Tidak lupa juga pada hutan batu karang dan kepelbagaian hidupan lautnya. Kata Izzati padaku, dia pernah cuba menyelam skuba dan ingin sekali mendapatkan lesen selaman skuba agar dia terus menerus dapat menghayati keindahan alam.

Aryll dan Cyrill saling mendahului antara satu sama lain. Mereka berlarian anak sambil sesekali melompat untuk mengelak akar-akar bakau yang mencacak keluar dari tanah. Izzati kelihatan termenung. Mungkin hanyut dalam keindahan alam dan mungkin juga tersesat dalam angan khayalnya. Nakal sekali akalku berbicara pada diri sendiri.

“Mengapa kau diam Zati?” aku memecah keheningan petang.

“Tidak ada apa-apa. Tekun melihat pantai, langit, burung camar yang berterbangan.”

“Atau berfikir tentang teman lelakimu?” aku memotong bicaranya dengan gaya mengusik. Senyum ku sinis.

“Atau mungkin kau yang berfikir tentang teman wanitamu.” Balasnya padaku.

“Ah, aku bebas sebebas burung di langit. Tidak terikat pada komitmen dan janji.” Padat dan ringkas jawapanku. Dia mengeluh, mungkin tidak berpuas hati dengan jawapanku. Aku cuba memancing isi hatinya.

“Zati, kenapa? Kau seakan serius.”

“Mesti lah. Perkahwinan itu sunnah. Siapa yang tidak ingin berkahwin.”

“Jadi, kenapa belum kau berkahwin? Adakah kau memilih? Apa kriteria teman lelakimu? ” Soalku bertalu-talu. Mungkinkah dia akan longlai lesu menjawab soalan-soalan ku itu.

“Semestinya kita harus memilih. Memilih calon suami yang dapat membimbing kita mengenal Tuhan. Bukankah itu yang patut kita lakukan.”

“Tapi, tak selamanya yang jahat akan menjadi jahat dan yang baik tidak akan menjadi nakal.” Aku cuba menduga.

“Tapi semestinya kita mencari yang baik dan bersama untuk kekalkan yang terbaik.”

“Betul juga.” Aku seakan bersetuju.

“Tapi, paling utama bukan cepat atau lambatnya sebuah perkahwinan. Yang penting, kita mencari cinta Allah terlebih dahulu. Bukankah itu yang terjadi pada Ratu Balqis saat dia mengejar Cinta Raja Sulaiman. Cinta tidak dapat, rindu tidak dipedulikan! Tapi, tika dia mengejar cinta Ilahi, maka Raja Sulaiman kekal bertakhta di hatinya.” Panjang lebar Izzati menerangkan pada ku.

Dalam hati aku berfikir sendirian akan kata-katanya. Itu lah yang terjadi saat para isteri bangsawan mengejar cinta si Tampan Yusuf. Asyik dalam kepalsuan dunia dan indahnya sebuah ilusi hingga terpotong jari. Cinta itu asyik dan mengasyikkan saat kita hanyut dalam permainan itu. Tapi, cinta yang sebenar itu adalah terbina di atas dasar tanggungjawab dan rasa kasih kepada Allah yang dimanifestasi dengan cara kita melayan pasangan masing-masing. Ya, aku faham apa yang Izzati cuba sampaikan itu.

“Nanti, kalau ada lagi program misi kemanusiaanmu, jangan lupa menjemput aku untuk menyertainya.”

“Sudah semestinya Izzati. Kau sentiasa dialu-alukan untuk bersama dalam pasukan ini. Kita sama-sama mengembara bersama rakan seperjuangan yang lain. Kita boleh lakukan perubahan pada masyarakat ini.”  Aku meyakinkan dia. Sememangnya khidmat bantuan beliau amat diperlukan. Rata-rata penduduk di kawasan pulau yang terpencil menderita sakit gigi. Percayalah, sakit gigi itu seakan hampir tercabut nyawa. Bisanya sungguh tidak terperi. Tepat sekali kedatangan doktor gigi dalam pasukan perubatan sukarela kami kerana ia akan meluaskan lagi skop perkhidmatan yang dapat kami tawarkan pada masyarakat yang hidup di bumi terpencil.

“Izzati, kau cari bakal suami yang sejiwa denganmu. Yang akan ikut kau melakukan kebaikan pada manusia.” Aku mencantas angan-anganku dari terus mengelamun.

“Sebab itu aku katakan. Cari cinta Allah, nescaya cinta manusia akan datang. Jika ini apa yang Allah redha dan mahukan, maka aku akan lakukan.” Dia menguntum sebuah senyuman. Semanis sebiji epal Fuji yang gebu dan lazat.

Mentari mula menghilang di balik awan. Yang terpancar hanyalah sinar mentari yang mula menjadi merah. Langit semakin gelap. Aryll dan Cyrill rupanya berada di puncak pokok kelapa sambil memetik buah kelapa muda. Baru aku teringat bahawa Izzati juga teringin untuk minum air kelapa muda sambil  berteman bayu laut.

Aku cuak kerana mentari mula menghilang. Semestinya rakan-rakan kami akan mulai bimbang tambahan pula ada perintah berkurung untuk semua kapal yang berada di kawasan ESSZONE. Tidak ada kapal yang boleh berada di laut selepas jam 6 petang. Aku berdoa agar rakan-rakan tentera ku sudah pun membuat permohonan dengan unit ESSCOM agar kami boleh pulang pada waktu malam. Aku cuba menyembunyikan gelisahku dengan menguntum senyuman manis pada Izzati. Aku tahu dia gembira kerana Aryll dan Cyrill sudah pun mendapatkan kelapa muda untuknya.

“Jom kita pulang Izzati.” Gesaku sambil menarik tangan Aryll dan Cyrill. Semoga impian Izzati tercapai.
Allah Matlamatku, Rasulullah ikutanku, Al Quran pedoman hidup, Syahid impianku.

REVOLUSI MAHASISWA MEMBENTUK PEMIKIRAN MERDEKA

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org-orang yang beriman."[ Surah Al-Imran ayat 139]

Memori Terindah